Popular Posts

Tuesday, November 30, 2010

Tak Jadi Cerai!

     Sepasang suami isteri telah pergi menemui Saidina Umar Al Khattab.  Si isteri mengadu kepada Saidina Umar.

     "Wahai Umar, aku ingin bercerai dengan suamiku kerana dia tidak tahu mengurus dirinya sendiri.  Dia tidak membersihkan tubuh badannya dan menjaga penampilannya," kata si isteri.

     Saidina Umar Al Khattab pun menyuruh si suami membersihkan dirinya, membuang segala bulu yang tidak dikehendaki daripada tubuh badannya, memakai pakaian yang kemas serta memakai bau-bauan.  Setelah sudah musta'id, ia pun datang mendapatkan Khalifah Umar serta isterinya yang sedang menanti.

     Si isteri tidak berapa cam akan suaminya itu kerana dia kelihatan jauh lebih segak dan menarik berbanding dengan keadaannya selama ini.  Setelah beberapa ketika, dia sedar bahawa yang berdiri di hadapannya itu adalah suaminya sendiri.  Dia pun berpaling menghadap Saidina Umar lalu berkata,

     "Wahai Umar, aku tidak jadi bercerai dengan suamiku kerana dia sekarang sangat hebat dan menyenangkan."

Moral cerita:
     Ku ingin mengingatkan diriku dan diri para suami yang membaca anekdot ini agar sentiasa menjaga penampilan fizikal dan spiritual supaya menyenangkan isteri yang kita cintai.  Yelah, sebelum 'yuzawwijuka...' sentiasa menjaga penampilan apabila nak berjumpa mata air.  Bila dah bernikah, semakin tak teruurus; rambut, misai, janggut dah lupa nak andam.  Mandi pun...
Adakah kita nak rupa kita macam ni?
... atau macam ni?
... kalau tak pun, camnie?



... atau pun yang nie?

Saturday, November 27, 2010

Nongkrong Dekat Marwah

     Keseronokan semasa mengerjakan haji merupakan pengalaman yang manis.  Entah sempat entah tidak mengulanginya pada waktu lain, wallahu a'lam.  Dua daripada pengalaman manis yang masih saya ingat ialah bersarapan selepas saei dan masuk ke masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat.

Umrah
    Biasanya jemaah haji mengambil kesempatan mengerjakan umrah sebaik sahaja selesai mengerjakan fardhu Subuh.  Ketika itu, mereka yang telahpun siap berpakaian ihram bergegas memasuki van yang sedia menanti di hadapan bilik hotel masing-masing.  Apabila penuh, Pak Arab memandu van membawa jemaah haji ke Ja'ranah atau Tana'im untuk berniat dan sembahyang sunat di masjid.  Kemudian Pak Arab membawa mereka kembali ke Masjidil Haram.  Tambangnya 6 Riyal sahaja (lebih kurang 5 ringgit lebih duit Malaysia pada waktu itu).

     Kami tawaf dan saei dalam cuaca yang belum panas lagi.  Setelah selesai bercukur, kami pun berjalan menuju arah deretan gerai yang menjual pelbagai sarapan.  Waktu itu, badan sudah pun berpeluh.  Kira-kira kalau di Malaysia, kami baru sahaja selesai menoreh.  Kami membuka bekalan lempeng atau ubi rebus atau jemput-jemput di pangkal pokok getah.  Mengunyah ubi rebus cicah sambal tumis sambil meneguk air kopi 'o' daripada botol kaca.  Dicampur dengan sedikit bau getah buku, alangkah nikmatnya!

     Demikianlah, kami yang sudah berpeluh memesan 'roti telur' atau 'roti daging' (seperti roti perancis yang dibelah tengahnya dan disumbat dengan telur goreng hancur atau daging goreng hancur)dengan air nescafe.  Kemudian, saya dan isteri membawa makanan tersebut ke tepi dinding Marwah (tempat saei) yang jauhnya hanya lebih kurang 50 meter sahaja, lalu menikmati sarapan kami yang lazat itu sambil 'nongkrong' (di sana gerai-gerai tidak menyediakan kerusi meja untuk pembeli makanan).  Selesai bersarapan, kadang-kadang kami terus balik ke hotel, kadang-kadang 'tawaf kedai'. 

Doa Makbul
    Satu lagi pengalaman ialah apabila saya dibayar 'cash', yakni doa saya dimakbulkan oleh Allah serta-merta.  Setiap Jumaat, Masjidil Haram penuh sesak dengan jamaah yang mahu solat Jumaat sejak awal lagi walau pun ketika itu zohor belum masuk.  Para jemaah yang bersesak-sesak; melimpah ke halaman masjid yang ber'tile' dan seterusnya ke kakilima kedai-kedai.

     Itu memang kebiasaannya apa yang berlaku pada hari Jumaat.  Pada hari itu, saya telah terlambat datang tetapi saya bertekad untuk bersembahyang di dalam masjid pada aras yang sama dengan kaabah (Masjidil Haram mempunyai empat aras.  Di aras bawah tanah kaabah tidak kelihatan).  Saya melangkah melalui celah-celah jemaah hingga berjaya mendaki tangga masjid.  Saya lihat para jemaah berhimpit-himpit.  Tak mungkin saya berjaya mendapatkan satu tempat untuk bersembahyang.  Saya pun berdoa sambil berdiri "Ya Allah, berilah aku tempat untuk sembahyang Jumaat dalam Masjidil Haram ini."  Selesai sahaja berdoa, saya mula hendak melangkah.  Tiba-tiba saya terpandang dua baris di hadapan saya satu ruang yang cukup-cukup buat saya yang berbadan kecil ini.  "Alhamdulillaah..."  Saya mengucap syukur, dada terasa sedikit sebak.  Saya pun melangkah dengan yakin ke tempat kosong itu lalu sembahyang sunat dua rakaat.

     Ada lagi pengalaman-pengalaman lain yang saya lalui, tetapi biarlah ia menjadi kenangan manis buat saya seorang; sekurang-kurangnya buat masa ini.  Daa...

Terima Kasih Daun Keladi

     Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi memantau blog saya.  Komitmen anda menjadi inspirasi kepada saya untuk menyingkap kenangan lalu yanag 'malar dan segar'.  Sekiranya anda rasa perlu komen, silakanlah di ruang komen yang disediakan.

     Pikul beruti tanpa bantuan
     Tarik untuk buat titi
     Siapalah saya tanpa tuan
     Budi tuan sentiasa saya ingati
     
     Ke sekolah tiada duit jajan
     Di kantin sesak dada
     Bekal lempeng bungkus suratkhabar
     Tuan umpama air hujan
     Turun deras basah lada
     Tanah subur tanaman segar

     Terima kasih kepada Kak Ngah yang rajin mengulas.  Biasanya Pak Ji dan Mak Jah memang rindu nak 'ngulon' lagi cuma masa yang menentukan.  Ramai yang tak dapat melaksanakan hajat nan murni kerana maut terlebih dahulu menjemputnya.  Namun, sekali hasrat telah terpahat di dada, kebajikan telah menunggu.  Kalau cita-cita kita tak terlaksana, ada hikmahnya, cuma kita je yang tak tau.  Allah Ta'ala maha mengetahui apa yanga baik buat kita.  'Manusia itu tak suka kepada apa yang berlaku kepadanya, walhal itu adalah baik buatnya, cuma dia tidak menyedarinya'.

     Faktor komitmen kepada keluarga adalah tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa.  Kalau tak disempurnakan, akan ditanya di akhirat kelak.  Oleh itu, jangan gusar sekiranya tak dapat pulang lebih awal untuk kenduri sebab yang ada di lokasi tetap akan meneruskan persiapan dengan ceria bersama-sama semua yang ada, biarpun patah sayap berongkat paruh, mata pedih masuk asap, tapak tangan merah selumbat kelapa.

Friday, November 26, 2010

Peti

      Saya tertarik kepada satu i'lan di Radio Negeri Sembilan FM yang dilakonkan DJ Adam Tahir.  I'lannya yang ringkas dan dipersembahkan secara santai mengandungi sedikit unsur lelucon tetapi pada masa yang sama mengandungi mesej yang sangat baik.    Bunyi i'lannya lebihkurang begini:

A:     "Den tengok kau ni murong jo, apo hal eh?"

B:     "Mengonang haa...Say ni ghaso macam dalam poti jo."

A:     "Macam mano pulak dalam poti, apo masaelah kau?"

B:     "Yo lah, dalam ghumah macam dalam poti, masuk kegheto macam masuk dalam poti, masuk pejabat
        macam masuk dalam poti."

A:     "Yo lah, kito mati sok pun dalam poti jugak."

B:     "Eh macam mano pulak dalam poti?"


A:     "Dalam poti mayat!"

Apo mesej eh?

Wednesday, November 24, 2010

WYSWYG

     Para jemaah haji telah mulai beransur-ansur kembali ke tanah air.  Mudah-mudahan mereka mendapat haji mabrur, bukan haji mardud.  Beruntunglah mereka yang amalnya diterima Allah swt, 'khusran' kepada mereka yang sebaliknya.  Wallahu a'lam.

     Musim haji ini mengingatkan saya kepada pengalaman saya semasa mengerjakan haji pada tahun 1998.  Waktu itu Lembaga Urusan dan Tabung Haji LUTH(Lembaga Tabung Haji LTH) baru sahaja memperkenalkan sistem 'makanan disediakan oleh LUTH'.  LUTH mengambil langkah berani menyediakan makanan kepada jemaah haji pada tahun itu tanpa mengenakan sebarang bayaran tambahan.  Oleh itu, tambang haji pada masa itu kekal RM6,000.00; makan minum percuma sepanjang musim itu.  Tahun berikutnya, tambang dinaikkan kepada RM9898.00 termasuk makan minum.  Itulah kenangan terindah bagi jemaah haji pada tahun itu, termasuk saya dan isteri tersayang, Rubi.

     Bermacam-macam pengalaman ditempuhi jemaah haji sama ada semasa di Mekah, Madinah, di tanah air atau di kapal terbang.  Ada satu orang tu, Waginah (bukan nama sebernar) merasa takut kalau-kalau terpaksa menggunakan tandas semasa kapal Transmile yang kami naiki sedang terbang.  Oleh itu, dia berdoa kepada Allah swt meminta supaya 'janganlah ku terasa nak kencing selagi belum sampai Jeddah'.  Alhamdulillah, doanya dimakbulkan Tuhan.  Dalam penerbangan, dia merasa selesa sehingga kapal terbang mendarat pukul 4.00 pagi waktu Mekah.  Rupa-rupanya, kapal terbang tidak terus membuka pintunya setelah mendarat macam bas, tetapi bakal haji terpaksa mengunggu.  Waginah mula merasa seolah-olah mahu membuang air kecil, tetapi ditahannya kerana dia mahu melepas di tandas lapangan terbang King Abdul Aziz Jeddah.  Dia menunggu dengan sabar.  Pintu kapal terbang masih belum dibuka dan arahan untuk turun masih belum dikeluarkan.  Rasaa nak buang air kecil semakin lama semakin kuat membuatkan Waginah merasa tidak tentu arah.  dia menekan-nekan perutnya yang sudah mulai senak sambil berharap agar pintu kapal segera dibuka supaya dia boleh berlari deras ke tandas; namun harapannya hampa.  Akhirnya dengan air muka merah padam dan berkerut-kerut, dia terpaksa bergegas ke bilik air kapal terbang untuk melegakan dirinya.

     Sebaik sahaja Waginah keluar dari bilik air kapal terbang, dia melihat pintunya pun dibuka lalu bakal haji mulai beratur untuk turun...

     Pengajaran yang saya perolehi daripada peristiwa ini; bila berdoa, hendaklah jelas supaya kita dapat apa yang kita mahu.  Allah Ta'ala maha mengetahui apa yang kita sorokkan dan apa yang kita zahirkan, namun Dia memberi apa yang kita minta.  Kata orang putih WYSWYG (What you see is what you get).  Dalam hal ini, kalau kita mintak nak buang air kat Jeddah, kita dapat buang air kat Jeddah, walaupun atas kapal terbang!

Tuesday, November 23, 2010

Majlis Tahlil Hol Marhum Ayahanda dan Bonda

     Alhamdulillah, majlis Tahlil Ayahanda dan Boda telah selamat diadakan pada Ahad 21 November 2010 bersamaan 14 Zulhijjah 1431H mulai lepas Maghrib.  Majlis yang berbetulan dengan majis Tahlil Sultan Johor di Masjid Jamik Sultan Ibrahim telah dhadiri lebih 60 jemputan lelaki orang kampung termasuk dua anggota polis dari balai polis berdekatan, serta 30 jemputan perempuan termasuk rewang.

