Popular Posts

Sunday, August 22, 2010

Abah Mohamed Dali

Abah (gambar) meninggal pada hari Jumaat 12 September 2008 bersamaan 12 Ramadhan 1429H kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Sehari sebelum itu, saya membawa Abah ke Klinik Kesihatan Bakri Batu 6, pemeriksaan kesihatan biasa dari semasa ke semasa yang perlu dipatuhi lantaran penyakit kencing manisnya. Pagi itu doctor memaklumkan bahawa paras gula dalam darah agak tinggi, tetapi masih terkawal. Tekanan darah normal dan lain-lain tiada masalah.

Pukul 6.00 petang saya singgah di rumah Abah dalam perjalanan ke sekolah. Abah berbaring berselimut mengiring ke kanan.

“Kenapa Bah?”

“Abah demam.”

Saya rasa dahinya. Memang sedikit panas. Kemudian saya bergegas ke sekolah. Saya tahu adinda Badar yang tinggal di rumah bersama-sama Abah menjaganya dengan baik.
Pukul sembilan malam ketika sedang bertarawih di Balai Islam sekolah, Badar menelefon minta saya datang segera. “Abah tak sedar,” katanya cemas.

Sampai di rumah Abah, saya lihat Abah terbaring gelisah dan mengerang, tetapi tidak menyahut apabila namanya dipanggil. Badar berada di sisinya. Cepat-cepat saya mendail nombor kecemasan dan tidak lama kemudian sebuah ambulan dari Pusat Kesihatan Bakri sampai. Abah dibawa ke hospital Pakar Sultanah Fatimah dengan ambulan tersebut, isteri saya Rubi menemani.

Tengah malam, doctor memaklumkan bahawa beliau member dos ubat yang paling kuat kepada Abah lantaran tekanan darahnya sangat rendah sambil menasihati supaya mengumpulkan adik beradik.

Di dalam bilik kaca, saya bersama Rubi, Kak Long dan adik-beradik yang lainbergilir-gilir membaca yasin dan mengajar Abah yang hidungnya diserkup dengan gas. Bunyi tarikan nafasnya yang dibantu oleh alat pernafasan adalah seperti air yang menggelegak, rancak. Jururawat bertugas, Pn. Maria Ibrahim yang sedang mememeriksa keadaan Abah menoleh apabila bunyi pernafasan Abah semakin perlahan, lalu langsung terhenti. Doktor pun bergegas melakukan prosedur menyelamatkan Abah. Namun, sudah sampai masanya Abah kembali. Inna lillaahi wainna ilaihi raaji ‘uun. Abah kembali dengan tenang, seperti tidur.

Saya sayu hati. Air mata kesedihan tidak dapat ditahan-tahan. Saya redha dengan pemergiannya. Semoga Alah Ta’ala mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al Fatihah.

2 comments:

Nabiilah Borhanudin said...

Al-fatihah buat arwah..

Unknown said...

Al-Fatihah...Arwah Abah Senantiasa Dalam Kenangan....