Tahun 60an. Masa tu ku masih kecil. Emak sedang duduk di lantai berdekatan tangga turun ke bahagian dapur rumah, menyuap adik nasi lenyek dengan tiga jari. (Nasi lenyek ni hanyalah nasi putih yang dicampur sedikit gula, dilenyek menggunakan tempurung kelapa atau senduk nasi). Sambil menyuap, emak mengangakan mulut supaya adik membuka mulutnya. Adik nyonyot jari emak. Adik makan dengan penuh selera. Kadang-kadanag, emak teteskan air masak ke dalam mulut adik. Bersebelahan dengan emak, abah duduk sambil melayan akau yang sedang baring-baring di pangkuannya. Sambil menghenjut-henjut lututnya, abah tanya, "Esok nak sekolah melayu ke, nak sekolah orang putih?"
Aku yang belum tau apa-apa, menjawab "Orang putih!"
Apabila umurku enam tahun lebih, abah membawaku menaiki Vespanya ke Sekolah Ismail Dua yang jauhnya lebih kurang enam batu dari rumah. Apabila kami masuk ke kawasan sekolah, kulihat bangunan sekolah teramatlah besarnya. Bahagian atas bangunan sekolah kelihatan sangat tinggi, menunduk memandang kepadaku, seolah-olah mahu menghempapku. Ku jadi takut, ku sentiasa berada di samping abah. Mataku melihat-lihat sekeliling. Orang sangatlah ramai. Ada kanak-kanak, ada orang dewasa. Kanak-kanak kelihatan segak memakai pakaian seragam kemeja putih dan seluar kuning tahi anjing, serupa dengan apa yang ku pakai. Tetapi dalam ramai-ramai manusia, tidak ada satu pun muka yang kukenal.
Ku mengekori abah berurusan dengan pihak sekolah. Setelah segala-galanya selesai, aku ditempatkan di sebuah bilik darjah "Darjah Satu Suloh". Kulihat muka-muka murid lain yang ada di sekitarku. Ada melayu sepertiku, cina berkulit putih mata sepet bau bawang putih, india (kalau tak silapku namanya Kurumuthi Kunalan s/o Tanabalan), orang putih (namanya Michael George) dan seorang kulit putih, lebih tinggi daripada yang hadir, berambut panjang; rambutnya dikumpulkan di bahagian depan kepala lalu disampul dengan kain. Mereka ini semuanya asing bagiku. Seorang guru perempuan kaum Cina memakai pakaian cina sedang duduk di sebuah kerusi, menghadap meja yang kelihatan lebih besar daripada meja-meja lain yang ada di dalam bilik darjah itu, sedang asyik menulis-nulis sesuatu. Kami berpandangan sesama sendiri. Semuanya senyap. Masa berlalu perlahan. Lamanya...
Kemudian kedengaran bunyi loceng memanjang, kuat, memekakkan telinga, datang dari arah tepi atas bilik darjah. Cikgu cina perempuan menyuruh semua murid bangun. "Small boys in front, big boys at the back, two by two", tuturnya. Ku tak faham apa yang dicakapkannya. Kemudian dia mengaturkan kami seorang demi seorang. Yang kecil di hantar ke depan barisan, yang tinggi ke belakang. Kami dipasangkan berdua-dua. "Hold your partners' hands," sambungnya lagi. Rupa-rupanya dia menyuruh kami memegang tangan pasangan masing-masing. Kupandang kelilingku, tak nampak pun abah. Entah ke mana perginya?
Kemudian Cikgu Cina mengarahkan kami berjalan. Kemana nak dibawanya kami?
No comments:
Post a Comment