Popular Posts

Sunday, February 26, 2012

Hari Kedua

    (Dalam posting saya sebelum ini di bawah tajuk 'Hari Pertama Sebagai Kerani' saya ada menulis tentang rasa tidak selesa dengan luahan rasa rakan serumah saya.  Dalam posting kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca tentang bagaimana Allah melorongkan satu penyelesaian dengan amat mudah sekali.  Sesungguhnya tiada perkara yang susah bagiNya.  Dia berkuasa memberi kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNya.  Ikutilah pengalaman saya seterusnya.)

   Keesokan harinya saya mengadu kepada kakak Cik Siti Rosmah tentang keadaan saya.  Saya juga menyatakan hasrat untuk tidak tinggal di rumah sewa bersama Ustaz.  Sedang saya bercerita, masuk ke pejabat seorang lelaki yang kelihatan garang tetapi agak kacak; berkulit putih, tinggi lampai, berambut keriting.  Ibu jari tangan kirinya kelihatan sedikit bengkok.  Barangkali sedikit kecacatan sejak lahir.  Kak Siti Rosmah memperkenalkan saya kepadanya: Ungku Noh bin Ungku Abdul Majid, pelayan makmal.  Selepas itu saya menyambung cerita saya.

     "Iya tak iya juga.  Kalau orang dah tak mau kita duduk dengan dia, buat apa kita nak tunggu lagi?" respon Kak Siti.

     "Kalau macam tu, engkau ikut aku balik.  Duduk kat rumah aku.  Sekarang bini aku tak ada.  Balik kampung, bersalin,"  tiba-tiba Ungku Noh menyampuk sambil menyalakan sebatang rokok 'Menthol' yang dikeluarkan dari kotak berwarna hijau. Selepas itu dia menyedutnya dan menghembuskan asap dengan penuh rasa kepuasan. 

     "Boleh juga."

     "Nanti pukul 4.00 aku datang sini.  Bawak engkau balik,"  Ungku Noh mencadangkan.

     "Terima kasih," saya menerima usulannya dengan senang hati.

     Petang itu, Ungku Noh membawa saya ke rumah yang disewanya di Kampung Solok Wan Mok, kira-kira tiga batu (lima kilometer) dari SDBL arah ke Ayer Hitam, Batu Pahat.  Rumah sewanya yang berwarna hijau campur coklat terletak di hujung sederet rumah separuh kekal (dinding bahagian atas diperbuat daripada papan berwarna hijau manakala bahagian bawah diperbuat daripada batu dicat coklat, berlantaikan simen) yang paling dekat dengan lorong masuk.  Menghadap rumah sewa Ungku Noh ialah sederet rumah sewa yang serupa.  Di kelilingnya banyak pokok-pokok kampung.  Tidak terasa panasnya. 

     Saya meletak skuter di bahagian hadapan rumah Ungku Noh lalu masuk membawa bersama-sama beg pakaian saya.  Rumah itu mempunyai dua bilik; bilik hadapana dan bilik belakang.  Ruang tamu selebar dua belas kaki bermula dari pintu masuk di hadapan.  Di hujung ruang tamu ialah bilik air dan tandas yang bersebelahan dengan dapur.  Di ruang tamu terdapat satu set kerusi serta meja (coffee table).  Antara kerusi set dengan bilik air terdapat sebuah almari setinggi empat kaki, di atasnya satu benda bebentuk bulat.  Tiada terdapat hiasan di dinding rumah.  Peralatan di dapur juga tidak banyak.  Saya kira Ungku Noh ini sederhana orangnya.
     Selesai saya sembahyang maghrib, Ungku Noh mengajak saya keluar untuk makan malam.

Saturday, February 25, 2012

Belajar Menaip

     Apabila mengenangkan kerja saya sebagai kerani junior banyak memerlukan kemahiran menaip, saya bersyukur kerana mendapat peluang belajar menaip semasa di tingkatan lima.  Waktu itu entah bagaimana, saya disuruh ayah belajar menaip (sebagaimana Kak Long dan Romli) di Institut Trengkas Malaysia (ITM) Jalan Sulaiman, Muari.  (Sekarang bangunan institut sudah tiada.  Di tapaknya ialah bangunan AmBank).

