Popular Posts

Thursday, December 8, 2011

Sesat Di Hujung Jalan

     Di dalam posting saya yang bertajuk 'Tingkatan 6 (Bahagian 2)' saya ada menyatakan bahawa cuti sekolah hujung tahun bekenaan merupakan cuti sekolah terakhir saya sebagai pelajar di sekolah swasta tersebut.  Ini kerana tahun berikutnya saya tidak lagi kembali ke sekolah itu sehinggalah sekarang.  Rakan-rakan di kelas Inggeris pun hanya seorang sahaja yang pernah saya jumpa selepas beberapa tahun.  Rupa-rupanya dia telah berkahwin dengan rakan sekelas saya semasa di institusi pengajian tinggi dahulu, adik kepada seseorang yang sangat berpengaruh di negeri Johor.
 
     Sebelum saya ceritakan sebab musabab saya meninggalkan sekolah itu, ingin saya mengimbas kembali satu pengalaman yang tidak penting tetapi amat bermakna kepada saya.

     Segala-galanya bermula apabila saya menerima surat panggilan temuduga di Sekolah Kebangsaan Dato' Palembang, Bukit Baru Melaka dua hari sebelum hari raya Aidil Fitri semasa saya di Tingkatan 6 Rendah.  Saya telah menghadiri temuduga jawatan Kerani Pelajaran tersebut ditemani oleh Romli anak Pak Usu Ali menunggang skuter Vespanya bernombor BAA 1370 (Bayar Ansur-Ansur 13 ringgit 70 sen... gurau sahaja)

     Keesokan harinya saya membawa Kak Long menunggang skuter ayah ke tempat yang sama dan menghadiri temuduga untuk jawatan yang sama.  Selesai temuduga, kami mencari-cari jalan pulang ke Muar namun telah tersesat.  Dari Bukit Baru, kami ke Jalan Bendahara lalu terus ke Bandar Hilir.  Kemudian berpusing ke Jalan Bendahara semula lalu ka Bandar Hilir semula.  Begitulah keadaan kami beberapa kali sehingga akhirnya Kak Long terperasan bahawa Bukit China terletak di sebelah kiri kami.  Sepatutnya kami membelok ke kiri untuk ke Muar.  Moral of the story: Malu berkayuh, perahu hanyut, malu bertanya, sesat jalan.

                                                     *          *          *          *          *

Lencana Sekolah Dato' Bentara Luar Batu Pahat
     Awal Januari berikutnya, saya menerima surat tawaran jawatan Kerani Pelajaran mengarahkan saya melaporkan diri di Sekolah Menengah Dato' Bentara Luar dan saya telah menerima tawaran jawatan tersebut.  Masalah saya di Tingkatan 6 telah selesai.  Tetapi beberapa tahun kemudian, saya telah mengambil peperiksaan untuk pelajar-pelajar tingkatan 6: yakni Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

No comments: