Popular Posts

Sunday, October 9, 2011

Hidup Marhaban!

     Membaca komen daripada Sdr Hj Hassny dalam posting saya September 18, saya fikir kegemaran saya dan kegemaran Hj Hassny ada sedikit persamaan.  Hj Hassny suka marhaban retro, saya pun suka.  Saya cuba nak buka marhaban retro Hj Hassny tu, tapi dah tak kelihatan.  Nampaknya saya kena usaha lagi untuk mencari ruangan tersebut. 
     Seperti Hj Hassny, pemuda-pemuda Kampung Batu 6 Bakri pun bermarhaban juga.  Guna lagu klasik.  Lagu Sekah, Masri, Yaman Sekah, Ras dan lain-lain.  Seperti Hj Hassny juga, kami juga sekarang ni naik marhaban banyak rumah.  Hampir 80 buah rumah dalam tiga pagi; raya pertama, kedua, ketiga.  Dulu-dulu marhaban kampung dibuat dalam satu hari setengah.  'Touch and Go' jugak.  Satu rumah lebih kurang 10 minit.  Tapi kalau ada jamuan istimewa misalnya tauhu dan tempe goreng di rumah Sdr Hamzah, nasi putih lauk ikan masak asam di rumah Pak Cik Md Dali; masa yang diambil lebih lama.  Sekarang ni, tak larat nak buat satu hari setengah.  Buat tiga pagi pulak: raya kedua, ketiga dan keempat.
     Semasa saya sedang remaja, emak saya selalu suruh mendodoikan adik di dalam buaian supaya tidur.  Untuk mendodoikannya, saya tidaklah menyanyikan lagu

     'Hendak gugur, gugurlah nangka
      Jangan menimpa batang pauh
      Hendak tidur, tidurlah mata
      Jangan mengenang orang yang jauh'

seperti yang dinyanyikan oleh Halimah, janda yang sedang menidurkan anaknya yang di dalam buaian ketika Leman sedang melintas di hadapan rumahnya di Kampung Changkat Duku dalam novel 'Musafir'.  Akan tetapi, saya mengalunkan lagu-lagu marhab retro hari raya.  Dari satu lagu ke satu lagu (ada banyak lagu) hinggalah adik saya tertidur.
Mendodoi adik sambil bermarhaban dengan penuh perasaan
    
     Di kampung saya sekarang, 'feel' lagu klasik yang dibawa sudah sedikit berbeza daripada 'feel' di tahun-tahun 80an, 70an dan 60an dulu.  Dulu (di tahun-tahun 60an) lenggok-lenggok lagu masih banyak.  Lagu-lagu dibawa tenang dengan nada suara yang sederhana.  Di tahun-tahun dan 80an (waktu itu saya menjadi ketua marhaban) saya mengekalkan kaedah seperti di tahun-tahun 70an dan enam puluhan.  Sekarang, pada pengamatan saya, lenggok-lenggok lagu sudah berkurangan, manakala nada suaranya juga tinggi (high-pitched).  Saya cuba mengikut nada suara yang dibawa ketua marhaban, nyata usaha saya itu menyakitkan perut dan tekak.  Ini kerana suara saya adalah suara 'bass' atau 'G' manakala kebanyakan anggota marhaban sekarang mempunyai nada suara yang tinggi (high-pitched voice) atau suara 'C'.  Itulah sebabnya Cikgu Sulaiman Ishak (pesara guru yang pernah mengajar di SMK Tun Perak dan menjadi guru besar sekolah di Teluk Rimba) menugaskan saya membawa 'suara dua' semasa saya menjadi anggota Koir Daerah Muar satu ketika dulu.
     Sekarang, saya sudah jarang-jarang mengikuti rombongan marhaban ke luar kampung (dilakukan hampir setiap malam sepanjanga Syawal) memandangkan kesempatan yang semakin berkurangan lantaran komitmen terhadap keluarga yang semakin bertambah.  Walau bagaimanapun, kami adik beradik seramai sepuluh keluarga masih lagi mengalunkan marhaban apabila berkunjung ke rumah emak-emak dan bapak-bapak saudara dengan mengekalkan gaya retro (tahun 60an dan 70an).
Bermarhaban adik-beradik

     Untuk kumpulan marhaban Kampung Batu 6 Bakri dan Kampung Parit Keroma (Kampung Hj Hassny) tahniah saya ucapkana kerana masih lagi bermarhaban dan masih mengekalkan lagu-lagu retro.  Semoga ianya berkekalan.  Sampai bila?  Sampai bila-bila!
    
     Menjawab soalan Hj Hassny dalam posting saya pada September 28, jawapannya ialah 'tidak' walau pun saya berhasrat untuk memasukkannya dalam rangkap akhir.  Ini adalah kerana kita bermarhaban hanya sebuah rumah.  Kalau beberapa rumah seperti yang kita buat pada tahun 2009 dulu, mungkin hasrat itu akan terlaksana.  Mungkin tahun depan kalau adalah kunjungan marhaban ke rumah-rumah guru...
    

No comments: