Popular Posts

Saturday, November 9, 2013

Dulu Pergi Tahlil

Salam bahagia pembaca sekelian.  Telah lama saya tidak menulis.  Berbagai-bagai perkara telah dilalui; perkahwinan dan kematian.  Apabila berlaku kematian sewaktu salah seorang penduduk kampung saya mengadakan majlis kenduri perkahwinan anaknya, 'Yang mati, mati yang kahwin, kahwin...'  Kata orang tua-tua.   Yang terbaru perkara seumpama itu berlaku kepada keluarga Mohd Ramdahan bin Rukiyat yang mengahwinkan anak perempuannya.  Pada malam pernikahan, jiran sebelah rumah Sarfan bin Juraimi (umur lebih kurang 63 tahun) meninggal dunia setelah menderita sakit sekian lama.

     Begitulah adat dunia.  Dulu saya kecil dalam riba ayah.  Saya jawab pertanyaan ayah 'engkau nak sekolah melayu ke sekolah inggeris?'  'Sekolah inggeris!'  walaupun saya tidak mengerti maksudnya pada ketika itu.  Sekarang, ayah telah lima tahun kembali menemui Ilahi.  Ibu? Sembilan bulan sebelum itu.

     Bukan itu sahaja.  Sepupu saya yang sama-sama membesar di kampung, Mohd Rumainor, juga telah kembali ke rahmatullah hampir dua bulan yang lalu dijemput malaikat maut Izrael. yang telah melawatnya 70 kali sehari, dan masih lagi lagi menziarahi kita 70 kali sehari kalau tidak salah saya.

     Bersama-sama suasana itu, kedudukan saya bersama rakan-rakan di kampung juga berubah.  Dulu, apabila berwirid khaujakan di rumah-rumah, kami kanak-kanak duduk di ruang tengah menghala ke dapur, manakala orang-orang tua di kepala rumah; tempat yang paling eksklusif.  Orang-orang tua mengepalai bacaan wirid khaujakan.  Yang muda sedikit (Busu Tamat dan lainnya) duduk di antara kepala rumah, menghala ke ruang tengah, begitulah seterusnya. 

     Kemudian seorang demi seorang meninggal dunia, tempat mereka diganti oleh yang lebih muda untuk meneruskan wirid khaujakan.  Sekarang, Busu Tamat telah lama tidak turut serta setelah penglihatannnya sangat kabur akibat peningkatan umur.  Yalah, dia sekarang adalah orang yang paling tua dalam Kampung Batu 6 Bakri

     Sekarang, apabila berwirid khaujakan di rumah-rumah, kami (kanak-kanak yang dulu duduk di ruang tengah menghala ke dapur,) duduk di kepala rumah, tempat yang paling eksklusif di sesebuah rumah.  Kami yang membawa wirid khaujakan, manakala anak-anak kami duduk di tempat yang kami penuhi dulu.  Apabila adalah tahlil, kedatangan kami dinanti, kerana kami akan mengepalai tahlil

     Dulu?  Saya masih ingat satu ketika semasa remaja, saya bersama-sama rakan-rakan serta penduduk kampung meredah malam selama enam hari ke rumah seseorang yang telah baru sahaja meninggal dunia untuk bertahlil.  Selepas petang hari keenam, Busu Tamat (yang ketika masih muda belia) datang ke rumah-rumah penduduk kampung seorang demi seorang menjemput ketua isi rumah (ayah saya le tu...) bertahlil malam ke tujuh.  Oleh sebab saya dikira belum dewasa, saya tidak dijemput bertahlil malam itu, walaupun saya telah melakukannya enam malam berturut-turut.
Kematian, sesuatu yang pasti.  Semakin ramai orang yang kita kenali telah menghadapNya.

     Dulu semasa saya masih kanak-kanak, saya melihat air mandian mayat bercucuran terjun dari lantai rumah ketika orang sedang memandikan mayat.  Rumah tersebut kelihatan tinggi tersergam, bawah rumahnya agak gelap.  Apabila saya besar sedikit, saya terbaca artikel yang mengatakan kalau seseorang melakukan beberapa perkara tertentu ketika mayat sedang dimandikan, dia boleh melihat syaitan sedang bersukaria mandi air mandian mayat yang terjun dari celah-celah lantai.  Dengan keadaan rumah yang tinggi sayup serta bawah rumah yang agak gelap menyeramkan, saya bayangkan rupa syaitan-syaitan seperti yang selalu saya lihat dalam lukisan kartun; kepalanya bertanduk, ekornya tajam seperti kepala anak panah, lembingnya bermata tiga.  eee... seram saya memikirkannya...

     Semasa saya kanak-kanak, saya takut melihat jenazah dipikul penduduk kampung menuju tanah perkuburan Batu 6 Bakri.  Saya takut melihat perarakan cina mati lalu menuju ke perkuburan cina Batu 6 Bakri.  Bahkan ketakutan saya memuncak apabila saya melihat tanglung putih yang di atas lori yang membawa mayat jatuh ke atas jalan raya.  Arwah Abang Khalid Md Shah (sepupu yang lebih besar daripada saya) cuba mengusik tanglung itu, tetapi ia melompat-lompat mengelak dan sesekali mengancam untuk menangkap Abang Khalid.  Eee... saya lari menjauhkan diri darinya.

No comments: