Popular Posts

Saturday, September 25, 2010

Mandi Manda Di Parit Besar (Bahagian Satu)


(Hari ini 16 Syawal.  Saya tidak bercadang menulis tentang pengalaman saya menyambut hari raya semasa kecil-kecil.  Saya fikir cukuplah apa yang telah saya tulis setakat ini.  Mungkin Syawal tahun depan akan saya tulis lagi.  Sebelum Hari Raya tempoh hari, saya telah menyiapkan catatan tentang pengalaman saya berseronok dengan rakan-rakan sebaya di parit besar tidak jauh dari rumah kami.  Saya akan mengeposnya dalam dua bahagian.  Mungkin pengalaman ini ada kesamaan dengan apa yang anda lalui semasa kecil-kecil dahulu.)

      Sebelum saya dilahirkan, air paip bukanlah sesuatu yang biasa bagi pendudukan Kampung Batu 6 Bakri.  Paip yang ada hanyalah paip kerajaan yang diletakkan di tepi jalan.  Satu di tepi jalan hadapan rumah Wak Yon, satu di hadapan Wak Selamat Batu 6 dan satu lagi di Batu 5, kalau tidak silap saya.  Penduduk kampung yang tinggal dekat dengan paip kerajaan beruntung kerana dapat menggunakan air paip percuma untuk makan minum, mandi dan membasuh pakaian.  Bagi mereka yang tinggal jauh tetapi berdekatan dengan parit besar pula beruntung kerana dapat menggunakannya untuk mandi-manda dan membasuh pakaian.  Untuk minuman dan memasak makanan, mereka menggunakan air hujan yang ditadah menggunakan tempayan.
     Parit besar yang digunakan dahulu itu sekarang dipanggil 'Parit Mohamad'; terletak di sempadan antara Kampung Batu 6 Bakri dengan Kampung Batu 5 Bakri. Dulu Parit Mohamad airnya jernih, dasarnya berpasir, kelihatan ikan-ikan kecil yang kami panggil 'ikan kacang'; ia bermuncung panjang dan lancip; rupanya seolah-olah 'Ikan Todak' seperti gambar yang terdapat di dalam Buku Tawarikh Sekolah Rendah di tahun-tahun 60an, semasa pengarangnya menceritakan kisah 'Singapura Dilanggar Todak'

     Selain daripada digunakan sebahagian pendudukan kampung seperti Wak Jom, Mak Ngah Esah, Tok Chik, Pak Aji, ia juga menjadi tempat kanak-kanak bersukaria  Semasa kecil, saya bersama-sama rakan sebaya selalu mandi-manda di parit besar ini, kadang-kadang menangkap ikan kacang.

     Pada waktu-waktu biasa, paras air parit hanyalah paras pinggang atau dada.  Kami selalu bermain-main di sini, berenang dari sebelah sini ke sebelah sana, memercikkan air kearah satu sama lain dan kadang-kadang bergusti.  Cara kami bergusti adalah berpasang-pasang; budak yang kecil duduk di atas bahu budak yang lebih besar.  Setiap pasangan cuba menjatuhkan pihak lawan ke dalam air.  Dari semasa ke semasa, Jabatan Parit dan Tali Air akan mengorek parit ini untuk mendalamkannya.  Ketika itu, paras air adalah lebih tinggi, kami akan tenggelam kalau tidak pandai mengapungkan diri.  Waktu itu akan lebih ramai budak-budak yang bermain di sini.  Mereka akan terjun 'somersault' ke dalam air dari dahan pokok getah yang menganjur dari tebing.  Kadang-kadang, budak-budak yang lebih cekap akan berusaha membuat pusingan dua kali di udara sebelum sampai di air dengan mengakibatkan percikan air yang dahsyat.

     Ada satu peristiwa yang saya masih ingat hingga kini, tetapi tak dapat saya muatkan di sini kerana tulisan ini sudah kelihatan terlalu panjang.  Mungkin dalam Bahagian Dua.  Jumpa lagi!

1 comment:

Kak Lin said...

Salam....
Tak Sabar Nak Tunggu Bahagian Kedua!