Popular Posts

Friday, October 8, 2010

Gondoruwo

       Di awal-awal posting blog ini, telah saya tulis bahawa rumah ayah saya, seperti rumah-rumah orang lain juga, belum masuk bekalan elektrik.  Tiba-tiba pada suatu awal petang apabila saya sampai di rumah dari sekolah, saya dapati seorang cina sedang bertenggek di atas alang rumah, menebuk sesuatu pada kayu alang.  Serpihan daripada tebukannya itu melambak di atas lantai.  Rupa-rupanya dia sedang memasang bekalan elektrik ke rumah-rumah.

     Apabila kerjanya siap, hampir semua rumah di Kampung Batu 6 Bakri terang benderang pada waktu malam.  Tetapi kadang-kadang bekalan elektrik terputus.  Apabila ini berlaku, kampung akan bergelap balik, macam asal.  Sementara menanti bekalan pulih, kami memasang pelita seperti dulu.  Emak akan berbaring di sebelah pelita, dikelilingi oleh anak-anak.  Emak akan bercerita kisah -kisah lama; semasa emak kecil, semasa di Singapura bersama Abah, semasa ... err, banyak yang saya dah lupa.  Apabila Emak bercerita, semua anak akan mendengar dengan khusyuk, penuh minat.  Saya kira waktu itu ialah waktu yang sangat berharga, kata orang sekarang; 'quality time'.  Aktiviti berkala ini berjaya merapatkan hubungan sesama keluarga.

     Satu cerita yang saya ingat ialah cerita tentang 'Gondoruwo'.  Anihnya, cerita ini saya dengar daripada Abah, bukan Emak.  Sebagai kanak-kanak, saya seronok mendengar cerita itu tanpa memikirkan samaada ianya benar atau pun tidak.  Apabila saya besar, saya pernah terbaca artikel tentang 'Gondoruwo', tetapi sudah lupa akan kandungannya.  Walau bagaimana puni, 'Gondoruwo' pernah menjadi satu tajuk filem drama horor Indonesia yang dihasilkan sekitar tahun 1981 disutradarai oleh Ratno Timoer, dibintangi beliau sendiri bersama-sama Farida Pasha.  Berbalik kepada kisah 'Gondoruwo', menurut Abah, Gondoruwo suka main mata.  Sesiapa yang terserempak dengannya cuma perlu melayan kata-katanya.  Kalau tidak, nahas!

     "Pada zaman dahulu kala, ada sebuah rumah di tepi hutan.  (Dulu rumah belum banyak, hutan masih banyak).  Di dalam rumah tersebut tinggal sepasang suami isteri.  Isterinya bernama Halimah manakala suaminya Halim.  Suatu hari suaminya berpesan "Yang, Yang, Abang nak pergi jauh.  Esok baru balik.  Kunci pintu tingkap Yang!"

     "Baiklah Bang," Halimah menjawab.

      Maka Halimah pun berbuatlah sebagaimana yang disuruh suaminya setelah Halim meninggalkan rumah.  Arakian, maka pada malam hari, Halimah mendengar satu suara parau memanggil, "Halimah! Halimah! Bukak pintu."

     Halimah pun banagun lalu membuka pintu.

     "Naiklah Tok", pelawanya.  Makhluk itu naik ke rumah dan duduk di sebelah pintu.

     "Halimah! Halimah!" Aku nak makan tebu."

     "Makanlah Tok," sahut Halimah.  Maka makanlah gondoruwo itu akan tebu yang ada (saya tak pasti dari mana dia dapat tebu itu).


     Setelah sudah, dia berkata lagi "Halimah! Halimah! Aku nak main mata."

     "Mainlah Tok," sahut Halimah.  Maka dia pun main mata.  Telolar, teloler, (kata Abah; agaknya maksud abah, Gondoruwo itu menjeling ke kiri dan kekanan berulang-ulang).

     Kemudian hantu itu berkata lagi "Halimah! Halimah! Aku nak balik."

     "Baliklah Tok," sahut Halimah.  Kemudian dia bangun lalu menutup dan mengunci pintu rumah setelah makhluk tersebut pergi.

     Esoknya Halimah mengadu kepada suaminya apa yang telah berlaku.

     "Mana boleh.  Gondoruwo tu kan ganas.  Takkan dia tak buat apa-apa pada kau."

     "Betul Bang.  Abang tak caya?  Kalau begitu malam ni Abang pulak tidur di rumah.  Mah balik ke rumah Mak di hujung kampung."

     "Cis! Pantang aku dicabar oleh seorang wanita.  Baiklah.  Nanti kau pergilah ke rumah Mak."

     Apabila hari senja, Halim mengunci semua pintu dan tingkap rumah.  Dia duduk menanti ketibaan makhluk seperti yang diceritakan oleh isterinya dengan penuh keyakinan untuk membuktikan bahawa itu bukan gondoruwo.

     Apabila malam tiba, Halim mendengar satu suara parau "Halmah! Halimah! Bukak pintu."

     Halim menjadi pucat lesi.  Jantungnya berdegup kencang.  Pada waktu itu, kalau mukanya ditoreh, tidak berdarah.  Halim terkaku.  Tidak mampu untuk bergerak.  Suara itu berbunyi lagi.

     "Halimah! Halimah! Bukak pintu."  Halim menjadi semakin takut.  Dia berlari masuk ke dalam bilik.  Menggigil-gigil.  Dia merasa seolah-olah makhluk itu menekorinya dari luar rumah.  Terdengar lagi bunyi suara itu, sangat hampir dengannya dari luar rumah.  Kali ini suara tersebut berbunyi keras dan lebih kuat, seolah-olah makhluk itu telah mulai marah.

     "HALIMAH! HALIMAH! BUKAK PINTU!" Halim semakin kecut.  Dia menggulungkan dirinya di dalam tilam sambil berharap makhluk itu akan keciwa lalu pergi meninggalkannya.

     Kemudian,  Halim mendengar satu bunyi dentuman yang sangat kuat.  Dia hampir terkencing.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi selain daripada mematikan diri sahaja...

     *   *   *
      Esoknya apabila Halimah pulang ke rumah, didapati pintu rumahnya telah dikopakkan.  Dia memanggil-manggil nama suaminya, tetapi tiada jawapan.  Dia naik ke rumah, didapati keadaan rumahnya berselerak.  Tilam kekabu miliknya dicarik-carik.  Kekabu bertaburan di atas lantai.  Suaminya ada di situ.  Tanpa kepala, tangan dan kaki. 

No comments: