Popular Posts

Wednesday, March 7, 2012

Ungku Noh bin Ungku Abdul Majid

     Malam tu kami keluar ke bandar Batu Pahat untuk "dinner".  Saya menunggang skuter, Ungku Noh membonceng.  Dia mengarahkan saya meletak skuter di satu tempat berdekatan dengan deretan beberapa buah kereta sorong yang menjual nasi putih beserta beberapa lauk-pauk. Kereta-kereta sorong tersebut diterangi lampu gas (gasolin) ataupun karbait.  Saya tak ingat apa yang saya makan malam itu.  Tetapi saya masih ingat Ungku Noh memesan sambal sotong.  Sebagai orang kampung yang tidak biasa dengan keadaan itu, saya berasa janggal dengan suasana yang baru itu.  Malam itu saya belajar sesuatu; yakni mengeluarkan sedikit wang untuk mengalas perut!
Gerai jual nasi
     Kenapakah saya merasa janggal dengan suasana yang baru itu?  Sebaba saya tidak biasa dengan keadaan itu.  Sebagai budak kampung, Ayah mempastikan saya sentiasa berada di rumah pada malam hari walau pun ada ketikanya ayah membenarkan saya ke bandar bersama kawan apabila ada perayaan seperti sambutan Hari Kebangsaan.  Saya masih ingat suatu malam saya ke bandar bersama seorang kawan.  Kami makan mee goreng yang dijual seorang cina atas kereta sorong.  Apabila kami 'order' mee goreng, barulah dia menyiapkan makanan itu.  Kami makan mee goreng panas-panas.  Bukan main sedap kami makan.  Suasana seperti demikian hanya berlaku sekali-sekala.  Waktu lain, saya sentiasa ada di rumah waktu malam.
     Apabila hari hampir malam, ayah mempastikan saya menutup pintu dan tingkap rumah.  Selepas sembahyang maghrib, mengaji al Quran bersama adik beradik yang lain.  Kemudian, ayah atau ibu akan menyemak bacaan al Quran kami.  Kalau tiada melakukan kesalahan dalam bacaan, mereka akan memindahkan qiraah kami ke halaman baru.  Selepas mengaji, baca buku, kemudian "mapan" (masuk tidur). Demikianlah yang kami lakukan setiap malam sehingga khatam al Quran.
     Selesai "dinner", Ungku Noh membawaku mendaki kawasan perumahan yang diberi nama "Kampung Astana" ke rumah sebuah keluarga yang dia panggil 'Ayah Ungku' dan 'Mak Ungku'.  Dalam suasan malam yang masih muda, Kampung Astana kelihatan cantik dengan lampu-lampu neon menerangi lorong-lorong, cahaya lampu yang terpasang di rumah-rumah kayu yang comel serta serupa bentuknya, dibina di atas apa yang kelihatan seperti tanah-tanah lot.  Ketenangan di kawasan itu amat saya rasakan.  Sekali-sekala sebuah motosikal lalu menyusuri lorong-lorong sepi.
     Ungku Noh mengarah saya memasuki kawasan sebuah rumah.  Kami disambut oleh 'Mak Ungku', seorang wanita yang badannya 'berisi', berkulit sawo mateng sedang duduk di tangga rumah sambil menghisap rokok.  Menghisap rokok?  Itulah apa yang saya lihat.  Lagi satu pemandangan yang janggal pada fikiran saya.
     Demikianlah saya dibawa oleh Ungku Noh bin Ungku Abdul Majid ke rumah beberapa saudara mara dan kenalannya semasa saya tinggal bersama-samanya di Batu Pahat.

1 comment:

Anonymous said...

Salam Encik Borhan

Nama saya Hairil Anuar dari Batu Pahat. Kini menetap di kuala Lumpur.

Saya tertarik dengan artikel En Borhan mengenai Lambretta di kampung halaman En Borhan.

Saya memang sudah lama mencari motor skuter berkenaan dan sekiranya En Borhan tidak keberatan, saya ingin melihat skuter berkenaan. Teringin rasanya untuk menunggang skuter berkenaan.

Saya boleh dihubungi di alamat email:

fortitute_x@yahoo.co.uk

Diharap En Borhan sudi membalas pertanyaan saya ini di email. Terima kasih saya ucapkan.

HAIRIL
KUALA LUMPUR