     Walau pun seorang anggota keluarga tidak dapat menghadirkan diri, suasana sangat meriah sejak hari Sabtu malam lagi.  Sebelum itu, beberapa anggota keluarga telah menghadiri majlis tahlil arwah Cikgu Bakar (Pak Mertua adinda Muzaffar) di Bukit Treh sebelum kembali ke rumah induk.

     Pagi Ahad, Badar, Kak Long dan Apar pergi berbelanja manakala Borhan menyabit rumput yang agak tebal.  Apabila mereka balik, kerja-kerja menyiapkan juadah pun bermula.  Cuaca di luar rumah panas terik.  Saidin dengan bantuan Apar dan Borhan memasang pondok pisang sesikat supaya orang yang masak 'tak rentung'.

     Menu jamuan ialah ketupat, rendang daging, ayam masak kari, lodeh kecambah serta kuih muih manakala minumannya teh 'o' suam.  Para jemputan kelihatan seronok menikmati jamuan, barangkali menunya kena dengan cita rasa mereka, suasana raya.  Hampir licin.  Sebahagiannya memesan teh 'o' suam berulang-ulanga kali.

     Apabila jemputan lelaki balik, orang perempuan pula sibuk mengemas baki hidangan.  Terima kasih kepada semua yang rewang dari pagi hingga malam.  Kak Bedah yang membasuh pinggan bersama-sama Badar.  Yang lain dah sakit pinggang, lenguh kaki, demam.  Nina tolong masak waktu petang.  Mak Itam dan Busu Rom mengatur kuih muih di pinggan, di el el. 

     "Mok Da Parit Sulong sopo jeneng eh Mak Itam?" Bang Ngah tanya Mak Itam.

     "Muslimah,"

     "Muslimah yo?  Borhan dak eleng jeneng eh.  Borhan tak ingat namanya."

     "Mana tau Borhan tak ingat?" Kak Ngah tanya.

     "Tu dalam blog Keluarga Embah Jamilah tu.  Yang lain semua ada nama.  Mak Uda je yang tak ada." Bang Ngah jawab.

     Eh! Iya tak ia jugek le.  Bang Ngah ni best le.  Beliau sensitif bab-bab macam tu.  Nanti saya updatekan dalam Blog Keluarga Embah Jamilah.  Terima kasih keran menanyakan.  Terima kasih juga kerana menguraikan kekusutan berkaitan adik beradik.  Maaf Badar kerana terlupa, tak disengajakan. 

     Sepanjang masa sebelum dan sesudah majlis, adik-beradik dapat berkumpul dan bergurau senda bagi merapatkan lagi hubungan yang sedia ada di samping bertukar-tukar fikiran mengenai hal ehwal semasa dalam kalangan keluarga. 

     Esoknya, anggota keluarga mulai meninggalkan pekarangan rumah Emak secara beransur-ansur mulai pagi sehinggalah pukul 6.00 petang kurang lebih apabila Anjang Yazid, Cik Non dan Muzaf bergerak serentak bersama ahli keluarga masing-masing.  Sunyi semula rumah bonda, kesuraman kembali menyelubungi suasana. 

* * * * * * 

     Emak merasakan kesayuan jauh di sudut hati apabila sebuah demi sebuah kereta anak-anak mulai meninggalkan pekarangan rumah untuk kembali ke kediaman masing-masing.  Emak duduk di muka pintu depan.  Abah, Badar duduk di anak tangga paling atas menonton senario tersebut.



Tuesday, November 16, 2010

Hol Marhum Bonda dan Kenduri Tahlil

     Salam.  Semalam 14 November 2010 bersamaan 7 Zulhijjah 1431H, genap 3 tahun pemergian bonda Tuminah.  Al Fatihah.

     Sehubungan itu, adik beradik berhasrat mengadakan kenduri Tahlil di rumah Bonda pada Ahad 21 November lepas Maghrib.  Semua adik beradik dijemput rewang dari mula hingga selesai.

     Selain itu, dinda Muzaffar menjemput adik beradik ke kenduri Tahlil Arwah Cikgu Bakar Bukit Treh pada 20 November 2010 lepas maghrib.

SELAMAT  MENYAMBUT  HARI  RAYA  AIDIL  ADHA!

