Popular Posts

Monday, January 31, 2011

Kemungkinan Banjir


    Ahad 30 Januari 2011:  Radio Klasik Nasional melaporkan 10,000 orang penduduk Segamat telah dipindahkan akibat banjir.  Dengarnya jalan Labis - Muar telah ditutup akibat banjir.  YB Datuk Abdullah Mat ADUN Bukit Naning telah tersekat tak dapat balik Muar.

     Di Kampung Batu 6 Bakri, keadaan masih bertahan.

    

Keadaan air parit di penjuru Parit Mohamad


Isnin 31 Januari 2011: Keadaan masih serupa, tetapi air semakin naik.

Keadaan air di penjuru Parit Mohamad
     Di lombong, beberapa orang penduduk kampung sibuk menjala ikan.  Ada yang tak dapat seekor pun setelah beberapa kali menebar.  Dia kecewa, akhir berlalu meninggalkan tempat itu untuk menjala di tempat lain.


     Ada yang dapat tiga ekor sekali menebar jala.  Ada yang setiap kali tebar dapat seekor.  Sepuluh kali, sepuluh ekor.  Berapa ekor ikan yang anda dapat setakat ni?  Jangan dikira.  Takut nanti tak dapat lagi lepas tu.


     Man lebih bernasib baik.  Sekali tebar, dapat tiga ekor.  Dua kali, dapat lima ekor.
Man.  Dapat tiga ekor sekali menebar jala.  
Lihat ikan dalam buntilnya.


      Khairudin pula baru sampai.  Dia menggunakan jala yang bermata dua inci setengah.  Sepatutnya dia menggunakan jalan bermata dua inci.  Baru boleh dapat banyak ikan.  Jadi kenapa tak gunakan jala bermata dua inci?  Tak bawa.  Kenapa tak bawa?  Sebab dia menjangka akan naik perahu ke tengah lombong untuk menjala ikan yang lebih besar.  Ikan kecil akan terlepas daripada perangkap jala, membolehkannya membesar.
    

 
     Tadi, seorang penduduk menebar jalanya yang bermata dua inci beberapa kali di teluk kecil, tetapi tidak mendapat walau seekor ikan pun.  Sekarang, Khairudin menebar jalanya yang bermata dua inci setengah di tempat yang sama, dan berjaya menaikkan ikan tilapia seekor demi seekor.  Kalau ikut logiknya, tentu orang tadi berjaya menaikkan lebih banyak ikan, sebab dia menggunakan jala yang bermata lebih kecil, lagipun, dia menebar terlebih dahulu.  Mungkinkah Khairudin ini lebih 'penganyir'?  Itulah rezeki namanya.
      Hujan masih lagi turun.  Bagi penduduk yang berada di lombong, hujan turun tanpa air mata...

     Firman Allah Ta'ala: 'Bagi setiap kesusahan itu, ada kemudahan' (Surah Al Insyirah ayat 5)
     
     Saya teringat akan cerita Cikgu Mokhtar Ibrahim (Allahyarham) SK Ayer Hitam Batu 18 Muar;

     "Seorang pemuda telah duduk memancing beberapa jam , tetapi belum mendapat walau seekor ikan pun.  Tidak lama kemudian, seorang tua datang lalu duduk memancing di sebelahnya.  Beberapa minit selepas dia duduk, dia berjaya menaikkan seekor ikan.  Kemudian seekor lagi.  Lepas seekor, seekor ikan yang berjaya dinaikkannya.  Pemuda itu merasa hairan melihat akan hal itu, lalu merapati orang tua itu untuk melihat bekas umpan yang dibawanya.  Biasa sahaja, yakni cacing, serupa dengan umpan yang pemuda itu bawa.

     "Apa rahsia Pak Cik, dapat banyak ikan, walhal saya yang lebih lama memancing di sini belum dapat ikan?" tanyanya kepada orang tua itu.

     "Tak ada rahsia nak, cuma Pak Cik sebelum pergi tengok dulu isteri Pak Cik; dia tidur mengiring ke kiri atau ke kanan," jawab Pak Cik tersebut.

     "Kalau mengiring ke kiri Pak Cik?" tanya pemuda itu lagi.

     "Pak Cik baling joran ikut kiri."

     "Kalau kanan?"

     "Pak Cik baling pancing ikut kanan."

     "Kalau terlentang?"

     "Pak Cik tak gi!"

   

1 comment:

Unknown said...

Harap2 jglah banjir...kesihan pd mereka2 yg terlibat dg banjir....