     Saya pergi belajar menaip seminggu empat jam; pukul 8.00pagi - 12.00 tengahari setiap Jumaaat.  (Dahulu, hari Jumaaat dan Sabtu adalah cuti umum bagi negeri Johor, sama seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu).  Pada mulanya saya bayang kelas menaip adalah seperti kelas-kelas lain di sekolah; guru mengajar di depan, murid-murid menghadapa guru.  Guru menyoal, murid menjawab.  Guru memberi kerja rumah.  Kalau tak siap?  Siap.  Bunyi loceng waktu rehat; keluar.  Selepas rehat masuk kembali untuk sambung pelajaran.  Rupa-rupanya kelas menaip tidak begitu.  Bilik kelas hanya sebuah.  Di dalam bilik kelas terdapat banyak meja yang disusun berbaris-baris dengan di atas setiap meja terdapat sebuah mesin taip.  Pelajar yang masuk kelas jam 8.00 pagi seperti saya terus masuk tanpa perlu mengucap 'Selamat Pagi Cikgu', cari meja yang tiada penghuni, ambil kertas pendua di atas meja guru, keluarkan buku pelajaran dan mula menaip.  Kalau ada masalah, panggil guru yang du di hadapan.  Demikianlah keadaannya.  Tidak terdengar bunyi guru mengajar.  Yang kedengaran hanya bunyi mata-mata mesin taip mengetuk kertas pendua yang digunakan untuk menaip.  Sesekali guru pergi ke meja pelajar untuk membantunya apabila ia menghadapi masalah.

     Kali pertama belajar, guru (seorang lelaki) mengajar saya memasukkan kertas pendua seraya membentangkan buku pelajaran menaip di sebelah mesin taip.

     "Letakkan jari-jari awak di atas butang-butang huruf.  Ketuk dari kiri ke kanan sambil mulut awak baca a, s, d, f, g, jarak kolon l, k, j, h.  Apabila dah bunyi loceng, tarik handle ini ke kiri dan mula semula dari awal, sampai bahagian bawah kertas."  Begitulah lebih kurang pengajarannya sambil mengarahkan saya mengetuk butang mesin taip yang disusun sebagaimana yang kita lihat papan kekunci komputer sekarang.

     Mula-mula menaip memang kekok tetapi lama-lama seronok pula. Rupa-rupanya, ilmu itu sangat berguna kepada saya di kemudian hari.  A blessing in disguise.

Hari Pertama Sebagai Kerani

     Dalam posting 8 Disember 2011, saya telah menulis tentang temuduga di Sekolah Kebangsaan Dato' Palembang, Bukit Baru, Melaka, dua hari sebelum Hari Raya Aidil Filtri 1976. Hari berikutnya, saya menghantar Kak Long menghadiri temuduga bagi jawatan yang sama.

     Rezeki saya, saya ditawarkan jawatan Kerani Pelajaran di Sekolah Dato' Bentara Luar (SDBL), Batu Pahat manakala Kak Long tidak.  Saya bersyukur sebab mendapat jawatan itu tetapi sedih kerana Kak Long terpaksa menunggu lagi.
Sekolah Dato' Bentara Luar, Batu Pahat

     13 Januari 1977, saya menunggang skuter Vespa JC2551 milik ayah saya ke SDBL yang terletak di Jalan Lim Poon setelah membuat tinjauan awal bersama-sama Romli beberapa hari sebelum itu.  Saya sampai waktu pagi.  Dengan perlahan-lahan penuh sopan saya mengetuk pintu pejabat yang ada di tingkat bawah sambil menjenguk ke dalam.  Seorang wanita manis mendongak lalu bangun mempersilakan saya masuk sambil tersenyum manis yang menggetarkan perasaan muda saya.  Inilah wanita yang saya temui semasa tinjauan tempoh hari.  Berasal dari Kampung Parit Pinang Seribu, Muar, namanya Cik Siti Rosmah bte Hj Tahir.

     Beliau lalu mengarahkan saya untuk memulakan kerja.  Kerja pertama yang perlu saya perlu lakukan ialah menaip gaji staf akademik sekolah atas sebuah paysheet besar.  Terkial-kiallah saya menaip angka-angka gaji guru-guru.  Walau pun saya mempunyai sijil menaip, tugas yang sedang saya lakukan itu adalah sangat mencabar sebab itu pengalaman pertama saya selain daripada kenyataan bahawa menaip angka-angka lebih susah daripada menaip huruf-huruf.  Apatah lagi apabila menggunakan mesin taip (waktu itu komputer belum ada di sekolah-sekolah Malaysia).  Lagipun, saya tidak boleh tersalah taip gaji orang lain.  Aniaya karang...

     Cik Siti Rosmah sentiasa memperkenalkan saya kepada setiap guru yang masuk ke pejabat.  "Kenalkan, kerani baru, Borhanudin..."  Begitulah lebih kurang kata-katanya semasa memperkenalkan saya kepada guru-guru Sekolah Dato' Bentara Luar.  Cikgu-cikgu akan menghulur tangan untuk bersalaman, dan saya akan menyambutnya sambil tersengih seperti kerang busuk.

     Ramai rupanya guru-guru SDBL ni.  Ada Melayu, Cina, India.  Yang paling rami adalah Melayu.  Antara nama yang masih saya ingat ialah Paiman Hussein, Kadir Bawok, Ruba'ie Sulaiman, Mashudan Kamar, Mahadzir (India Muslim) dan Chan.

     Di satu sudut pejabat, 'Budak Pejabat' atau pun juga dipanggil 'peon' duduk di atas kerusi dengan senang hati.  Namanya Rahim.  Sekali pandang, macam samseng.  Mukanya masam.  Takut saya melihat akan gelagatnya.

