Popular Posts

Sunday, September 18, 2011

Marhaban Di Kampung Batu 6 Bakri

     Baru-baru ini saya mengikuti rombongan Kumpulan Marhaban JKKK Mukim Bakri ke rumah Ketua Kampung dan Penghulu.  Salah satu daripadanya ialah di rumah Cikgu Bakar Sujak, Ketua Kampung Parit Hj Zin.  Dalam ucapan beliau, beliau memuji pemuda-pemuda Kampung Batsu 6 Bakri kerana membawakan lagu-lagu lama marhaban semasa mereka berkunjung ke rumah beliau baru-baru ini.

     Saya kira pujian beliau itu adalah memang selayaknya sebab Kampung Batu 6 Bakri sememangnya tidak menukar lirik dan lagu marhaban yang mereka perolehi selama ini.  Menurut Busu Tamat (Jamat bin Abdul Salam) nama nama lagu marhaban adalah 'Sekah', 'Yaman Sekah', Masri', 'Sekah Masri' dan lain-lain yang saya tak tahu nak menyebutnya.  Menurut beliau, lagu itu dipelajar penduduk Kampung daripada seseorang dari Kampung Parit Pinang Seribu, dialunkan setiap tahun semasa marhaban bersama-sama penduduk Kampung Baru (satu ketika dulu, Kampung Batu 6 Bakri dan Kampung Baru.berada dalam satu Pakatan).
     Saya masih ingat sewaktu saya memimpin Kumpulan Marhaban Pemuda Kampung Batu 6 Bakri dulu.  Persembahan kami dipuji oleh tuan-tuan rumah kerana mengekalkan lagu-lagu yang asal.  Salah seorang yang saya masih ingat ialah Allah yarham Aziz Mahfoz; bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bakri.  Saya lihat beliau seronok menikmati alunan suara yang kami dendangkan.  Mata jernihnya merenung lantai, tangan kanannya memegang tangan kiri di atas perut sambil mulutnya kumat-kamit mengikuti selawat yang kami tuturkan.  Setelah kami selesai, dia mengeluarkan satu keluhan kecil tanda kepuasan.
     Sewaktu saya sedang remaja, saya mengikuti rombongan kumpulan yang serupa yang pada waktu itu dipimpin oleh Busu Tamat (Jamat bin Abdul Salam).  Tuan rumahnya ialah Allah yarham Hassan Basri bin Sulaiman (berasal dari Parit Pinang Seribu tetapi menetap di Jalan Daud Muar).  Beliau memuji-muji persembahan kami ketika itu.  Suatu ketika Busu Tamat pernah bercerita kepada saya bahawa lagu Marhaban Kampung Batu 6 Bakri adalah dipelajari daripada orang Parit Pinang Seribu.  Wallahu a'lam.  Ekoran daripada itu, sekarang saya sedar mengapa Allah yarham Hassan Basri Sulaiman memuji.  Rupa-rupanya sebab lagu-lagu marhaban ada iras-iras lagu yang pernah dibawa oleh Kampung Parit Pinang Seribu!  Adakah sekarang masih ada lagi lagu itu di Kampung Parit Pinang 1000?

3 comments:

hassny said...

Wah! cerita marhaban....seronok ni, sebab saya memang suka marhaban. Raya ke-2,3 dan 4 yang lepas, Kumpulan Marhaban Lelaki kampung saya adakan kunjungan dari rumah ke rumah. Habis 80 buah rumah kami redah dalam masa 1 setengah hari sahaja(marhaban sebelah pagi sahaja dari pukul 8 pagi - 12.30 tgh).

Marhaban kami marhaban 'touch and go'. Jadi tuan rumah tak perlu risau, tak ada juadah istimewa pun tak apa, asalkan tuan rumah beri izin naik rumah untuk marhaban. Walaupun ada juadah istimewa, kami tak boleh duduk lama sebab kena bergerak ke rumah orang lain pula.
Biasanya satu rumah mengambil masa 10 minit sahaja.

Lagu marhaban.....semua lagu lama. Budak2 yang ikut marhaban pun minta lagu lama, tak mahu lagu baru. Jadi kami pun bawa lagu marhaban retro (sama macam lagu marhaban retro dalam Multiply saya tu). Cuma saya minta pada budak2 tu, bila bawa lagu lama, jangan laju-laju, tergopoh-gopoh nak cepat habis, nanti hilang seri , hilang lenggok dan hilang "syok" lagu tu.

Tahun lepas sekolah kita ada program Hari Raya masa koko. Hj Borhan kena handle bahagian marhaban lelaki. Saya lihat budak Faiq (5B), Aidil (5A), Hafiz (5B) dan group budak2 Parit Raja bawa lagu lama kampung masing2. Memang naik syok mendengar budak2 mendendangkan lagu lama walaupun irama lagunya berbeza dengan irama kampung saya. Bertambah syok lagi melihat telatah budak Faiq, Aidil, Hafiz dan rakan2 menggayakan cara bermarhaban dengan menekan-nekan cuping telinga, berdiri berhadap-hadap sampai terhantuk kepala masing2 dan melontarkan suara dengan kuat tanpa rasa segan. Saya amat berbangga dengan budak2 parit Raja ini sebab mereka sudah pelapis untuk generasi 40-50 tahun akan datang.

Semoga marhaban retro terus hidup sampai bila-bila............

Anonymous said...

salam , Tuan Hj Hassan Basri masih hidup lagi dan masih menetap di rumah lamanya di Jalan Daud . Keadaan kesihatannya agak merosot tetapi Alhamdululillah masih stabil .

Anonymous said...

Salam

Ayahanda Hassan Basree Sulaiman selamat pulang ke rohmatullah pada 11 feb 2013.