Popular Posts

Tuesday, July 26, 2011

Sekolah Agama Kerajaan Johor (Bahagian Satu)

     Di Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) pada tahun-tahun enam puluhan, terdapat beberapa jenis sekolah rendah.  Antaranya sekolah melayu, sekolah Inggeris, sekolah cina dan sekolah tamil.  Kebanyakan sekolah melayu dihadiri oleh anak-anak melayu, manakala sekolah inggeris dipenuhi oleh tiga kaum terbesar Persekutuan (Melayu, Cina dan India) serta kaum-kaum minoriti yang lain.  Sekolah tempat saya belajar, Sekolah Ismail Dua adalah merupakan sebuah sekolah Inggeris yang berkongsi bangunan sekolah di Jalan Tunku Bendahara Muar dengan sebuah sekolah Inggeris lain; iaitu Sekolah Ismail Satu.   Kerjasama antara kedua-dua sekolah ini amatlah baik sehingga setiap tahun, sekolah-sekolah ini bergilir sesi persekolahan; iaitu setahun pagi dan setahun petang.
Sekolah Ismail Dua sekarang

     Sewaktu saya masuk sekolah darjah satu, sesi persekolahan adalah sebelah pagi.  Waktu saya darjah dua, sebelah petang dan waktu darjah tiga, sebelah pagi.  Begitulah seterusnya.
     Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah ada sekolah agama Kerajaan sendiri di mana anak-anak Islam di negeri Johor kebanyakannya mengikuti pelajaran agama di sekolah-sekolah ini pada sebelah petang selepas bersekolah kebangsaan di waktu pagi.  Di sekolah agama ini anak-anak Islam mempelajari ilmu Tauhid, Ibadat, Tarikh (Sejarah), Tajwid, Qur'an, Muanakahat, Muamalat, Faraidh dan Jinayat.  Apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi yakni Darjah Khas, mata pelajaran ditambah dengan mata pelajaran Ilmu Perguruan  Lazimnya sekiranya pelajar-pelajar lulus Sijil Darjah Khas, mereka telah layak untuk menjadi Guru Agama Kerajaan Negeri Johor.  Sekolah ini hanya beroperasi di sebelah petang sahaja, oleh itu, ia juga dikenali sebagai 'Sekolah Petang'.
Ini bukan bangunan Sekolah Agama Bakri Batu Lima, tetapi adalah contoh sebuah bangunan sekolah agama yang menumpang di Sekolah Melayu

     Sebagai anak Islam rakyat negeri Johor tercinta, saya juga mula bersekolah agamadi Sekolah Agama Bakri Batu Lima yang menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Bakri Batu Lima semasa berada dalam darjah Tiga Sekolah Ismail Dua.  Semasa dalam darjah empat, saya sepatutnya berada dalam darjah Dua Sekolah Agama kerana lulus peperiksaan (Sekolah Agama Kerajaan Negeri mengamalkan kenaikan darjah setelah lulus peperiksaan).  Akan tetapi, oleh sebab sekolah saya berselang seli antara pagi dengan petang, saya tidak dapat meneruskan pembelajaran darjah dua sebab waktu itu kena giliran petang.  Maka atas daya usaha ayah saya, saya dicutikan setahun.  Setahun kemudian, saya masuk ke darjah dua sekolah agama semasa berada dalam darjah lima Sekolah Ismail Dua.
Pakaian murid Sekolah Agama Kerajaan Johor sekarang

     Bagi darjah satu dan darjah dua, masa persekolahan sangat singkat; iaitu mulai jam 1.30 tengahari hingga 3.00 petang.  Dari rumah saya di Batu 5 1/2 Bakri ke sekolah agama di Batu 5 Bakri hanya 1/2 batu sahaja.  Budak-budak sekolah pergi ke sekolah dan balik berjalan kaki beramai-ramai. Saya biasanya sampai di sekolah lewat sedikit sebab lewat sampai rumah dari Sekolah Ismail.
  

    

2 comments:

hassny said...

Cerita pasal sekolah petang ni......paling seronok masa di darjah 4.....sebab pakai kitab Muta'al Badrin. Ejaan guna jawi lama, silap baca lain bunyinya (selalu budak salah sebut, sepatutnya dibaca sebagai 'bumi' tetapi dibaca 'bom'). Yang paling dinanti-nantikan oleh budak-budak dalam kitab tu ialah bab Munakahat....sebab masing-masing dah mula nak mengenyam.....

Anonymous said...

cerita pasal sekokah ugama di johor ni memang seronok...aku bersekolah ugama di johor selama mulai darjah 1 hingga darjah 6..kemudian melanjutkan ke darjah khas 1 tahun dan ulang kaji 1 tahun..banyak pengajaran yang aku perolehi terutama dalam bab ugama islam...tahniah kerajaan johor.