Popular Posts

Saturday, October 15, 2011

Tingkatan 6 (Bahagian 2)

     Sekolah swasta tempat saya mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6 menawarkan dua kelas; kelas Melayu dan Inggeris.  Memandangkan saya telah belajar dalam sekolah Inggeris sejak darjah satu, saya bertekad untuk meneruskan pengajian dalam kelas tersebut.
Mungkinkah ini bangunan sekolah yang saya maksudkan itu?

Atau ini?

Atau ini?

Kalau tak pun, yang ini?
       Pada mulanya, segala-galanya berjalan baik.  Saya seronok mengikuti kelas-kelas yang diajar oleh guru-guru yang muda-muda dan bertenaga.  Mentari yang memancar terik bertukar mendung.  Seorang guru tidak hadir.  Belum pun dia kembali ke sekolah, seorang lagi guru tidak hadir.  Kemudian seorang lagi.  Rupa-rupanya guru-guru muda dan bertenaga ini adalah pelajar-pelajar universiti yang sedang bercuti.  Setelah habis cuti, masing-masing kembali semula ke kampus meninggalkan kami terkonting-konting.  Apa yang boleh kami lakukan hanyalah menanti guru-guru baru muncul untuk menggantikan mereka yang telah meninggalkan kami.  Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, guru ganti tidak juga kelihatan.  Kami resah gelisah kerana telah banyak ketinggalan pelajaran berbanding dengan pelajar-pelajar kelas Melayu.  Akhir sekali penyelasaian kepada masalah ini pun muncul apabila Guru Besar (waktu itu Pengetua sekolah menengah dipanggil 'Guru Besar'.  Khabarnya beliau telahpun meninggal dunia.  Al Fatihah) menemui kami.
     "Pelajar-pelajar, pihak sekolah tidak dapat menyediakan gurupguru untuk mengajar  awak.  Sekarang sudah bulan September.  Saya beri awak kebebasan untuk memilih.  Kalau awak masuk ke kelas Melayu, saya tidak akan mengenakan sebarang bayaran kepada awak hingga akhir tahun.  Kalau awak berpindah ke sekolah lain, saya tidak dapat menghalang."  Selepas itu, beliau beredar meninggalkan kami.  Para pelajar senyap.  Terbayang rasa kesal dan kecewa pada wajah masing-masing.
     Dengan berat hati saya melangkah masuk ke kelas Melayu dan mula belajar di situ.  Di dalam hati saya timbul rasa bimbang kerana tertinggal pelajaran selain daripada perlu membiasakan diri dengan istilah-istilah dalam Bahasa Melayu.  Walaupun perjuangan perlu diteruskan, tetapi hati saya tidak tertumpu kepada pelajaran tingkatan 6 di sekolah tersebut.  Saya sendiri tidak ingat sama ada saya menduduki peperiksaan akhir tahun, apatah lagi keputusan peperiksan itu.  Maka, cuti sekolah pada hujung tahun itu adalah merupakan cuti sekolah yang terakhir buat saya sebagai pelajar di sekolah tersebut.  Ini kerana saya tidak lagi kembali ke sekolah tersebut pada tahun berikutnya.  Oleh itu, bagaimanakah dengan peperiksaan STP saya?
Inilah bangunan sekolah yang dimaksudkan, lebih kurang...

Gambar-gambar foto di atas hanyalah kembar kepada bangunan sekolah tersebut.

Kini, bangunan itu telah tiada, di atas tapaknya adalah tanah lapan (di atas) dan gelanggang futsal.

1 comment:

hassny said...

Bangunan yang Hj Borhan maksudkan tu ialah Sekolah Akademik Daya. Betul-betul terletak di kawasan selekoh antara Pusat Rakan Muda dan Bekas Kolam Renang Muar. Bangunan sekolah ini sekarang telah tiada.

Sekolah Akademik Daya ini amat terkenal di daerah Muar pada tahun 70an bagi menampung pelajar yang tidak berpeluang belajar di sekolah kerajaan akibat sekatan SRP atau SPM atau STP pada masa itu. Satu lagi sekolah swasta yang terkenal pada masa itu ialah Sekolah Mohd Yasin yang terletak di batu 1/4 Jalan Bakri berhadapan dengan Sekolah Agama Sa'adiah. Sekolah Mohd Yasin ini diasaskan oleh bapa Tan Sri Mahyuddin, TPM kita.

Selepas itu tumbuh bermacam -macam sekolah swasta di daerah Muar antaranya yang terkenal ialah Institut Pendita, Maktab Adabi, Institut Maharani, Institut Halaman Cemerlang dan lain-lain.

Oleh sebab itulah agaknya Muar pernah digelar "The Site Of Intelectual" oleh Dato' Abd Aziz Md Yassin kerana Muar telah melahir ramai bijak pandai di semua peringkat sehingga ke peringkat negara.