Saturday, November 13, 2010

Naik Kereta Hillman

     Saya tak ingat bagaimana saya balik rumah hari pertama sekolah, tapi saya pasti tentulah ayah ambil saya dengan skuter Vespanya.  Tetapi pada hari-hari lain saya yakin dengan apa saya datang dan balik sekolah.  Tentulah naik kereta busu Ampong, kereta Hilman.  Siapa Busu Ampong tu?

     Busu Ampong kerja formen di 'Woksyop Haji Hamid' Batu Tiga Bakri.  Kata Mak 'sedara kita tu'.  Waktu pagi dia hantar budak pergi sekolah.  Tengah hari ambil.  Ramai budak sekolah yang diangkutnya.  Sarat, macam sardin.  Budak yang besar duduk bersusun, yang kecil duduk atas pangku budak besar.  Yang lebih kecil, berdiri berpaut pada tempat duduk depan.  Kekadang ada orang ikut dia semasa nak balik sekolah.  Orang tu duduk depan, oleh itu yang biasanya duduk depan terpaksalah duduk belakang.  Lagi sempit.
Ini kereta Hillman, tapi bukan milik Busu Ampong.  Dia punya moden lagi...

     Semakin lama bersekolah, semakin saya tahu bahawa sepupu saya, Kaka dan Nana, juga Jali anak Wak Ong juga bersekolah di sekolah yang sama, berlainan kelas.  Romli abang Kaka Nana pun di sekolah yang sama.  Rupanya ramai orang kampung.

     Cikgu Cina guru kelas saya itu nama Mrs Chong.  Orangnya cantik tetapi semakin lama saya semakin takut dan benci kepadanya sebab dia agak garang.  Dia selalu panggil saya 'stupid Borhanudin'.  Mungkin saya ni 'stupid'.  Nasib baik budak-budak lain tidak memanggil saya dengan nama itu.

     Dalam darjah satu, saya mula belajar membaca.  Saya tidak tahu bagaimana saya belajar membaca, tetapi yang saya ingat saya sudah boleh membaca National Language (Bahasa Kebangsaan) dan English Language (Bahasa Inggeris) seperti budak-budak lain, walau pun sebelum itu saya tak pernah masuk Tadika sebab ia belum wujud lagi kalau tak silap saya.

    
     Dari semasa ke semasa ada 'sports practice'.  Saya tak suka dengan practice ini.  Kena berlari, kena lompat tinggi, lompat jauh.  Saya selalu takut.  Dada berdebar-debar.  Oleh sebab badan saya kecil dan tak kuat, kalau lari selalu ketinggalan di belakang.  Lompat tinggi mesti tak lepas.  Lompat jauh, tapi dekat.  Malu dengan budak lain.

     Sebagai budak kampung yang berbadan kecil, comot, pendiam, saya kurang berinteraksi dengan kawan-kawan lain.  Apabila beratur pergi 'assembly', Cikgu selalu kata "Line up two by two.  Small boys in front, big boys behind."  Saya sepatutnya berada di bahagian depan barisan sebab saya 'small boy', tetapi tak ada budak yang mahu partner dengan saya.  Maka prinsip 'kecil beratur di depan, besar di belakang' tidak diikuti sepenuhnya, yakni saya di belakang sekali, bersendirian.

     Namun saya tetap bersekolah seperti biasa.  Mengikuti pelajaran yang diajar dengan pencapaian sederhana walau pun ada satu mata pelajaran yang paling saya benci sebab saya tak lulus mata pelajaran itu dalam ujian bulanan.

Tuesday, November 9, 2010

Inna Lillaahi Wa Innaa Ilaihi Raa ji'uun...

     Salam untuk semua.  Selesai sudah majlis perasmian Balai Raya Batu 6 Bakri di Taman Medan Ahad yang lalu.  Tok Ketua Kampung Batu 6 Bakri seronok bukan main...


     Paginya (Ahad 07 November 2010) bercadang nak menziarahi Kak Wook yang sakit paru-paru berair di Hospital Kajang.  Lebih kurang pukul 9.00 pagi berziarah ke rumah abah.  Kak Long serta keluarga, Dik Badar, Dik Muzaf (Mak Usu) dengan anak-anaknya, Dik Yazid dengan Hannaan yan Mannaan ada di sana.  Dapat panggilan telefon daripada Dik Noriah yang sedang berada di Kuantan menyatakan bahawa Bibik Musiah meninggal.  Inna Lillaahi wa innaa ilaihi roji'uun...

