Popular Posts

Sunday, October 9, 2011

Tingkatan 6 (Bahagian Satu)


     Bertemu kembali.  Siang tadi, pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas Sekolah Menengah Tengku Mahkota Muar telah berjaya menyempurnakan Perkampungan Akademik Pra Universiti 2011 dengan jayanya.  Masing-masing menyatakan rasa puas hati kerana aktiviti-aktiviti perkampungan banyak memperkukuhkan kemahiran mereka untuk menghadap peperiksaan STPM yang akan berlangsung sebulan lebih sahaja lagi.  Selamat menghadapi peperiksaan!  (Di bawah artikel ini akan saya lampirkan beberapa keping gambar untuk meraikan suasana tersebut)
     Bukanlah tujuan utama saya untuk menulis tentang perkampungan akademik yang baru berakhir, tetapi saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa menuntut di Tingkatan 6 dahulu.
     Dahulu, pelajar-pelajar tingkatan tiga tidak boleh naik ke tingkatan empat sekiranya mereka gagal dalam peperiksaan SRP/LCE (Sijil Rendah Pelajaran/Lower Certificate of Education).  Untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran di dalam tingkatan empat, mereka perlu mengambil peperiksaan tersebut sekali lagi. Oleh itu, pelajar-pelajar tercicir ini mendaftar di sekolah-sekolah swasta untuk membolehkan mereka belajar semula mata-mata pelajaran tingkatan tiga.  Selepas lulus, mereka boleh menyambung pengajian mereka di sekolah kerajaan.  Begitu juga bagi peperiksaan SPM/MCE (Sijil Pelajaran Malaysia/Malaysia Certificate of Education).  Waktu itu kelulusan bagi peperiksaan MCE dikira gred.  Gred Satu dan Dua dikira lulus dan pelajar layak menyambung pelajaran di tingkatan 6 sekolah kerajaan.  Manakala Gred Tiga dikira lulus tetapi pelajar tidak layak menyambung pelajaran tingkatan 6 di sekolah kerajaan.  Sebaliknya, mereka boleh belajar di sekolah swasta dan mengambil peperiksaan STP/HSC (Sijil Tinggi Persekolahan/Higher School Certificate) untuk masuk ke universiti.
     Kelulusan MCE saya tidak melayakkan saya menyambung pelajaran tingkatan di sekolah kerajaan.  Oleh itu, saya telah mendaftar sebagai pelajar di sebuah sekolah swasta dalam daerah Muar. (Kini sekolah itu tiada lagi; bangunan sekolahnya yang diperbuat daripada kayu telah tidak boleh digunakan kerana telah rosak teruk akibat lama terbiar, manakala kawasan sekelilingnya semak samun kerana tidak berjaga, rumput liar memanjat dinding kayu.).
     Bangunan sekolah yang terhad hanya mampu menampung kelas-kelas untuk pelajar yang akan mengambil peperiksaan SPM/MCE dan SRP/LCE sahaja.  Oleh itu, sidang pembelajaran untuk tingkatan 6 terpaksa diadakan di sebelah petang.  Keadaan ini memberi rahmat kepada saya kerana saya dapat membuat satu kerja lain sebagai usaha mencari wang saku tambahan.
Menunggang skuter Vespa untuk pergi menoreh.
     Ayah telah mengizinkan saya memotong getah di kebun getahnya yang terletak di Kampung Seri Tanjung.  Keadaan ini tidak menjadi masalah kepada saya kerana dulu-dulu saya selalu mengikut ayah ke kebunnya itu dengan membonceng skuter Vespanya.  Satu lagi perkara yang menggembirakan saya ialah, ayah mengizinkan saya menunggang skuter itu untuk pergi dan balik dari sekolah.
     Maka, bermulalah rutin kehidupan yang baru bagi saya; pagi menoreh, petang menghantar Emak ke sekolah Agama di Parit Haji Zin, langsung terus ke sekolah swasta seperti yang saya ceritakan di atas.  Selepas kelas, saya terus ke Pekan Bakri lalu berehat di Kedai Jahit Talib sementara menanti waktu sekolah Agama tamat sebab saya akan menjemput Emak untuk kembali ke rumah.
     Pada mulanya segala-galanya berjalan lancar.  Kusangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.  Atas sebab-sebab yang tertentu, saya tidak dapat meneruskan pengajian tingkatan 6 hingga ke akhir.
Doa; mohon pertolonganNya

'Bouncer' Pra U...

Ikrar dan azam: untuk berbuat yang terbaik!

Mohon Restu

Sebahagian Pemudah Cara Pra U Sek Men Tengku Mahkota

Mahal senyuman tu...

Masih ikrar lagi?

2 comments:

januarista said...

wah..bestnye,,,,nape tak buat kat luar?

Borhan Mohamed Dali said...

Bajet ciput. Lain kali kena cari sponsor...