Popular Posts

Showing posts with label tembusa. Show all posts
Showing posts with label tembusa. Show all posts

Thursday, October 28, 2010

Hari Pertama Bersekolah (Bahagian Dua)

     Kemudian Cikgu Cina mengarahkan kami berjalan.  Kemana nak dibawanya kami?

     Ku tak tahu.  Kami dibawa berjalan di atas simen berbumbung, melintasi beberapa buah bilik darjah.  Tak lama kemudian, aku terhidu bau makanan yang enak.  Ramai budak berkerumun di satu bangunan yang bahagian atasnya terbuka.  Aku bersama-sama murid lain masuk ke bangunan tersebut.  Terdapat banyak bangku dan meja yang diperbuat daripada batu marmar.  Di atas bangku-bangku tersebut budak-budak sekolah sedang duduk menghadap makan masing-masing.  Bau makanan semakin kuat membuatkan ku terasa lapar.  Budak-budak yang lebih besar daripada kami meminggir memberi laluan kepada rombongan kami yang diketuai oleh cikgu Cina tadi.

     Kami berhenti di hadapan sebuah meja panjang yang tingginya lebih kurang separas bahuku.  Di atasnya, kulihat longgokan-longgokan makanan yang terletak di atas dulang-dulang bulat.  Ada tembusa, ada pisang goreng, ada jemput-jemput pisang sebesar penumbuk, dan banyak lagi yang aku tak ingat. 

     Di sudut sana kelihatan mi goreng di dalam pinggan-pinggan kecil yang disusun bertingkat-tingkat manakala di sudut sini pula sebuah balang minuman berisi air batu warna oren serta gelas-gelas plastik berwarna-warni.  Seorang lelaki cina sibuk menyedok air batu ke dalam gelas plastik berwarna-warni lalu meletakkannya di atas meja.  Cepat sahaja gelas-gelas tersebut disambar oleh tangan-tangan cilik dan duit lima sen diletakkan di atas meja.  Begitu juga kuih muih yang di atas dulang.  Murid-murid berebut-rebut mengambil makanan yang digemari lalu menghulur wang lima sen kepada penjaga makanan di belakang meja.  Kemudian pembeli tersebut berpusing ke belakang membawa kuih kegemarnnya dengan penuh rasa kepuasan.  Disudut sana, suasananya juga sama.  Tangan-tangan murid yang kelaparan menyambar piring mi goreng dan duit syiling sepuluh sen bertukar tangan.  Keadaan di sudut sana membuatku ku pecah selera, rasa nak beli mi goreng. Aku jarang makan mi.  Sedap barangkali...

     Kukira duit dalam kocek seluarku yang abah beri.  Cuma sepuluh sen.  Kalau beli mi tentu sedap.  Tapi nak minum apa?  Tak ada duit nak beli air?  Tak apalah.  Beli pisang goreng pun sedap jugak.

     Dengan penuh keazaman, aku mara ke arah dulang berisi pisang goreng.  Budak-budak lain ramai yang lebih besar dan tinggi daripadaku tapi aku tak peduli.  Sedikit demi sedikit aku bergerak, akhirnya ku berjaya mencapai seketul pisang goreng yang besar (semua pisang goreng besar pada waktu tu).  Cina tukang jaga memberiku sehelai kertas suratkhabar cina yang telah dipotong kecil-kecil untuk membungkus pisang gorengku.  Aku membayar harga pisang dengan duit sepuluh sen yang abah beri lalu cina tadi memulangkan baki lima sen.  Kemudian aku bergerak menuju ke tempat jualan air batu.  Kubeli segelas air oren dengan duit lima sen.  Habislah duit sepuluh sen yang abah beri pagi tadi.

     Di meja batu marmar, aku menikmati pisang goreng dan minuman air batu dengan penuh kepuasan.  Barangkali, itulah kali pertama aku membeli dan memakan makanan yang kubeli sendiri.  Berbeza dengan apa yang kulalui sebelumnya, semuanya sudah tersedia.  Sungguh lazat rasa pisang goreng yang mengkal, tidak berapa manis.  Sungguh enak rasa air oren yang sejuk, nyaman serta manis.

