Di dalam 'Mandi-Manda Di Parit Bahagian Satu, saya menulis tentang parit besar (Parit Mohamad) yang bukan sahaja menjadi tempat sebahagian penduduk kampung mandi dan membasuh pakaian, tetapi juga turut mewarnai kehidupan kanak-kanak kami. Orang mungkin fikir semua ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berseronok-seronok di parit ini. Ini adalah tidak benar.
Mungkin orang berfikir bahawa ibu bapa saya tidak peduli sama ada saya menghabiskan masa mandi-manda di parit besar. Sebenarnya, mereka sentiasa mempastikan bahawa kami (saya dan abang) tidak mandi parit. Sekiranya mereka tahu bahawa kami 'mandi parit', kami pasti akan dimarahi. Mereka boleh mengesan jika kami telah mandi parit. Pakaian kami kelihatan berkedut-kedut, muka, rambut dan lengan kami berdebu, mata kami merah macam jembalang tanah. Kadang-kadang saya cuba mendengar nasihat mereka supaya tidak 'mandi parit' tetapi godaan untuk 'mandi' beramai-ramai terlalu hebat untuk dilawan.
Pernah suatu hari saya dan Bang Ngah dimarahi oleh ayah apabila kami tidak mematuhi arahannya , sebaliknya menghabiskan hampir sepanjang petang di parit besar.
Pada waktu itu, tidak ramai penduduk kampung menggunakan dapur minyak tanah untuk memasak kerana kebanyakannya bukanlah orang berharta. Kebanyakannya menggunakan kayu api. Keluarga kami termasuk di dalam kelompok ini. Lantaran itu, setiap kali pokok getah tua ditebang untuk ditanam semula, maka kami akan beramai-ramai membawa parang dan gergaji mengerumuni pokok-pokok getah yang telah tumbang seperti semut menghurung gula. Batang-batang kayu yang sebesar sepemeluk akan kami potong bertual-tual,
lebih kurang sepanjang tiga jengkal setual. Apabila sampai di rumah, tual-tual kayu ini akan dibelah-belah dan disusun bersilang-silang untuk dijemur. Orang yang rajin membuat kerja ini adalah Bang Ngah walau pun badannya kecil sahaja.
Pada suatu tengah hari, ayah mengarah kami untuk mengunpulkan kayu api sebanyak yang kami terdaya di kebun Wak Suradi. Ayah tidak dapat untuk bersama-sama kerana dia dan emak hendak menghadiri majlis khenduri kahwin. Dengan taatnya kami memulakan kerja tersebut tetapi kami tidak mampu untuk bertahan. Sekejap sahaja kami telah menyimpan parang kami dan berjalan pantas menuju parit besar, kerana kami tahu kawan-kawan kami telah berada di situ. Kami mandi-manda serta bermain sepuas-puasnya bersama kawan-kawan sehingga larut petang. Apabila matahari mula hendak membenamkan dirinya yang kemerah-merahan itu di ufuk barat, kami bergegas kembali ke kebun untuk menyambung kerja. Tetapi ayah dan emak telah ada di situ.
'Engkau ke mana?' tanya ayah dengan perlahan, pandangan sepasang matanya yang tajam menikam kalbu. Saya dapat merasakan sesuatu yang buruk akan berlaku.
Teruk kami dimarahi ayah. Itulah akibatnya apabila tidak mahu mendengar kata orang tua. Memang padan dengan muka kami!
Shares fond memories of the good old nostalgic days, light and easy, before electricity lighted our nights, tv came into our houses, paraffin lamps put aside to accumulate dust, computers came into view; let alone internet, facebook, blog... Wondering if my English Russia friends and English friends from Secret Seven's Peter, Janet, Pam, George, Colin, Jack, Barbara and Scamper (dog which likes to lick and munch and gobble) experienced such adventures, which I reckon 'Of course they did...'
Popular Posts
-
Sekolah swasta tempat saya mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6 menawarkan dua kelas; kelas Melayu dan Inggeris. Memandangkan saya te...
-
The Pre University students had just ended their 'Academic Village for 2011'. They commended the initiative by saying that the...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam....
Abg Ngah Pun Kena Sekali...Hahahahaha....Tulah Sapa Suruh Nakal2....
atuk haji jika dah merenung, masing2 takut....hu3
Post a Comment