Popular Posts

Sunday, August 7, 2011

Pakaian Raya

     Hari ini hari keenam puasa.  Alhamdulillah puasa lima hari telah dapat disempurnakan.  Mudah-mudahan Allah SWT menerima ibadat dilakukan.  Ameen.
Sebuah gerai menjual pakaian siap dijahit milik penjual kaum Champa
     Pada hari pertama puasa, saya pergi bersama-sama dua daripada anak-anak saya ke bandar untuk mencari pakaian Hari Raya.  Di zaman siber yang mana ramai pasangan suami-isteri bekerja, proses menyediakan pakaian raya memadai dengan menempah atau membeli yang sudah siap.  Itulah yang kami lakukan semalam setelah terlambat menghantar kain ke tukang jahit.  Memanglah ianya berbeza dengan dahulu.
     Dahulu, emak akan menjahit pakaian raya untuk kami.  Anak-anak emak yang perempuan belajar menjahit daripada emak, lalu mereka menjahit pakaian raya mereka sendiri.  Walau pun emak sentiasa sibuk; iaitu perlu menyediakan sarapan pagi untuk keluarga, pergi menoreh dan membangkit getah, membasuh pakaian, memasak makanan dan pergi mengajar di sekolah 'petang', emak masih ada masa untuk menjahit pakaian dan langsir raya, serta mengajar anak-anak perempuannya menjahit.  Saya masih ingat, posisi adik beradik perempuan saya semasa menjahit pakaian raya ialah berdekatan pintu tengah rumah, sebab di situlah tempat paling terang serta paling kondusif untuk menjahit.
     Sambil menjahit banyak cerita yang keluar.  Sambil menjahit, emak memantau mutu jahitan adik dan kakak saya, membetulkan mana-mana yang salah, membetulkan pesak baju supaya tak senget, 'tebuk leher guna bulan baju', 'simbat', 'tulang belut' serta istilah-istilah lain yang saya tak faham. Hasilnya, adik-beradik perempuan saya tahu menjahit pakaian mereka sendiri.  Bahkan, aktiviti ini secara tak langsung tambah merapatkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin.  Sekarang, sama ada mereka masih menjahit sendiri pakaian mereka atau menghantar bahan untuk dijahit atau membeli sendiri, wallahu a'lam.  Saya tak pernah bertanya.
Menjahit depan pintu...
     Kadang-kala, emak menggunakan mesin jahit untuk menjahit pakaian.  Pada ketika lain, emak dan adik beradik perempuan 'jahit tangan'.  Melihat mereka menggunakan mesin jahit menimbulkan minat saya untuk belajar menggunakan mesin ini.  Selepas belajar, saya mampu mengubahsuai seluar-seluar lama yang sudah sempit  supaya boleh dipakai lagi.  Namun kemahiran saya hanya setakat itu sahaja.
Beramai-ramai...

Kak Bedah...

Ni askar mana sesat nih?

Kereta baru sape tu? JMY 155 (Jadi Milik Yazidah sebulan bayar RM155.00?

Yang tengok kamera tu garang semacam aje...

Syy... motor pinjam.  Tuannya yang baju biru di atas...
     Emak selalu menyimpan bahan jahitan dalam 'bakul jahit'.  Pakaian yang sedang dijahit, jarum jahit, jarum peniti, benang putih, benang warna, sekoci, , gunting...  Ini memudahkan saya apabila saya memerlukan benang untuk dibuat tali layang-layang atau tali pancing.  Atau apabila saya memerlukan 'buku benang terpakai' untuk dibuat main kereta-kereta.  Atau pun jarum peniti untuk dibengkokkan menjadi mata kail pancing.  Walau pun bahan-bahan itu kerap berkurangan, emak tak pernah marah.  Itulah emak.  Kini, rumah itu sepi kecuali pada hujung-hujung minggu kala adik-beradik berkumpul mengimbau kenangan lalu atau membuat persiapan tahlil...

2 comments:

hassny said...

Bila baca kisah menjahit Hj Borhan...teringat saya pada emak yang mengajar menjahit pada kakak2...serupa macam tulah juga. Tetapi yang paling saya tak lupa di bulan puasa ni ialah belajar membuat sarung ketupat dengan emak. Saya memang lembab dalam hal anyam menganyam ni...jadi selalu buat silap...sarung ketupat menjadi...akhir saya menangis kerana gagal. Mak memujuk saya, disuruhnya saya mencuba lagi dan lagi.....akhirnya saya berjaya. Saya kira2nya handal dalam menganyam ketupat bantal dan ketupat bawang. Kemahiran ini masih saya warisi sehingga sekarang...terima kasih emak.

Borhan Mohamed Dali said...

Kita serupaa... Saya pun ada belajar anyam ketupat. Tapi cuma boleh anyam ketupat bawang aja. Ketupat sate, bantal tak reti nak anyam. Apa tah lagi ketupat tilam.