Popular Posts

Thursday, July 28, 2011

Sekolah Agama Kerajaan Johor (Bahagian Dua)

     Dalam posting sebelum ini, saya ada menceritakan sedikit tentang saya bersekolah agama (dipanggil 'Sekolah Petang) di Sekolah Agama Bakri Batu 5 Muar.  Kali ini saya akan menyambung penceritaan saya.  Saya akan memulakannya dengan menceritakan sedikit tentang rumah emak saya supaya anda mendapat gambaran yang tepat apabila membaca pengalaman saya kelak.

      Rumah emak saya, sebagaimana rumah-rumah orang kampung yang lain, diperbuat daripada kayu, mempunyai beberapa pintu, pintu depan, pintu tepi, pintu belakang dan pintu kayu api.  Pintu-pintu ini diselak dari dalam, menggunakan papan kecil yang dipakukan secara longgar kepada bingkai pintu supaya ia boleh dipusing-pusing untuk menyelak dan membuka pintu.  Secara umumnya, pintu-pintu ini tidak boleh dibuka dari luar kerana diselak dari dalam.  Tetapi ia tidak menjadi masalah kepada saya kerana saya mempunyai cara tersendiri untuk membukanya walau pun berada di luar rumah.  
    
       Berbalik kepada kisah saya bersekolah petang,

     Rakan-rakan sekampung saya apabila pulang ke rumah dari sekolah akan disambut oleh emak mereka.

     "Mak! Aku dah balik," kata anak jiran, kepada ibunya yang berada di tangga tengah rumah.

     "Dah balik ye?  Pegi dapur, makan." jawab ibunya.

     Sungguh beruntung mereka kerana kepulangan mereka dari sekolah disambut oleh ibu.  Saya merasa rindu untuk menikmati sambutan yang sedemikian daripada ibu saya.  Namun saya sedar itu adalah tidak mungkin kerana ibu telah pergi ke sekolah petang untuk menunaikan tanggungjawabnya sebagai guru agama Kerajaan Johor.  Allah maha kuasa dan maha pemurah.  Ia tidak memberi saya nikmat yang sedikit seperti saya ceritakan di atas, tetapi memberi saya lebih daripada itu, iaitu menjadi 'orang'.
   
     Tidak seperti rakan-rakan saya yang lain, kepulangan saya dari Sekolah Ismail Dua lebih kurang jam 1.00 tengah hari (biasanya waktu itu, radio di rumah jiran menyiarkan berita jam 1.00 tengah hari) disambut oleh bunyi salakan sepasang angsa yang ayah bela serta percubaan mereka untuk menyudu betis saya.  Saya akan memegang lehernya untuk menghalangnya daripada menggigit kaki saya.  Kadang-kadang saya akan mengangkat angsa ini serta menikmati kelembutan serta kehangatan badannya sambil membayangkan kelembutan badan beruang (bear) seperti yang selalu saya lihat dalam gambar-gambar.  Setelah puas memegangnya, saya akan melepaskan angsa tersebut.
Angsa, seperti yang ayah bela
     Kemudian, dari luar saya akan membuka pintu rumah yang berselak lalu masuk.  Waktu itu suasana dalam rumah adalah gelap serta suram kerana semua tingkap tertutup rapat (waktu itu, rumah papan kami bertingkap papan seperti yang dapat anda lihat di gambar Baiti Jannati sebelah kanan).  Saya mengambil makanan sendiri di dalam almari makanan dan makan bersendirian.  Setelah siap, saya berjalan kaki sendiri ke sekolah Petang.
Almari dapur di rumah Emak
    

1 comment:

hassny said...

Zaman dulu kalau budak-budak bersekolah di Ismail School kira2 memang terror....mesti pandai bahasa Inggeris punya...
Bila sebut Ismail School, saya telah didaftarkan oleh mak saya untuk masuk darjah satu (1971) di sana. Namun apabila saya mendapat tahu, saya menangis-nangis tak mahu ke Ismail School, saya nak bersekolah di kampung saya sebab ramai kawan-kawan sekampung bersekolah di kampung. Akhirnya mak akur dengan kehendak saya. Bila dah tua begini, baru saya sedar, mak memang mahukan anaknya mendapat pendidikan terbaik (pada masa itu Ismail School lah tempatnya). Kalaulah saya ikut nasihat dan kehendak mak......