Popular Posts

Saturday, February 25, 2012

Belajar Menaip

     Apabila mengenangkan kerja saya sebagai kerani junior banyak memerlukan kemahiran menaip, saya bersyukur kerana mendapat peluang belajar menaip semasa di tingkatan lima.  Waktu itu entah bagaimana, saya disuruh ayah belajar menaip (sebagaimana Kak Long dan Romli) di Institut Trengkas Malaysia (ITM) Jalan Sulaiman, Muari.  (Sekarang bangunan institut sudah tiada.  Di tapaknya ialah bangunan AmBank).

     Saya pergi belajar menaip seminggu empat jam; pukul 8.00pagi - 12.00 tengahari setiap Jumaaat.  (Dahulu, hari Jumaaat dan Sabtu adalah cuti umum bagi negeri Johor, sama seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu).  Pada mulanya saya bayang kelas menaip adalah seperti kelas-kelas lain di sekolah; guru mengajar di depan, murid-murid menghadapa guru.  Guru menyoal, murid menjawab.  Guru memberi kerja rumah.  Kalau tak siap?  Siap.  Bunyi loceng waktu rehat; keluar.  Selepas rehat masuk kembali untuk sambung pelajaran.  Rupa-rupanya kelas menaip tidak begitu.  Bilik kelas hanya sebuah.  Di dalam bilik kelas terdapat banyak meja yang disusun berbaris-baris dengan di atas setiap meja terdapat sebuah mesin taip.  Pelajar yang masuk kelas jam 8.00 pagi seperti saya terus masuk tanpa perlu mengucap 'Selamat Pagi Cikgu', cari meja yang tiada penghuni, ambil kertas pendua di atas meja guru, keluarkan buku pelajaran dan mula menaip.  Kalau ada masalah, panggil guru yang du di hadapan.  Demikianlah keadaannya.  Tidak terdengar bunyi guru mengajar.  Yang kedengaran hanya bunyi mata-mata mesin taip mengetuk kertas pendua yang digunakan untuk menaip.  Sesekali guru pergi ke meja pelajar untuk membantunya apabila ia menghadapi masalah.

     Kali pertama belajar, guru (seorang lelaki) mengajar saya memasukkan kertas pendua seraya membentangkan buku pelajaran menaip di sebelah mesin taip.

     "Letakkan jari-jari awak di atas butang-butang huruf.  Ketuk dari kiri ke kanan sambil mulut awak baca a, s, d, f, g, jarak kolon l, k, j, h.  Apabila dah bunyi loceng, tarik handle ini ke kiri dan mula semula dari awal, sampai bahagian bawah kertas."  Begitulah lebih kurang pengajarannya sambil mengarahkan saya mengetuk butang mesin taip yang disusun sebagaimana yang kita lihat papan kekunci komputer sekarang.

     Mula-mula menaip memang kekok tetapi lama-lama seronok pula. Rupa-rupanya, ilmu itu sangat berguna kepada saya di kemudian hari.  A blessing in disguise.

1 comment:

Unknown said...

Assalamualaikum :)

Sekrg dah tak ada belajar menaip...budak2 pratikal kat Pejabat Kak Ngah pun tak tahu nak guna mesin taip elektrik...