Popular Posts

Thursday, March 10, 2011

Nasi Ambeng

(Sebelum saya tulis 'Nasi Ambeng' ini, diucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada saudara mara dan sahabat handai yang terus menyokong blog ini.  Kak Ngah dan Keluarga, Tn. Hj. Hassni, Sdr. Mus dari Spura, Nyssa, Ibnu Jamaludin, Nuovic... tima kasee.  You are my fliendz)
   
     Dulu bila time Maulud Nabi SAW di surau kampung, kebanyakan penduduk kampung (lebih kurang 35 rumah) masak nasi ambeng (nasi bersama-sama lauk ayam masak kicap atau kari, lodeh, mi goreng atau mi hun goreng, serunding, ikan kering dan sebagainya) dibubuh di atas dulang yang dialas dengan daun pisanag, dan ketua keluarga akan membawanya ke surau termasuk sebagai jamuan.  Ayahku tak terkecuali.  Selepas maghrib, Ayah menjunjung dulang berisi nasi ambeng di atas bahu lalu berjalan di dalam kegelapan malam di tepi jalan raya (waktu itu, tiada lampu jalan seperti sekarang) menuju ke surau, yang diterangi lampu gasolin, aku ikut di belakang. Walau pun keadaan gelap, kami tidak merasa susah berjalan kaki ke surau kerana masih boleh melihat hadapan yang samar-samar.
  
     Sampai di surau, ayah meletakkan nasi ambeng yang dibawanya di atas lantai bahagian belakang surau bersama-sama nasi ambeng lain yang dibawa penduduk kampung.  Selepas selawat dan ceramah,  nasi ambeng pun dihidang orang, disusun di dalam surau, empat orang sehidang.  Kami pun makan berselera sekali, tetapi nasih ambeng sedulang tidak habis dimakan kerana memang dibubuh banyak supaya boleh dibawa balik untuk ahli keluarga di rumah.
Nasi Ambeng, dialas daun pisang.  Ada tempe, mee, lodeh ayam, serunding...

     Selepas makan, orang kampung akan mencari dulang masing-masing dengan melihat pada tulisan di bawah dulang, atau dengan corak, warna dan rupa dulang masing-masing.  Baki makanan yang dijamah (dipanggil 'berkat') akan dipindahkan ke dulang sendiri dan dibawa balik.  Menurut emak, orang dulu-dulu tunggu bapak balik dari surau sebab nakkan berkat.  Yang dah tidor pun, kalau dikejut akan bangun untuk menikmati 'berkat'.

     Kadang-kadang berkat ini akan digoreng sebagai sarapan esok pagi.  Rasanya memang lazat.  Kata arwah Embah Rawiyah; "Enak ea ora njamak..."

     Kadang-kadang, ada yang tak dapat bawa balik lauk, cuma nasi sahaja.  Ini kerana sebuah dulang nasi ambeng dikongsi oleh empat orang kanak-kanak yang sedang membesar.  Perasaan tamak menguasai hati mereka apabila mereka menghadap hidangan.  Masing-masing berkehendakkan lauk yang banyak.  Makan lauk dulu, kemudian sebat lodeh, kemudian mee, tempe dan sebagainya.  Akhirnya, tinggallah nasi alat-alat.  Makan nasi terkulat-kulat.

     Kadang-kadang nasi ambeng juga disediakan sebagai jamuan tahlil di rumah-rumah.  Apabila berlaku kematian, biasanya waris simati akan membuat tahlil tiga hari atau tujuh hari sebelum diikuti tahlil pada hari keempat puluh.  Sebagai adat, biasanya tuan rumah akan menyediakan nasi ambeng pada hari ketiga atau ketujuh.  Dulu-dulu bungkusan plastik dan beg plastik belum dicipta.  Oleh itu, tuan rumah menyediakan kertas belanja atau suratkhabar beserta daun pisang dan tali belanja (dibuat daripada pelepah pisang yang disiat halus-halus).  Selesai makan ala kadar, tetamu akan membahagi nasi serta lauk kepada empat bahagian dan membubuhnya di atas kertas belanja atau suratkhabar yang telah dialas daun pisang.  Kemudian kertas yang berisi berkat ini dibungkus dan digulung lalu diikat dengan tali belanja.  Tam tarra... bungkusan sudah siap.

     Apabila hendak pulang ke rumah masing-masing, tetamu yang datang menunggang basikel akan menggantungkan berkat di handle basikal sebelum mengayuhnya pulang.  Kadang-kadang ada yang terlanggar tunggul pokok getah.  Basikalnya tumbang, berkatnya berterabur atas tanah.  Ciann... anak isteri menunggu berkat di rumah.

Berkat yang diikat dengan tali belanja digantung di palang basikal

     Sekarang?  Berkat masih ada.  Tetapi sudah dibungkus dengan plastik dan dibimbit dalam beg plastik.  Diletakkan dalam bakul motor.  Mudah kan?

     Ada satu cerita yang diceritakan arwah Pak Usuku kisah yang berlaku pada masa dulu.  Entah betul entah hanya gurauan, ku tidak pernah menanyakannya.  Ceritanya berbunyi begini:

     'Dalam satu majlis tahlil, beberapa orang tetamu memakai serban besar.  Nasi ambeng sudah sedia terhidang di hadapan tetamu.  Tahlil dimulakan Pak Imam.  Sedang bertahlil tiba-tiba lampu gasolin padam.  Kelam kabut tuan rumah memasang semula.  Apabila telah terpasang tahlil disambung.  Ada tetamu yang perasan bahawa ayam engkong (bunyikan 'eng' seperti Lim Guan Eng dan 'kong' seperti kuih lengkong) iaitu lauk ayam istimewa di tengah-tengah hidangan telah hilang dari satu hidangan.  Tak lama kemudian dari bawah serban pak lebai, meleleh kuah ayam engkong...  Har, har, har... Apa anda piker?

5 comments:

LinRosly said...

Assalamualaikum....

Sedappppnya! nasi ambeng tu!lama tak makan...yg ada jual kat sini x sama rasa dg yg betul2 original! hehehehe

hassny said...

Wah! nostalgik betul cerita hj ni....sama berlaku macam di tempat saya waktu keci-kecik dulu. Yang mahal sekali ,lukisan basikal yang diikat dengan 'bontrot' tu...tak sangka Hj Borhan ni artis rupanya. Ambeng zaman dulu tinggal kenangan...ambeng sekarang ambeng moden, dah siap berbungkus berikat empat-empat dalam beg plastik. Konsep muafakat, berkomunikasi, kenal-mengenal dalam ambeng moden memang pupus sama sekali.

hassny said...

sambung cerita Nasi Ambeng Moden.....kadang2 bila balik bawa 'bontrot' ambeng moden bila sampai rumah, sekali buka bungkusan, Laa...nasi ayam rupanya... kadang2 yang muncul nasi campur aje, ada sesekali dapat nasi lemak.Nampak sangat orang sekarang main tangkap muat aje. Padahal telah dihebahkan seluruh kampung sebelum ini, bawa Nasi Ambeng.

Lyna@ShuK Ibnu No0R said...

nk nasi ambeng gak pak ude...

mus said...

nasi ambeng ni memang unik kombinasinya.. dan sudah tentu sangat sedap.. jika dapat makan secara berdamai...
di spura ni..susah juga nak cari nasi ambeng yg benar2 asli..kecuali dimasak sendiri...

baru2 ni saya telah ke subang jaya dan telah sempat makan nasi ambeng di sebuah restoran bernama 'Serai'.. boleh tahan juga..terutama rendang tu terasa sedapnya.. : P