Popular Posts

Wednesday, June 15, 2011

Transit di Colombo

(Terima kasih kepada hj hassny kerana setia mengikuti posting saya.  Insya Allah saya akan poskan gambar-gambar yang berkaitan dari semasa ke semasa bersama-sama pengalaman saya.  Allaahu Akbar!)

     Di dalam posting sebelum ini, saya telah menceritakan sedikit mengenai 'prayer room' di Lapangan Terbang Changi, Singapura dan di Lapangan Terbang Colombo, Sri Lanka.  Posting kali ini adalah keadaan alam sekitar di kawasan bandar Colombo dan kampung-kampung yang saya bersama rombongan lalui dalam perjalanan ke hotel penginapan.

      Perjalanan dari Singapura (take off pukul 9.15 malam hari Sabtu dengan pesawat Cathay Pacific) mengambil masa lebih kurang empat jam tiga puluh minit.  Semasa dalam penerbangan, ada beberapa kali pesawat mengalami penerbangan yang tidak lancar menyebabkan pramugari yang sedang melayan penumpang terpaksa balik ke kabin kerana menurut mereka, "The weather is not so good".  Kadang kala pesawat bertukar 'altitude', terasa seperti dilambung ombak, kemudian dihayun ke bawah, mengakibatkan saya merasa ngeri, satu pengalaman yang tidak pernah saya alami semasa terbang pada tahun 1998 dengan pesawat Transmile dulu.  Saya terkenangkan jalan raya yang menghubungkan Pagoh, Muar dengan Bukit Kepong, Muar.  Sebahagian daripada jalan ini adalah naik dan turun bukit serta bengkang-bengkok seperti ular kena palu.  Di satu tempat berhampiran Pejabat Hutan dekat kawasan petempatan pekan Lenga Batu 27, jalan naik bukit dan tiba-tiba menjunam turun.  Kadang-kadang saya sengaja tidak memperlahankan kenderaan semasa menuruni bukit ini, menyebabkan anak dan isteri saya terasa ngilu di dalam perut; "sakit-sakit sedap..." kata seorang kawan.  Itulah yang saya rasai dalam penerbangan pada malam itu.  Tetapi buka "sakit-sakit sedap", tetapi rasa cemas.  Kalau-kalaulah terhempas...  Saya mengucap sambil memejamkan mata.

  Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah, akhirnya kami sampai dengan selamat di Lapangan Terbang Colombo lebih kurang jam 11.00 malam waktu tempatan untuk transit.  Selepas berurusan dengan Imigresyen, kami dibawa dengan bas melalui Bandaraya Colombo serta kampung-kampung dan tali air ke Hotel Pegasus.  Sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 30 minit ini, keadaan di bandar Colombo tidaklah menarik sangat lantaran bangunannya yang kelihatan usang di waktu tengah malam yang kelam itu.  Kemudian bas membelok masuk ke jalan yang sempit, lalu saya lihat rumah-rumah kampung yang tidak berapa besar serta kelihatan uzur di kiri kanan jalan.  Keadaan malam tidak memungkinkan saya mengambil gambar-gambar untuk kenangan.  Saya dapati banyak terdapat patung-patung 'Jesus' dan 'Virgin Mary' di persimpangan-persimpangan yang sempit itu, menimbulkan anggapan bahawa kebanyakan penduduk sini beragama Kristian.
Jalan kampung yang sempit

Patung Virgin Mary?
     Akhir sekali kami sampai jam 12.30 malam waktu tempatan di tempat kami penginapan kami yang sederhana tetapi selesa.

     Esoknya, pukul 5.00 pagi hari telah terang, berbeza dengan keadaan di Malaysia.  Dari tingkap bilik saya yang terletak di tingkat bawah kelihatan pantai yang cantik serta beberapa orang berada di pantai.  Menurut seorang pekerja hotel, mereka mengumpulkan kayu yang dihanyutkan oleh sungai yang berhampiran.
Gambar diambi jam 5.00 pagi waktu tempatan dari beranda bilik.  Yang terang di belakang sana ialah laut.

Satu lagi pemandangan dari beranda bilik hotel.

     Selepas bersarapan, kami naik bas ke lapangan terbang untuk menyambung perjalanan ke Jeddah.

Bersarapan di hotel

          Di atas jalan raya bandar Colombo, banyak kelihatan kenderaan seperti di bawah ini.  Dulu, semasa saya mula bersekolah di Sekolah Ismail Dua Muar, ada dua buah.  Hendalnya berupa hendal skuter Vespa, berwarna biru, warna identiti Vespa ketika itu.
Apa nama kenderaan ni?

4 comments:

hassny said...

Memang seronok membaca cerita haji ni.....bersyukur kerana prasarana tempat kita lebih bauk dari Colombo.

hassny said...

Cerita pasal patung Virgin Mary ni, teringat masa posting pertama mengajar di SM Canossian Convent Segamat. Rimas dibuatnya....patung di sana sini. Lambang salib depan belakang kelas. Apa yg saya buat, mana-mana kelas yg saya masuk mengajar, saya cabut lambang tu, dan simpan di satu tempat. Kalau lambang tu dipasang lagi...saya cabut lagi dan simpan. Itulah kelebihan kuasa pengetua sekolah tu yang bertaraf 'Sister'. Saya ingat lagi namanya Sister Theresa Yeo. Yang pasti dia ni masih 'virgin'.

Borhan Mohamed Dali said...

Ish, ish, ish, berani Hj cabut lambang tu ye? Saya mungkin tak berani. Kalau tak silap, Canossian Convent tu kat jalan nak pergi Kg Jawa Segamat, kan? Atau itu sekolah rendah? Apa pun syukur sebab saya tak kena posting di sekolah Convent. Tapi di sekolah Orang Asli. Nanti saya start cerita apabila album saya yang mengandungi gambar-gambar semasa di Bukit Serok tu dah jumpa.
Saya pernah tengok patung sedemikian semasa bermesyuarat dan berkursus di Sekolah Convent Muar, dulu. Sekarang tak taulah ada lagi ke tidak. Saya perasan lencananya pun berbeza antara Muslim dengan Non Muslim semasa jaga pereksa SPM di sana dulu.
Sister tu masih virgin lagi ye? He he he... Interesting, interesting...

hassny said...

Yang Hj Borhan sebut di Kg Jawa tu, itu adalah sekolah rendah. Sekolah Menengahnya terletak di Jln Buloh Kasap tak jauh dari bandar Segamat (Di belakang gereja besar dan bertentangan dengan Taman Batu Hampar). Selepas Kementerian Pelajaran mengambil alih pentadbiran sekolah2 "Missionaries" pada 1992, barulah pengetuanya dilantik dari bukan kalangan pihak lembaga pengelola gereja, sebaliknya dilantik di kalangan guru biasa. Selepas tu, barulah lambang2 keagamaan di kelas dan kawasan sekolah di tiadakan.