     Err... bila nak balik nih?

                                                                  

Monday, October 18, 2010

Momong Adik

     Ku masih ingat lagi semasa kecil, apabila emak dan abah hendak pergi mengajar, mereka akan membawaku bersama adik Badar ke rumah Embah Jamilah di kulon supaya embah boleh momong (jaga).  Aku berlari-lari anak mengejar abah yang berjalan pantas mendukung adik serta membimbit bakul (bakul lampin barangkali...).  Tentang Abang Ngah dan Kak Long, aku tak berapa ingat, mungkin mereka sudah pun mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bakri Batu Lima pada waktu itu.

     Di rumah Embah Jamilah terdapat dua orang sepupuku yang  sebaya tinggal di situ; Kaka dan Nana (adik beradik kembar anak Busu Ruminah).  Sepanjang petang kami bermain bersama.  Kadang-kadang ada orang perempuan datang menggendong kuih, kalau tak silap Wak Ngadinah namanya.  Dia berjaja kuih muih dari rumah ke rumah.  Apabila Embah Jamilah memanggilnya, dia akan duduk di anak tangga paling atas dan membuka bungkusan yang digendongnya, akan kelihatanlah berjenis-jenis kuih menggamit selera.  Tembusa, kasturi, pisang goreng, ku tak dapat nak mengingat kesemuanya.  Embah Jamilah akan membeli kuih dan kami dapat makan seorang sedikit.  Enaknya kuih kasturi, manis, masih hangat lagi.

     Pada waktu lain, Embah Jamilah mengupas buah limau bali yang dipetik daripada pokok berhampiran rumah lalu menyuakan kepada kami.  Sedap limau bali tersebut, manis.  Tapi ada pahit sedikit.

Macam motor Pak Usu. Perhatikan lampu depannya.
     Rumah Embah Jamilah kedudukannya dikelilingi oleh rumah Mak Itam, Wak Aim, Wak Ong, Mak Ngah dan Bang Long Katup (Bang Long Talib).  Anak Mak Itam yang lelaki pada waktu itu ialah Sodin.  Rumah Wak Aim telah tiada, kerana beliau telah pindah ke tapak baru (tapak rumah yang sekarang telah dibina rumah Rafiah (Ayun).  Pada waktu petang, Pak Usu Ali (ayah kembar Nana dan Kaka) pulang ke rumah Embah Jamilah dari mengajar menunggang motor Lambretta.  Dari selepas jambatan berhampiran pokok buluh (sekarang dah tak ada), anak-anak saudaranya bertenggek di keliling beliau.  (Lantai motor Lambretta memanjang dari depan ke belakang, membolehkan ramai budak berdiri di atasnya sambil berpaut pada motor).  Motor Lambretta ni pelik sedikit, lampu depannya lekat dengan body depan, bukan lekat kat handle.  Oleh itu, apabila ia membelok pada waktu malam, cahaya lampunya tidak ikut 'menoleh', tapi statik macam lampu kereta (tengok gambar di sebelah).  Berbeza dengan motor Lambretta Wak Ong, lampunya lekat dengan hendal, bila motor belok, dia pun ikut 'menoleh'.

     Tidak lama kemudian, rumah Embah Jamilah telah dipindahkan ke tapak rumah Pak Usu Ali yang ada sekarang, di sebelah wetan rumah Abah.  Kemudian Mak Itam menyusul, membuat rumah di belakang rumah Abah, atas tanahnya sendiri.  Tinggallah rumah Mak Ngah, Bang Long Katup dan rumah Wak Ong.  Kemudian Bang Long masuk Felda di Air Tawar Dua.  Apabila Mak Ngah tinggal dengan Bang Nal di Kuala Lumpur, rumahnya dijual dengan Wak Lajim. 

     Kosonglah kawasan itu daripada rumah orang, sehinggalah Zamzam buat rumah beberapa tahun yang lepas.  Kemudian baru-baru ni Bang Hamid Wak Aim pula membuat rumah di tanahnya di situ.