Hari Jumaat hujan bertempat-tempat. Kata orang Jawa "nggon-nggonan". Hari Sabtu hujan sepanjang hari. Hari ni (30 Januari 2011) masih lagi hujan rebas. Ketua Kampung Batu 6 Bakri tentu risau sebab kalau hujan berterusan, alamat anak buahnya terpaksa dipindahkan ke tempat perlindungan mangsa banjir walhal dia tak berada di kampung. Setiausaha dia pun tentu 'round' kampung melihat-lihat keadaan kawasan kampung; air naik atau tidak. Khabarnya air Parit Mohamad dah mula naik tetapi belum sampai ke paras bahaya, ertinya belum perlu memindahkan penduduk kampung.
|
Mendung tak semestinya hujan... |
|
Rebas hujan tak kupeduli... |
Husna menyediakan makan tengah hari ketam masak lemak, sayur kobis goreng dengan ikan kerisi goreng. Kami makan anak beranak selain Nabiil. Sedap betul makan nasi lauk ketam panas-panas dalam suasana sejuk hujan pukul 12.00 tengah hari sambil menonton rancangan 'Jalan-Jalan, Cari Makan' yang dihoskan Serina Chef Wan.
|
Ketam masak lemak. Aduhai... |
|
Dulu di Kampung Bukit Serok Rompin, selalu goreng sayur nih, tahan lama... |
Dulu, kalau hujan turun hari tak sekolah, abah tak noreh sebab pokok getah basah. Emak dan Kak Long memasak awal. Pukul 11.00 pagi dah siap nasi putih, sayur ranti masak lemak. Lauk tauhu goreng cicah sambal kicap. Dilengkapkan dengan gesek kembung atau ikan sepat. Emak dan Kak Long hidangkan berdekatan pintu tengah menghadap ke rumah Pak Usu. Kami makan rame-rame. Sedap banget. Kata arwah Embah Rawiyah "enak ea ora njamak...".
|
Tauhu goreng sambal kicap |
Kadang-kadang sedang seronok kami, kanak-kanak kampung bermain, tiba-tiba turun hujan dengan lebatnya. Berterabur balik. Oleh sebab hujan lebat disertai angin kencang, emak tutup pintu, tutup tingkap. Dalam rumah jadi gelap tetapi emak tak izinkan petik lampu, sebab bukan budaya kami orang kampung yang biasa susah untuk memasang lampu waktu siang pada ketika itu untuk jimat elektrik. Untuk menghilanagkan kebosanan, aku, Bang Ngah dan Badar mengintai ke bawah rumah melalui celah-celah lantai yang renggang. Nampak air hujan mengalir masuk ke bawah rumah, sesuatu yang jarang-jarang berlaku. Kami rasa seronok. Besar kemungkinan akan 'tenggelam' (banjir). Kalau 'tenggelam', kami boleh bermain air, meranduk air paras buku lali ke hulu kehilir.
|
Seronok main air, dulu tak de kencing tikus (eh, ye ke ra?) |
|
Adik pun nak main banjir jugak? |
Kadang-kadang semasa kami sedang bermain, tiba-tiba hujan turun lebat. Tak sempat balik, kami berteduh di bawah rumah orang. Sementara menanti hujan teduh, kami menghilangkan rasa bosan dengan mencari cicak di celah-celah tiang bawah rumah. Kadang-kadang jumpa cicak, kami bunuh.
"Mak aku kata cicak ni musuh nabi. Kalau bunuh dapat pahala," kata Sudin.
|
Dulu pegang cicak saja je... Sekarang, iiirrrggghhh! |
Kadang-kadang kami jumpa halipan, kadang-kadang kami mengail binatang seperti lelabah yang bersaranag dalam tanah. Kadang-kadang mencari barang yang tuan punya rumah terjatuhkan melalui celah-celah lantai papan seperti sepit rambut, sikat, duit seling. Kalau jumpa 5 sen pun dah cukup besar. Boleh beli gula-gula kacang kat rumah Mak Itam.
|
Duit syiling |
|
Ni selalu masuk rumah time-time ujan gini... Jangan tido atas lantai! |
Kadang-kadang pula kami tidak berhenti bermain apabila hujan turun. Sekali peristiwa ketika sedang bermain sukan-sukan (olahraga, macam sekolah selalu buat), hujan turun lebat sekali. Kami teruskan bermain dalam ujan. Seronok banget. Tanah tempat kami berlari lecak dan licin. Kami semua comot. Tapi anihnya tak demam.
Apabila ku mula bersekolah menengah, ayah bekalkan satu sut baju hujan hitam sebagai persediaan kalau-kalau tekena hujan waktu pergi dan balik sekolah. Kali pertama memakainya adalah sewaktu nak balik ke rumah dari sekolah dalam hujan merupakan pengalaman yang menyeronokkan. Waktu itu pukul 6.30 petang waktu semenanjung, pukul 7.00 malam waktu Sabah dan Sarawak (kalau sekarang pukul 7.00 malam) Bau baju hujan baru menusuk hidung, sedap baunya, menimbulkan kenanganku sehingga sekarang. Setelah memakai baju hujan, kamai mengayuh basikal dalam hujan balik ke rumah sejauh 6 batu (lebih kurang 10 kilometer) bersama kawan-kawan. Telinga dapat mendengar bunyi air hujan meratap menimpa baju hujan yang kami pakai, pada masa yang sama merasai impaknya apabila ia menimpa baju hujan, tetapi baju 'uniform' tak basah.
|
Baju hujan hitam, macam Kluang man... |
Sampai di rumah jam 7.00 malam (7.30 malam waktu sekarang), aku cepat-cepat menanggalkan baju hujan dan menyangkutkannya pada paku di dinding dan melihat rupaku di cermin. Lho, kok basah. Kan patutnya tak basah sebab dah pakai baju hujan. Rupa-rupanya air hujan masuk melalui celah-celah tengkuk lalu meresap ke dalam baju. Buku sekolah yang ku letak di tempat barang basikal juga basah.
|
Pergi sekolah naik basikal. |
Lama-lama aku dan rakan-rakan tidak lagi memakai baju hujan kalau ia turun wakatu sekolah. Kami akan berhenti dan berteduh di anjung-anjung rumah orang atau kaki lima kedai. Apabila hujan teduh, kami sambung perjalanan. Begitulah seterusnya sehingga kami sampai sekolah lewat tetapi cikgu tak marah. Yang penting, datang.
Sekarang tak nampak lagi pemandangan seperti itu.
1 comment:
Sedapnya makan ketam masak lemak....lama tak masak....
Post a Comment