     Tengah hari pertama saya bekerja, datang pelayan makmal bernama Senin ke pejabat.  Dia telah diarah untuk membawa saya ke rumah Ustaz yang mengajar di sekolah ini.  Saya bakal bersama-sama Ustaz tinggal di rumah sewa ini dengan berkongsi membayar sewa bulanan selama saya bertugas di sini.  Rumahnya tidak jauh dari sini, di Jalan Lim Poon juga.

     Petang itu selepas kerja, saya kerumah sewa saya.  Saya berbual-bual dengan Ustaz yang berasal dari Kelantan itu.  Dia mengatakan bahawa sebelum saya datang, dia tinggal berdua dengan seorang guru lagi yang saya belum sempat jumpa, sebab guru tersebut masih belum pulang dari kampung.

     "Saya sebenarnya tak mau ambil awak tinggal dengan saya, tapi En. Arif (nama Guru Besar SDBL.  Waktu itu masih dipanggil 'Guru Besar'.  Sekarang dipanggil 'Pengetua') suruh saya ambil juga".  Itulah antara kata-kata Ustaz yang membuat saya terkejut.  Walau bagaimana pun saya tidak lahirkan perasaan itu.

     "Awak boleh gunakan tempat tidur Cikgu ... (saya tak ingat nama Cikgu itu)," tambah Ustaz itu lagi.

     "Terima kasih," jawab saya, tetapi saya bertekad tidak akan menggunakan tempat tidur Cikgu kawan Ustaz itu.
    

Friday, February 24, 2012

Artis Dan Aurat

     Bertemu kembali.  Telah lama tak menulis.  Harap-harap saya mampu menyiapkan posting ini dalam masa yang terdekat.  Allah, ku mengharap pertolonganmu. Sesungguhnya Kau maha pemurah maha penyayang.
   
     Saya pernah menonton kenyataan beberapa orang artis di Youtube mengenai perkahwinan dengan orang lelaki yang lebih muda, menutup aurat, dan lainnya sila lihat(  http://www.youtube.com/watch?v=CQMsQ9uEc6Y&NR=1&feature=endscreen ) minit 1.25  Saya tidak terfikir kenyataan klishe seperti ini akan diulang oleh para artis.  Rupa-rupanya telahan saya itu tidak tepat.

     Empat hari yang lalu, saya terkedu apabila membaca kenyataan seorang artis wanita mengenai menutup aurat semasa menjawab soalan wartawan dalam sebuah akhbar harian.

     Pada awal tulisan, wartawan memuji-muji kecantikan artis tersebut pada usia yang hampir setengah abad apabila mengenakan busana yang tidak menutup aurat.  Kemudian pada perenggan enam, wartawan berkenaan meng'kenen'kan tentang sama ada artis jelita ini tidak terpanggil untuk mencontohi 'ramai artis muda yang mula berhijab (bertudung).  Antara jawapan beliau:

     "Ada orang berubah daripada segi penampilan tetapi hati tidak. Ada pula yang berhijrah dengan membersihkan hati serta menjaga pertuturan, tetapi seru untuk berhijab belum tiba.  

     "Saya pasti suatu hari saya akan melakukan hal (bertudung) yang sama...  

     "Apapun, saya kagum dengan adik-adik yang memperoleh seru di usia yanag muda dan berharap mereka ikhlas dan terus kekal begitu.  Sesetengah orang sudah elok bertudung, bila rasa jemu dibukanya tudung.  Tidak manislah begitu seolah persendakan agama pula..."

     Selepas itu saya menemui dua reaksi SMS pembaca di akhbar yang sama satu dan dua hari kemudian yang menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya.  Empat hari kemudian saya dapati bahawa majalah SOLUSI isu 41 mengupas tentang 'Tutup Aurat Supaya Selamat'.  Aduhai Kak, saya anjurkan Kakak membaca majalah SOLUSI isu 41.  Mudah-mudahan Allah memberi taufiq dan hidayah kepada kita semua untuk menjadi muslim yang lebih baik pada hari ini berbanding semalam.
    
     "Saya pasti suatu hari saya akan melakukan hal (bertudung) yang sama..."  Adakah kita pasti kita masih bernafas pada esok hari?

     Teringat saya semasa dalam Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor dulu.  Antara ayat dalam kitab Tauhid (darjah berapa saya dah lupa) berbunyi.  Orang Islam yang mengakui bahawa yang wajib tetap wajib tetapi dia tak melaksanakannya, disebut 'mukmin yang menderhaka'.  Kalau kita tak mampu nak melaksanakan yang wajib, lebih baik kita diam daripada mengata-ngata tentang orang lain yang melaksanakannya.

     Sejuk rasa hati apabila melihat Wardin Safiyyah Wilmot menutup aurat semasa berlakon dalam filem 'Senario The Movie' dan kagum dengan perkembangan dirinya sebagai seorang muslimah sekarang.  Semoga dia dan kita semua bahagia di dunia dan akhirat.  Ameen...