Popular Posts

Thursday, November 27, 2014

Rakit Abang Kaled

     Cuti sekolah pertengahan tahun, saya bersama isteri mengikut satu rombongan ke Vietnam.  Tak saya sangka, saya boleh berada di Vietnam sebab saya tak pernah bercita-cita untuk ke sana.  Yang lebih tak saya sangka, saya secara tak sengaja terjumpa dengan rakan sejawat semasa bertugas di Batu Pahat dahulu, Pn. Zubaidha Massini bersama murid-muridnya.  Pertemuan ini berlaku di hadapan Muzium Perang Bandara Ho Chin Minh.
     Semasa di Vietnam, kami berkesempatan menaiki sampan menghilir sungai kecil yang airnya mengalir terus ke Sungai Mekong yang terkenal itu.  Sambil menghilir, saya mengambil kesempatan mendayong sampan yang saya naiki bersama isteri saya, Bang Ngah dan Kak Ngah.  Saya teringat waktu saya kecil, saya menaiki rakit yang diperbuat oleh kayu mudik parit besar yang saya selalu mandi dahulu.
Bersama isteri semasa di Vietnam

Menyusuri anak sungai yang mengalir ke Sungai Mekong
     Waktu itu, saya masih kecil sangat, hanya duduk di atas rakit.  Yang mendayungnya ialah Abang Kaled, (sepupu saya) anak arwah Mak Ngah.  (Abang Kaled telah kembali lebih awal daripada Mak Ngah).
     Bagi sesiapa yang mungkin belum pernah melihat rakit, ingin saya gambarkan secara maya.  Beberapa batang kayu getah besar disusun di dalam air dan diikat kemas.  Saiz rakit bergantung kepada pembuatnya.  Rakit yang Abang Kaled buat taklah besar sangat, hanya saya boleh duduk di atasnya dan Abang Kaled mendayungnya.  Apabila tidak bermain dengan rakit itu, Abang Kaled menambatnya di tebing parit dengan cara membenamkan sebatang galah panjang melalui celah antara jalinan kayu rakit ke dasar parit.  Oleh sebab rakit diikat kemas, tali yang mengikat rakit tidak mudah terurai untuk membolehkan kayu rakit hanyut.  Maka selamatlah rakit Abang Kaled yang isitmewa itu daripada dibawa arus kehilir.
Ini bukan rakit yang Abang Khaled buat

     Semasa mudik parit besar, Abang Kaled sebenarnya tidak mendayung rakit itu, tetapi menolak rakit itu dengan sebatang galah panjang.  Ini dilakukan dengan cara menujah galah panjang itu ke dasar parit yang cetek airnya dan berpasir, dan menolak kuat-kuat untuk menggerakkan rakit ke hadapan.  Pada masa yang sama, Mak Andak bersama beberapa orang Mak Saudara yang lain berjalan kaki menyusuri tebing parit untuk kekebun. 
     Sekarang Abang Kaled telah tiada.  Rakit yang dibuatnya pun telah lama tiada.  Yang masih ada hanyalah parit besar yang banyak mewarnai hidup saya.  Itupun airnya terlalu cetek, kerana telah diempang di sebelah hulu oleh manusia yang ingin mengaut keuntungan semata-mata.