Popular Posts

Showing posts with label mandi. Show all posts
Showing posts with label mandi. Show all posts

Tuesday, September 28, 2010

Mandi-Manda Di Parit Besar (Bahagian Dua)

     Di dalam 'Mandi-Manda Di Parit Bahagian Satu, saya menulis tentang parit besar (Parit Mohamad) yang bukan sahaja menjadi tempat sebahagian penduduk kampung mandi dan membasuh pakaian, tetapi juga turut mewarnai kehidupan kanak-kanak kami.  Orang mungkin fikir semua ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berseronok-seronok di parit ini.  Ini adalah tidak benar.

      Mungkin orang berfikir bahawa ibu bapa saya tidak peduli sama ada saya menghabiskan masa mandi-manda di parit besar.  Sebenarnya, mereka sentiasa mempastikan bahawa kami (saya dan abang) tidak mandi parit.  Sekiranya mereka tahu bahawa kami 'mandi parit', kami pasti akan dimarahi.  Mereka boleh mengesan jika kami telah mandi parit.  Pakaian kami kelihatan berkedut-kedut, muka, rambut dan lengan kami berdebu, mata kami merah macam jembalang tanah. Kadang-kadang saya cuba mendengar nasihat mereka supaya tidak 'mandi parit' tetapi godaan untuk 'mandi' beramai-ramai terlalu hebat untuk dilawan.

     Pernah suatu hari saya dan Bang Ngah dimarahi oleh ayah apabila kami tidak mematuhi arahannya , sebaliknya menghabiskan hampir sepanjang petang di parit besar.

     Pada waktu itu, tidak ramai penduduk kampung menggunakan dapur minyak tanah untuk memasak kerana kebanyakannya bukanlah orang berharta.  Kebanyakannya menggunakan kayu api.  Keluarga kami termasuk di dalam kelompok ini.  Lantaran itu, setiap kali pokok getah tua ditebang untuk ditanam semula, maka kami akan beramai-ramai membawa parang dan gergaji mengerumuni pokok-pokok getah yang telah tumbang seperti semut menghurung gula.  Batang-batang kayu yang sebesar sepemeluk akan kami potong bertual-tual,
lebih kurang sepanjang tiga jengkal setual.  Apabila sampai di rumah, tual-tual kayu ini akan dibelah-belah dan disusun bersilang-silang untuk dijemur.  Orang yang rajin membuat kerja ini adalah Bang Ngah walau pun badannya kecil sahaja.

     Pada suatu tengah hari, ayah mengarah kami untuk mengunpulkan kayu api sebanyak yang kami terdaya di kebun Wak Suradi.  Ayah tidak dapat untuk bersama-sama kerana dia dan emak hendak menghadiri majlis khenduri kahwin.  Dengan taatnya kami memulakan kerja tersebut tetapi kami tidak mampu untuk bertahan.  Sekejap sahaja kami telah menyimpan parang kami dan berjalan pantas menuju parit besar, kerana kami tahu kawan-kawan kami telah berada di situ.  Kami mandi-manda serta bermain sepuas-puasnya bersama kawan-kawan sehingga larut petang.  Apabila matahari mula hendak membenamkan dirinya yang kemerah-merahan itu di ufuk barat, kami bergegas kembali ke kebun untuk menyambung kerja.  Tetapi ayah dan emak telah ada di situ.

     'Engkau ke mana?' tanya ayah dengan perlahan, pandangan sepasang matanya yang tajam menikam kalbu.  Saya dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.


     Teruk kami dimarahi ayah.  Itulah akibatnya apabila tidak mahu mendengar kata orang tua.  Memang padan dengan muka kami!

Saturday, September 25, 2010

Mandi Manda Di Parit Besar (Bahagian Satu)


(Hari ini 16 Syawal.  Saya tidak bercadang menulis tentang pengalaman saya menyambut hari raya semasa kecil-kecil.  Saya fikir cukuplah apa yang telah saya tulis setakat ini.  Mungkin Syawal tahun depan akan saya tulis lagi.  Sebelum Hari Raya tempoh hari, saya telah menyiapkan catatan tentang pengalaman saya berseronok dengan rakan-rakan sebaya di parit besar tidak jauh dari rumah kami.  Saya akan mengeposnya dalam dua bahagian.  Mungkin pengalaman ini ada kesamaan dengan apa yang anda lalui semasa kecil-kecil dahulu.)

      Sebelum saya dilahirkan, air paip bukanlah sesuatu yang biasa bagi pendudukan Kampung Batu 6 Bakri.  Paip yang ada hanyalah paip kerajaan yang diletakkan di tepi jalan.  Satu di tepi jalan hadapan rumah Wak Yon, satu di hadapan Wak Selamat Batu 6 dan satu lagi di Batu 5, kalau tidak silap saya.  Penduduk kampung yang tinggal dekat dengan paip kerajaan beruntung kerana dapat menggunakan air paip percuma untuk makan minum, mandi dan membasuh pakaian.  Bagi mereka yang tinggal jauh tetapi berdekatan dengan parit besar pula beruntung kerana dapat menggunakannya untuk mandi-manda dan membasuh pakaian.  Untuk minuman dan memasak makanan, mereka menggunakan air hujan yang ditadah menggunakan tempayan.
     Parit besar yang digunakan dahulu itu sekarang dipanggil 'Parit Mohamad'; terletak di sempadan antara Kampung Batu 6 Bakri dengan Kampung Batu 5 Bakri. Dulu Parit Mohamad airnya jernih, dasarnya berpasir, kelihatan ikan-ikan kecil yang kami panggil 'ikan kacang'; ia bermuncung panjang dan lancip; rupanya seolah-olah 'Ikan Todak' seperti gambar yang terdapat di dalam Buku Tawarikh Sekolah Rendah di tahun-tahun 60an, semasa pengarangnya menceritakan kisah 'Singapura Dilanggar Todak'

     Selain daripada digunakan sebahagian pendudukan kampung seperti Wak Jom, Mak Ngah Esah, Tok Chik, Pak Aji, ia juga menjadi tempat kanak-kanak bersukaria  Semasa kecil, saya bersama-sama rakan sebaya selalu mandi-manda di parit besar ini, kadang-kadang menangkap ikan kacang.

     Pada waktu-waktu biasa, paras air parit hanyalah paras pinggang atau dada.  Kami selalu bermain-main di sini, berenang dari sebelah sini ke sebelah sana, memercikkan air kearah satu sama lain dan kadang-kadang bergusti.  Cara kami bergusti adalah berpasang-pasang; budak yang kecil duduk di atas bahu budak yang lebih besar.  Setiap pasangan cuba menjatuhkan pihak lawan ke dalam air.  Dari semasa ke semasa, Jabatan Parit dan Tali Air akan mengorek parit ini untuk mendalamkannya.  Ketika itu, paras air adalah lebih tinggi, kami akan tenggelam kalau tidak pandai mengapungkan diri.  Waktu itu akan lebih ramai budak-budak yang bermain di sini.  Mereka akan terjun 'somersault' ke dalam air dari dahan pokok getah yang menganjur dari tebing.  Kadang-kadang, budak-budak yang lebih cekap akan berusaha membuat pusingan dua kali di udara sebelum sampai di air dengan mengakibatkan percikan air yang dahsyat.

     Ada satu peristiwa yang saya masih ingat hingga kini, tetapi tak dapat saya muatkan di sini kerana tulisan ini sudah kelihatan terlalu panjang.  Mungkin dalam Bahagian Dua.  Jumpa lagi!