Popular Posts

Sunday, February 26, 2012

Hari Kedua

    (Dalam posting saya sebelum ini di bawah tajuk 'Hari Pertama Sebagai Kerani' saya ada menulis tentang rasa tidak selesa dengan luahan rasa rakan serumah saya.  Dalam posting kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang bagaimana Allah melorongkan satu penyelesaian dengan amat mudah sekali.  Sesungguhnya tiada perkara yang susah bagiNya.  Dia berkuasa memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.  Ikutilah pengalaman saya seterusnya.)

   Keesokan harinya saya mengadu kepada kakak Cik Siti Rosmah tentang keadaan saya.  Saya juga menyatakan hasrat untuk tidak tinggal di rumah sewa bersama Ustaz.  Sedang saya bercerita, masuk ke pejabat seorang lelaki yang kelihatan garang tetapi agak kacak; berkulit putih, tinggi lampai, berambut keriting.  Ibu jari tangan kirinya kelihatan sedikit bengkok.  Barangkali sedikit kecacatan sejak lahir.  Kak Siti Rosmah memperkenalkan saya kepadanya: Ungku Noh bin Ungku Abdul Majid, pelayan makmal.  Selepas itu saya menyambung cerita saya.

     "Iya tak iya juga.  Kalau orang dah tak mau kita duduk dengan dia, buat apa kita nak tunggu lagi?" respon Kak Siti.

     "Kalau macam tu, engkau ikut aku balik.  Duduk kat rumah aku.  Sekarang bini aku tak ada.  Balik kampung, bersalin,"  tiba-tiba Ungku Noh menyampuk sambil menyalakan sebatang rokok 'Menthol' yang dikeluarkan dari kotak berwarna hijau. Selepas itu dia menyedutnya dan menghembuskan asap dengan penuh rasa kepuasan. 

     "Boleh juga."

     "Nanti pukul 4.00 aku datang sini.  Bawak engkau balik,"  Ungku Noh mencadangkan.

     "Terima kasih," saya menerima usulannya dengan senang hati.

     Petang itu, Ungku Noh membawa saya ke rumah yang disewanya di Kampung Solok Wan Mok, kira-kira tiga batu (lima kilometer) dari SDBL arah ke Ayer Hitam, Batu Pahat.  Rumah sewanya yang berwarna hijau campur coklat terletak di hujung sederet rumah separuh kekal (dinding bahagian atas diperbuat daripada papan berwarna hijau manakala bahagian bawah diperbuat daripada batu dicat coklat, berlantaikan simen) yang paling dekat dengan lorong masuk.  Menghadap rumah sewa Ungku Noh ialah sederet rumah sewa yang serupa.  Di kelilingnya banyak pokok-pokok kampung.  Tidak terasa panasnya. 

     Saya meletak skuter di bahagian hadapan rumah Ungku Noh lalu masuk membawa bersama-sama beg pakaian saya.  Rumah itu mempunyai dua bilik; bilik hadapana dan bilik belakang.  Ruang tamu selebar dua belas kaki bermula dari pintu masuk di hadapan.  Di hujung ruang tamu ialah bilik air dan tandas yang bersebelahan dengan dapur.  Di ruang tamu terdapat satu set kerusi serta meja (coffee table).  Antara kerusi set dengan bilik air terdapat sebuah almari setinggi empat kaki, di atasnya satu benda bebentuk bulat.  Tiada terdapat hiasan di dinding rumah.  Peralatan di dapur juga tidak banyak.  Saya kira Ungku Noh ini sederhana orangnya.
     Selesai saya sembahyang maghrib, Ungku Noh mengajak saya keluar untuk makan malam.

No comments: