Popular Posts

Thursday, October 28, 2010

Hari Pertama Bersekolah (Bahagian Dua)

     Kemudian Cikgu Cina mengarahkan kami berjalan.  Kemana nak dibawanya kami?

     Ku tak tahu.  Kami dibawa berjalan di atas simen berbumbung, melintasi beberapa buah bilik darjah.  Tak lama kemudian, aku terhidu bau makanan yang enak.  Ramai budak berkerumun di satu bangunan yang bahagian atasnya terbuka.  Aku bersama-sama murid lain masuk ke bangunan tersebut.  Terdapat banyak bangku dan meja yang diperbuat daripada batu marmar.  Di atas bangku-bangku tersebut budak-budak sekolah sedang duduk menghadap makan masing-masing.  Bau makanan semakin kuat membuatkan ku terasa lapar.  Budak-budak yang lebih besar daripada kami meminggir memberi laluan kepada rombongan kami yang diketuai oleh cikgu Cina tadi.

     Kami berhenti di hadapan sebuah meja panjang yang tingginya lebih kurang separas bahuku.  Di atasnya, kulihat longgokan-longgokan makanan yang terletak di atas dulang-dulang bulat.  Ada tembusa, ada pisang goreng, ada jemput-jemput pisang sebesar penumbuk, dan banyak lagi yang aku tak ingat. 

     Di sudut sana kelihatan mi goreng di dalam pinggan-pinggan kecil yang disusun bertingkat-tingkat manakala di sudut sini pula sebuah balang minuman berisi air batu warna oren serta gelas-gelas plastik berwarna-warni.  Seorang lelaki cina sibuk menyedok air batu ke dalam gelas plastik berwarna-warni lalu meletakkannya di atas meja.  Cepat sahaja gelas-gelas tersebut disambar oleh tangan-tangan cilik dan duit lima sen diletakkan di atas meja.  Begitu juga kuih muih yang di atas dulang.  Murid-murid berebut-rebut mengambil makanan yang digemari lalu menghulur wang lima sen kepada penjaga makanan di belakang meja.  Kemudian pembeli tersebut berpusing ke belakang membawa kuih kegemarnnya dengan penuh rasa kepuasan.  Disudut sana, suasananya juga sama.  Tangan-tangan murid yang kelaparan menyambar piring mi goreng dan duit syiling sepuluh sen bertukar tangan.  Keadaan di sudut sana membuatku ku pecah selera, rasa nak beli mi goreng. Aku jarang makan mi.  Sedap barangkali...

     Kukira duit dalam kocek seluarku yang abah beri.  Cuma sepuluh sen.  Kalau beli mi tentu sedap.  Tapi nak minum apa?  Tak ada duit nak beli air?  Tak apalah.  Beli pisang goreng pun sedap jugak.

     Dengan penuh keazaman, aku mara ke arah dulang berisi pisang goreng.  Budak-budak lain ramai yang lebih besar dan tinggi daripadaku tapi aku tak peduli.  Sedikit demi sedikit aku bergerak, akhirnya ku berjaya mencapai seketul pisang goreng yang besar (semua pisang goreng besar pada waktu tu).  Cina tukang jaga memberiku sehelai kertas suratkhabar cina yang telah dipotong kecil-kecil untuk membungkus pisang gorengku.  Aku membayar harga pisang dengan duit sepuluh sen yang abah beri lalu cina tadi memulangkan baki lima sen.  Kemudian aku bergerak menuju ke tempat jualan air batu.  Kubeli segelas air oren dengan duit lima sen.  Habislah duit sepuluh sen yang abah beri pagi tadi.

     Di meja batu marmar, aku menikmati pisang goreng dan minuman air batu dengan penuh kepuasan.  Barangkali, itulah kali pertama aku membeli dan memakan makanan yang kubeli sendiri.  Berbeza dengan apa yang kulalui sebelumnya, semuanya sudah tersedia.  Sungguh lazat rasa pisang goreng yang mengkal, tidak berapa manis.  Sungguh enak rasa air oren yang sejuk, nyaman serta manis.

     Err... bila nak balik nih?

                                                                  

2 comments:

Lin Rosly said...

Salam...Kak Ngah Teng0k Mee G0reng Tu....Sedapnya....

Borhan said...

Mana lawan mee hailam yang kaw kaw. Hee hee hee... Tambah lak telur itik masak lemak, prrghh, latar belakang Maher Zain Insya Allah praise be to Allah