Popular Posts

Saturday, October 2, 2010

Pistol Mainan


     Kanak-kanak seusia saya tidak banyak permainan yang dibeli di kedai.  Kebanyakan alat permainan dibuat sendiri menggunakan bahan-bahan yang boleh diperolehi di sekeliling mereka.  Hanya gasing, gelang getah, layang-layang yang mereka beli, itu antara yang saya masih ingat.  Sungguhpun demikian, tidak kurang kanak-kanak sebaya saya yang berusaha membuat layang-layang mereka sendiri.  Selain daripada itu, kebanyakan alat permainan yang lain mereka perolehi dengan membuatnya sendiri.  Salah satu daripadanya ialah pistol mainan. 

     Untuk membuat pistol mainan tidaklah susah.  Kami hanya perlu melakar bentuk pistol yang kami inginkan di atas sekeping papan terpakai menggunakan arang yang kami cari di tempat buangan sampah.  Kemudian kami akan memotong papan tersebut menggunakan parang.  Bagi yang ayah mereka mempunyai gergaji papan, kerja memotong dan membentuk pistol menjadi lebih mudah.  Setelah siap, pistol mainan ini akan diselitkan di pinggang tuan punyanya menjadi teman setia kesana kemari.  Ada yang meniru bentuk pistol James Bond 007, ada yang meniru bentuk 'revolver'.  Bagi yang lebih kreatif, mereka berusaha lebih dengan membuat sarung pistol revolver daripada kulit buku latihan yang telah tidak dipakai.  Mereka mengguntingnya mengikut saiz yang dikehendaki, lalu menjahit tepinya.  Maka siaplah sebuah sarung pistol seperti yang ditonton dalam cerita-cerita koboi di TV "The Big Valley", "Rin Tin, Tin", "Bat Masterson" dan lain-lain.  Kawan-kawan akan mengkaguminya dengan penuh rasa cemburu.

      Ada di antara kami yang mempunyai lebih daripada satu 'senjata'.  Selain daripada pistol mainan, kami juga membuat senapang mainan yang juga diperbuat daripada papan.  Kaedah membuatnya sama seperti membuat pistol.  Ada juga senapang yang diperbuat daripada kayu getah.
Revolver

Pistol James Bond
     Setelah masing-masing telah mempunyai senjata, kami akan berkumpul untuk bermain 'askar-askar'.  Untuk itu kami akan membentuk dua pasukan; A dan B.  Setiap pasukan akan berkumpul di 'base' masing-masing.  Apabila permainan bermula, kedua-dua pasukan ini akan mencari 'musuh' dengan apa jua cara yang ada.  Anggota yang nampak dulu musuhnya akan melaungkan dengan kuat nama musuhnya diikuti perkataan 'mati'.  Maka 'matilah'lah musuh itu.  Akibatnya, dia terpaksa keluar daripada tempat persembunyian menanti pusingan tersebut tamat.

Sargeant Saunders dan Leftenan Hanley
     Romli seorang askar Kumpulan A.  Dengan pistol 007 di tangan, dia merangkakdi celah-celah rumpun tebu ala Sargeant Saunders dalam filem 'Combaat' di sebelah rumah Embah Esah.  Lima puluh meter di hadapannya ialah sebuah pondok kecil yang di dalamnya kelihatan seorang askar Kumpulan B.  Oleh kerana tidak pasti siapa askar tersebut, Romli tidak boleh menembak tanpa menyebut nama lawannya itu kerana itu akan membuatkan tembakannya tidak mengenai sasaran.  Lalu dia merangkak lagi mendekati pondok kecil itu.  Apabila angin bertiup, dia akan mara dengan pantas kerana daun-daun tebu akan mengeluarkan bunyi gemersik yang melindungi bunyi pergerakannya, dan pasti lawannya itu tidak sedar akan kehadirannya.

     Dengan pertolongan angin, Romli sudah hampir ke pondok musuh.  Tetapi dia masih belum dapat mengecam musuh yang membelakanginya itu.  Dia perlu mara lagi, tetapi terpaksa berhenti sebentar kerana angin berhenti meniup.  Dia menunggu dengan kesabaran yang semakin menipis.  Tiba-tiba, "Dam, Romli mati".  Terkejut dia.  Dia menoleh.  Sodin rupanya, sedang berdiri menghadapnya, muncung pistol menghala ke arahnya, senyuman kepuasan tergambar di wajahnya.

     Celaka!

1 comment:

Kak Lin said...

Salam..Sekrg Ni Pistol Mainan Dh Mcm Pistol Betul....