Popular Posts

Thursday, January 27, 2011

Salah Masuk (Bahagian Dua)

     Dalam "Salah Masuk (Bahagian Satu)" saya menulis tentang kesilapan saya memasuki tandas wanita di tempat belajar saya.  Bunyi tapak kaki siapakah yang saya dengar?  Adakah saya 'lulus' tanpa dikenakan apa-apa tindakan, atau dihukum atas perbuatan yang tidak saya sengajai?  Di bawah akan saya ceritakan semua.

    
     Ketika itulah aku terdengar bunyi tumit kasut menghentak lantai tandas dengan kelajuan sederhana dan irama yang tetap serta mengerikan, seolah-olah pemilik bunyi tersebut mengetahui aku ada di dalam dan cuba menakut-nakutkan aku.  Dadaku berdebar-debar.  Kalaulah pensyarah wanita mengetahui aku berada di tandas wanita, habislah aku.  Liau!  Kuamat-amati bunyi itu.  Ia bergerak ke hujung sana bilik tandas, berhenti sebentar, kemudian kembali semula ke arah pintu keluar, melalui hadapan tandas yang aku berada di dalamnya dengan amat perlahan, seolah-olah ia tak pasti yang mana satu yang sedang kugunakan.  Aku nampak kelibat sepasang kasut hitam bertumit tinggi.  Adakah itu milik Pn Sarimah?  Tidak, rasanya.  Rasa-rasa macam pernah kulihat kasut tersebut baru-baru ini.  Siapa punya ye?  Aah... aku tak mampu mengingatnya.  Kata orang, kalau kita hendak mengingat sesuat, tak ingat.  Ia akan datang pada waktu lain.

     Aku menahan nafas beberapa ketika.  Degup jantungku semakin kencang.  Beberapa ketika kemudian, kedengaran bunyi tapak kasut itu keluar dari bilik tandas lalu senyap.  Aku menarik nafas lega.  Cepat-cepat aku membersihkan diriku lalu melangkah keluar.

     "Hah...!" satu suara menjerit perlahan membuatkan aku terlompat kerana terkejut.  Mukaku pucat, kalau ditoreh pasti tidak berdarah ketika itu.

     Di sebelah pintu keluar berdiri rakan sekuliahku Qurratul Aini namanya.  Dia menyeringai ke arahku.  Tangan kanannya membuat bentuk genggaman sambil jari telunjuknya menghala ke arah ku.

      "Kau buat apa kat tandas perempuan?" tanyanya sambil tersengih.

     Rupa-rupanya bukan pensyarah wanita.

     "Aku tak perasan.  Dah sakit perut sangat."  aku menjawab minta simpati.

     "Aku nampak engko masuk kemari masa aku keluar dari bilik kuliah tadi.  Nasib baik orang lain tak nampak," dia menambah sambil ketawa lalu masuk kembali ke bilik air.

                                     *          *          *          *          *          *

     Pada waktu lain, sewaktuberada di sebuah sekolah permier perempuan (girls' school) di Bandar Penggaram atas urusan rasmi, ku terasa hendak buang air.  Aku bertanya rakan-rakan yang sama-sama berada di situ, tetapi mereka tak pasti di mana terletaknya tandas di situ.

     "Agaknya di situ, sebelah pejabat..." salah seorang memberi pendapat sambil menunjuk ke arah sebuah bangunan.

     Aku pun bergegas ke situ.  Memang tandas.  Tapi tiada tertulis lelaki atau perempuan.  Aku nekad dan masuk dengan tergesa-gesa.  Kulihat tandas pertama.  Tiada gayung atau toler.  Tandas kedua.  Kotor eee...  Ada najis kehitaman lekat di lubang tandas.  Baunya, mak ai...  Tandas ketiga.  Ah, agak bersih.  Ada toler.  Aku pun masuk.  Tiada selak rupanya.  Tak apalah, aku boleh pegang kalau ada orang masuk.  Tak sempat nak cari yang lain.

     Sedang ku buat 'bisnis', ku terdengar bunyi orang masuk.  Bersuara parau, tapi aku yakin itu suara seorang gadis.  Aku membayangkan orangnya; berbadan gempal, kulit kehitam-hitaman, muka bulat, rambut pendek macam pranita, tomboi, kasar...  Baru aku teringat.  Ini sekolah perempuan.  Tandas yang aku masuk ini adalah tandas pelajar perempuan.

     Aku dapat mendengar gadis itu pergi ke tandas pertama, bunyi pintu ditolak, tetapi tak jadi masuk.  Ke tandas kedua.  Bunyi pintu ditolak.   

     "Eee... kotor, busuk..." rungutnya dengan suara yang agak kuat.

     Selepas ni tandas aku pula.  Dalam keadaan mencangkung dan kepala tertunduk, aku tahan daun pintu kuat-kuat dengan tangan kiri supaya tidak mudah terbuka apabilah ditolak dari luar sambil berdoa di dalam hati agar gadis itu tidak memaksa untuk membuka pintu.

     Doaku Allah Ta'ala kabulkan.  Apabila sampai di hadapan tandas di mana aku berada, gadis itu menolak.  Pintu terbuka sedikit tetapi sepantas kilat tertutup kembali kerana kuatnya aku bertahan.  Dia pergi ke tandas berikutnya lalu kemudian keluar.

     Aku menarik nafas lega.  Cepat-cepat kubersihkan diri dan beredar dengan berhati-hati agar tidak dilihat orang.

1 comment:

Unknown said...

Kalau ppuan tu nampak...pasti ppuan cabutttt kot....kwang...kwang...kwang....