Popular Posts

Tuesday, July 12, 2011

'Kenang Daku Dalam Doamu'

     Salam pembaca yang disayangi.  Saya sedang mendengar lagu-lagu nyanyian Allahyarham M Bakri yang dikirim oleh Tn Hj Hassny melalui laman 'Multiply'nya. Ada 14 lagu yang dimuatnaik dalam album ini.  Mendengar lagu-lagu tersebut membuat saya terkenang satu lagu nyanyian M Bakri sewaktu kecil dulu.  Malangnya lagu itu tiada dalam kumpulan lagu yang dimuatnaik; iaitu yang bertajuk 'Kenang Daku Dalam Doamu'. 
     Sewaktu lagu dinyanyikan sepupu saya secara perlahan tetapi jelas, saya terbayangkan suasana pada waktu itu.

              *            *            *            *            *            *            *            *            *


     Rumah ayah saya terletak di tepi Jalan Bakri.  Di kiri rumah ayah ialah rumah Mak Andak, di kanan rumah Mak Usu dan di belakang rumah Mak Itam.  Semasa saya sekolah rendah, rakan-rakan sebaya saya ramai.  Sebahagiannya ialah sepupu manakala yang lain ialah saudara jauh.  Sebahagian daripada sepupu saya ini tinggal di tempat lain sekarang, manakala beberapa orang  termasuk saya menetap di kampung selepas puas merantau.  Yang lain menetap di tempat lain.  Yang perempuan pun ramai.  Ada yang menetap di sini, ada yang di tempat lain.  Ada juga yang dah kembali menghadapNya.
     Dengan lengkongan rakan sebaya yang begitu ramai, mudah bagi kami untuk bermain bermacam-macam aktiviti.  Daripada bermain lastik getah, nyorok-nyorok, polis sentri, tiang galah, mandi parit, main tembak-tembak, pondok-pondok, main pengantin-pengantin, ting-ting bek, ting-ting kapal terbang, main buai bawah rumah sambil menyanyi lagu 'Rasa Sayang Eh' serta berpantun bergilir-gilir, sukan bola sepak, bola hoki, takraw, sukan olahraga dan lain-lain.
     Sukan olahraga?  Ya, sukan olahraga.  Permainan ini kami lakukan di hadapan dan sebelah rumah Mak Itam, di bawah teduhan pokok-pokok getah.  Selalunya apabila kami bermain di tempat ini, seorang sepupu kami (anak Mak Itam) yang belum dapat kerja selalu memerhati dari tingkap rumahnya.  Kadang-kadang dia memerhati kami bermain sambil menyanyikan lagu 'Kenang Daku Dalam Doamu' perlahan-lahan tapi jelas.  Saya tidak ambil pusing akan nyanyiannya.
Bermain di bawah pokok getah.  Redup, walau pun tengah hari

Muhamad Rafi, penyanyi lagu-lagu Hindustan berasal dari India
     Sekarang sewaktu mendengar lagu-lagu M Bakri melalui lama nostalgia hassny, saya terkenang suasana waktu itu.  Petang itu seperti petang-petang yang lain, kawasan keliling rumah Mak Itam redup sebab dilindungi dedaun getah.  Angin berdesir perlahan-lahan membuatkan suasana terasa nyaman.  Saya seolah-olah menonton gelagat kami bermain.  Kekadang radio transistor mengudarakan lagu-lagu Hindustan diselang seli dengan suara juruhebah menyebut perkataan 'Muhammad Rafi', 'Laxmikant Pyarelal'.  Pandai Kak Bedah mencari stesen radio.

M Bakri
     Kembali kepada lagu 'Kenang Daku Dalam Doamu' M Bakri.  Bunyi intro lagunya yang dimulakan dengan bunyi petikan gitar solo dari nada rendah ke nada tinggi, lalu disambut dengan sejenis alat tiupan yang saya tak kenal memukau perasaan saya.  Kemudian suara jantan M Bakri yang macho itu menyanyikan bait-bait lagu dengan nada yang agak tinggi dengan diiringi irama keroncong.  Semasa interlude, semua alat berhenti kecuali tiupan tenor saxafon dengan iringan rythm secara interval sebelum M Bakri menyambung semula lagu melalui korus.  Corak muzik seperti ini tidak saya dengari pada lagu-lagu yang lain.  Itu yang membuatkan saya tertarik dengan lagu ini.
      Waktu itu tahun 60an.  Walaupun lagu-lagu pop yeh yeh sering berkumandang, dari semasa ke semasa, lagu-lagu seperti yang dinyanyikan M Bakri turut ke udara dengan nyaring melalui corong radio transistor jiran-jiran.  Walau pun pada tahun 70an, lagu itu dinyanyikan semula dengan konsep muzik yang baru oleh biduanita Sharifah Aini, yang asal tetap mendapat tempat di hati saya.  Saya selalu merindui lagu itu.  Dalam ruangan lagu-lagu permintaan di radio, acap kali kata-kata yang dikirim oleh pengirim yang menujukan lagu melaui poskad berbunyi 'Kenang Daku Dalam Doamu', tetapi lagunya tak keluar.  Itu yang membuatkan saya keluh kesah.
     Sekarang, nasib baik ada Klasik Nasional dan nostalgia hassny.  Hidup Klasik Nasional!  Hidup Nostalgia Hassny!
     Ya Allah, cucurilah rahmatMu ke atas roh mereka berdua ameen.
    

2 comments:

hassny said...

Tak sangka, Hj Borhan pun minat lagu lama ya....Lagu "Kenang Daku Dalam Doamu" nyanyian M Bakri tu kalau ada dalam simpanan saya, akan saya naikkan khas buat Hj Borhan.....

hassny said...

Hj Borhan, saya dah uploadkan lagu "Kenang Daku Dalam Doamu" dalam Nostalgia Hassny....sila ke judul artis M Bakri2. Semoga Hj terhibur.....