Malam kelam. Bintang-bintang berkelipan di langit tinggi. Bulan purnama memancarkan cahayanya ke bumi dengan megahnya. Cahaya tersebut menyelinap memasuki ruang tamu rumah yang comel milik Md Dali melalui tingkap yang terbuka. Di ruang tengah, isteri serta empat orang anaknya sedang duduk berkumpul di bawah sinaran lampu gas selepas anak-anak itu selesai belajar Muqaddam, namun Md Dali tiada bersama mereka. Dia berada di ruang tamu.
Dengan bantuan cahaya bulan, Md Dali memutar punat radio transistor besar miliknya mencari siaran cerita ‘Kebun Pak Awang’ di stesyen Radio Malaysia Kuala Lumpur. Pada waktu itu radio transistor besar-besar belaka, tetapi hanya menggunakan sel bateri kering enam biji untuk membolehkannya berfungsi.
Demikianlah keadaannya pada waktu malam di kebanyakan rumah di Kampung Batu 6 bakri; menggunakan lampu gas kerana pada awal-awal tahun enam puluhan, tenaga elektrik belum disalurkan ke kampung tersebut. Oleh itu, perkataan ‘kipas angin’, ‘seterika’, ‘peti ais’ tidak terdapat di dalam kamus kehidupan penduduk-penduduknya. Tetapi mereka cukup mengenali ‘air batu’. Mengapakah demikian?
Bagi sesetengah keluarga, berbuka dengan minuman cendol dan air cincau menjadi kegemaran. Sebagai minuman berbuka puasa, suri rumah yang menyediakan air cendol dan cincau akan mencampurkan air batu ke dalamnya. Walau pun di rumah mereka tiada peti ais lantaran ketiadaan karan elektrik, penggemar minuman sejuk ini tidak pernah risau kerana mereka mudah mendapat bekalan air batu.
Setiap petang akan ada dua orang pemuda menyorong basikal melalui celah-celah rumah. Di atas tempat barang basikal mereka (dipanggil karia basikal) ada sebuah tong besar yang memuatkan bungkah-bungkah air batu sebesar lebih kurang enam inci keliling dibalut dengan serbuk papan. Pemuda-pemuda tersebut melaungkan ‘air batu, air batu!’ ‘Air batu, air batu!’ Dengan pemuda-pemuda ini para suri rumah mendapatkan air batu. Sebuku sepuluh sen. Sungguh lazat rasanya, apabila berbuka puasa dengan air cendol yang lemak manis serta sejuk…
Sekarang, pemandangan seperti itu tidak kelihatan lagi. Dunia sudah moden.
Shares fond memories of the good old nostalgic days, light and easy, before electricity lighted our nights, tv came into our houses, paraffin lamps put aside to accumulate dust, computers came into view; let alone internet, facebook, blog... Wondering if my English Russia friends and English friends from Secret Seven's Peter, Janet, Pam, George, Colin, Jack, Barbara and Scamper (dog which likes to lick and munch and gobble) experienced such adventures, which I reckon 'Of course they did...'
Popular Posts
-
Kanak-kanak seusia saya tidak banyak permainan yang dibeli di kedai. Kebanyakan alat permainan dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan...
-
Dalam posting 8 Disember 2011, saya telah menulis tentang temuduga di Sekolah Kebangsaan Dato' Palembang, Bukit Baru, Melaka, dua h...
-
Salam. Semalam 14 November 2010 bersamaan 7 Zulhijjah 1431H, genap 3 tahun pemergian bonda Tuminah. Al Fatihah. Sehubungan itu...
1 comment:
Di Bulan Puasa Ni Sedapnya Kalau Hari2 Dapat Minum Air Batu.....
Post a Comment