(
Artikel di bawah adalah ditulis semula setelah deraf yang asal hilang. Dulu, saya dah tulis sebahagiannya tetapi belum dipos sebab saya hendak menunggu waktu yang sesuai. Tetapi akhirnya apabila dicari, tak berjumpa. Ini adalah apa yang saya ingat.)
Di sesetengah tempat, hujan dah lama tak turun. Air parit semakin surut. Ikan menyorok semakin jauh ke dalam selut. Kalau dulu, kanak-kanak berpakat untuk menimba ikan di parit-parit yang dikenal pasti ada ikan. Salah seorang daripada mereka ialah Bang Ngah. Aku cuma ikut sahaja dalam rombongan tersebut. Tetapi sebelum itu, ingin aku cerita sedikit tentang Bang Ngah dan 'pancing'; sekadar yang aku ingat. Kalau salah, minta maaf kepada Bang Ngah, harap beliau boleh memperbetulkannya.
Bang Ngah memang agak 'penganyir'. Asal pergi memancing, mesti dapat ikan. Biasanya ikan keli atau ikan 'betik' (betuk). Kadang-kadang Bang Ngah memancing di parit tepi jalan besar di hadapan rumah Emak yang waktu itu, airnya agak jernih. Pada waktu yang lain, dia bersama-sama kawan-kawannya (kadang-kadang aku ikut sekali) menyusuri parit-parit kecil di kebun-kebun getah orang pada hari tiada sekolah (Jumaat dan Sabtu). Walau pun tak banyak ikan keli, sepat atau betik, jarang yang Bang Ngah pulang dengan tangan kosong.
Ada ketikanya Bang Ngah bermain pancing selepas mandi petang. Waktu itu, emak selalu suruh kami mandi pada pukul 6.00 petang. Kemudian pakai baju tidur (baju melyu sepasang warna kuning jalur-jalur, aku punya dan Bang Ngah punya serupa). Masa itu Bang Ngah campak pancing yang sudah dibubuh umpan cacing ke dalam parit depan rumah dan membiarkannya semalaman. Pancing itu tak akan hanyut dibawa arus sebab tersekat dek rumpai. Lagipun, airnya cuma mengalir lesu. Pagi esok apabila bangun tidur, perkara pertama yang dibuatnya ialah memeriksa pancingnya yang dicampak ke dalam parit semalam. Tu dia, seekor ikan keli menggelitek di hujung kail atau seekor belut membelit tali kail. Bang Ngah berlari-lari gembira sambil membawa pancing tersebut ke rumah. Mak goreng ikan keli atau belut yang Bang Ngah dapat. Manis! Lazat!
|
Ikan betik (betuk) |
|
Ikan keli |
|
Ikan sepat |
Kadang-kadang Bang Ngah turun ke parit depan rumah Emak pada waktu airnya hanya separas peha membawa bersama-sama pungkis rotan milik abah. Pungkis rotan ini digunakan untuk serok (baca 'sae' dan 'rok') ikan. Untuk menyerok ikan, Bang Ngah membenamkan pungkis ke kawasan tebing parit yang diyakini ada ikan menyorok dengan edudukan pungkis beberapa inci dari permukaan air. Kemudian dia menepuk-nepuk serta menggoyang-goyangkan air dengan harapan ikan yang menyorok di tebing akan keluar atau terkeluar oleh gelombang yang terhasil. Selepas itu, dia akan mengangkat pungkis. Sekirannya ada, ikan akan terperangkap lalu terdampar di dalam pungkis. Bang Ngah akan mencampakkannya ke atas tebing parit. Begitulah yang akan dilakukannya berulang-ulang. Kadang-kadang dapat ikan betik, kekadang ikan keli, kadang belut, kadang labi-labi!
|
Serok ikan (gambar hiasan) |
1 comment:
Penganyir.....cerita yang amat menarik. Sama seperti ditempat saya, budak-budak pancing ikan, tetapi bezanya ikan-ikan dijadikan hiasan malahan kadang-kadang dah dapat ditangkap dilepaskan semula ke dalam parit (tak faham kenapa budak2 kg saya buat begini). Sampai sekarang ini spesis ikan Haruan, Keli, Betik (Puyu) , Sepat dan ikan Pelaga masih ada di parit-parit keliling rumah saya.
Post a Comment