Keseronokan semasa mengerjakan haji merupakan pengalaman yang manis. Entah sempat entah tidak mengulanginya pada waktu lain, wallahu a'lam. Dua daripada pengalaman manis yang masih saya ingat ialah bersarapan selepas saei dan masuk ke masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat.
Umrah
Biasanya jemaah haji mengambil kesempatan mengerjakan umrah sebaik sahaja selesai mengerjakan fardhu Subuh. Ketika itu, mereka yang telahpun siap berpakaian ihram bergegas memasuki van yang sedia menanti di hadapan bilik hotel masing-masing. Apabila penuh, Pak Arab memandu van membawa jemaah haji ke Ja'ranah atau Tana'im untuk berniat dan sembahyang sunat di masjid. Kemudian Pak Arab membawa mereka kembali ke Masjidil Haram. Tambangnya 6 Riyal sahaja (lebih kurang 5 ringgit lebih duit Malaysia pada waktu itu).
Kami tawaf dan saei dalam cuaca yang belum panas lagi. Setelah selesai bercukur, kami pun berjalan menuju arah deretan gerai yang menjual pelbagai sarapan. Waktu itu, badan sudah pun berpeluh. Kira-kira kalau di Malaysia, kami baru sahaja selesai menoreh. Kami membuka bekalan lempeng atau ubi rebus atau jemput-jemput di pangkal pokok getah. Mengunyah ubi rebus cicah sambal tumis sambil meneguk air kopi 'o' daripada botol kaca. Dicampur dengan sedikit bau getah buku, alangkah nikmatnya!
Demikianlah, kami yang sudah berpeluh memesan 'roti telur' atau 'roti daging' (seperti roti perancis yang dibelah tengahnya dan disumbat dengan telur goreng hancur atau daging goreng hancur)dengan air nescafe. Kemudian, saya dan isteri membawa makanan tersebut ke tepi dinding Marwah (tempat saei) yang jauhnya hanya lebih kurang 50 meter sahaja, lalu menikmati sarapan kami yang lazat itu sambil 'nongkrong' (di sana gerai-gerai tidak menyediakan kerusi meja untuk pembeli makanan). Selesai bersarapan, kadang-kadang kami terus balik ke hotel, kadang-kadang 'tawaf kedai'.
Doa Makbul
Satu lagi pengalaman ialah apabila saya dibayar 'cash', yakni doa saya dimakbulkan oleh Allah serta-merta. Setiap Jumaat, Masjidil Haram penuh sesak dengan jamaah yang mahu solat Jumaat sejak awal lagi walau pun ketika itu zohor belum masuk. Para jemaah yang bersesak-sesak; melimpah ke halaman masjid yang ber'tile' dan seterusnya ke kakilima kedai-kedai.
Itu memang kebiasaannya apa yang berlaku pada hari Jumaat. Pada hari itu, saya telah terlambat datang tetapi saya bertekad untuk bersembahyang di dalam masjid pada aras yang sama dengan kaabah (Masjidil Haram mempunyai empat aras. Di aras bawah tanah kaabah tidak kelihatan). Saya melangkah melalui celah-celah jemaah hingga berjaya mendaki tangga masjid. Saya lihat para jemaah berhimpit-himpit. Tak mungkin saya berjaya mendapatkan satu tempat untuk bersembahyang. Saya pun berdoa sambil berdiri "Ya Allah, berilah aku tempat untuk sembahyang Jumaat dalam Masjidil Haram ini." Selesai sahaja berdoa, saya mula hendak melangkah. Tiba-tiba saya terpandang dua baris di hadapan saya satu ruang yang cukup-cukup buat saya yang berbadan kecil ini. "Alhamdulillaah..." Saya mengucap syukur, dada terasa sedikit sebak. Saya pun melangkah dengan yakin ke tempat kosong itu lalu sembahyang sunat dua rakaat.
Ada lagi pengalaman-pengalaman lain yang saya lalui, tetapi biarlah ia menjadi kenangan manis buat saya seorang; sekurang-kurangnya buat masa ini. Daa...
Shares fond memories of the good old nostalgic days, light and easy, before electricity lighted our nights, tv came into our houses, paraffin lamps put aside to accumulate dust, computers came into view; let alone internet, facebook, blog... Wondering if my English Russia friends and English friends from Secret Seven's Peter, Janet, Pam, George, Colin, Jack, Barbara and Scamper (dog which likes to lick and munch and gobble) experienced such adventures, which I reckon 'Of course they did...'
Popular Posts
-
Kanak-kanak seusia saya tidak banyak permainan yang dibeli di kedai. Kebanyakan alat permainan dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan...
-
Dalam posting 8 Disember 2011, saya telah menulis tentang temuduga di Sekolah Kebangsaan Dato' Palembang, Bukit Baru, Melaka, dua h...
-
Salam. Semalam 14 November 2010 bersamaan 7 Zulhijjah 1431H, genap 3 tahun pemergian bonda Tuminah. Al Fatihah. Sehubungan itu...
2 comments:
Salam....
Kak Ngah Suka Roti Tempayan....Rindunya....
Kalau rindu, kat Muar pun ada, depan Pejabat Pos he he...
Post a Comment