     Segera bersiap untuk ke ziarah arwah Bibik.  Sampai di Kampung Alai lebih kurang pukul 12.00 tengah hari.  Suasana muram menyelubungi kawasan rumah Bibik.  Saudara mara telah ramai di sana tetapi adik beradik lum sampai lagi.

     Olit, Zai, Shaari, kelihatan sibuk mengurus sesuatu.  Kelihatan Paman Tunjang dan Paman Seman antara ramai yang hadir.  Itulah saja adik-beradik Emak Samingah dan Bibik Musiah yang masih hidup.  Semoga dipanjangkan umur akan mereka ini.

     Dik Noriah dan Cikgu Sabrin serta keluarga sampai tak lama kemudian.  "Hujan sepanjang jalan dari Kuantan," katanya.  Wah, tak lama lagi Johor pulak banjir!

     Van jenazah sampai lebih kurang waktu zohor.  Selepas zohor, jenazah Bibik dibawa dengan van ke surau Kampung Alai untuk disembahyang dan kemudian dikebumikan di kuburan yang berhampiran manakala saya, Rubi, Nabiilah dan Rashidah bergerak meninggalkan Alai.  Singgah makan di Batu Anam selepas solat zohor di Masjid Kampung Tasek  Sudah pukul 2.00 lebih, cuma ada nasi putih lauk ayam goreng tinggal dua ketul, ikan keli.  Sayur tak dak, cuma kuah daun ubi masak lemak. Mee hoon sup lagi tak de.  Inipun sudah bagus sebab perut dah bergendang rock kapak, kepala dah mula berdenyut.  Makan nasi dengan lauk telur mata kerbau yang 'pegerai' (pelayan gerai) goreng.  Kongsi lauk ayam goreng dengan isteri.  Teringat masa baru-baru kawen dulu.  Heh, heh, heh...  Dah makan pekena air teh o kosong.  Prrgh...

     Perjalanan di lebuhraya tak berapa lancar sebab banyak kenderaan.  Almaklum cuti Deepavali lama.  Singgah di Seremban turunkan Nabiilah dan di Nilai ambil Husna.  Sampai di Hospital Kajang jam 7.00 maghrib.

     "Waktu melawat dah abiss," kata Pak Cik Jaga di depan.

     "Awak tunggu dulu saya lepaskan orang keluar ni dulu," kata Mak Cik Jaga di dalam blok Wad, dengan telor sedikit keJawaan. Dia orang Jawa Serom Tiga

     Saya dan Husna sembahyang maghrib dahulu.  Sementara menanti Husna siap, saya melihat keliling kawasan surau Hospital Kajang.  Bangunan hospital adalah bangunan lama, sempit, macam Hospital Segamat yang lama di mana Bang Ngah pernah menjadi penghuninya tiga puluh tahun yang lalu, dan Rubi dua-puluh dua tahun yang lalu.

     Hospital Kajang ini saya kira sudah patut mendapat bangunan baru di satu lokasi lain, macam Hospital Segamat sekarang.  Bangunan lama jangan dipecahkan kerana mempunyai nilai-nilai nostalgik tersendiri, seperti juga Hospital Segamat yang lama.  Alangkah indahnya kalau itu terjadi...

     Di luar pagar Hospital Kajang, kelihatan deretan bangunan tinggai.  Tertulis di atas salah satunya 'Restoran Melayu' (saya dah lupa nama restorannya, tapi bunyinya Melayu), di sebelahnya satu perusahaan orang melayu.  Kalau tak silap, semuanya kepunyaan orang Melayu.  Saya teringat Hafizah anak Kak Wook kerja memandu bas sekolah milik suaminya membawa budak-budak sekolah pagi dan petang.  "Lori pun dia bawak," kata Sudin, suami Dik Ani.  Di Sungai Ramal dan Bandar Baru Bangi seperti yang saya lihat, banyak lot rumah kedai milik Melayu.  Saya rasa di tempat-tempat lain dalam negeri Selangor pun demikian juga senarionya.  Sejuk rasa hati.

     Di dalam wad 3 Tingkat 4, kami dapat menziarahi Kak Wook sekejap.  Bukan saya berhasrat nak melihat auratnya, (minta maaf kepada suaminya, Encik Mat), tetapi itulah kali pertama saya melihatnya tanpa tudung labuh hitamnya.  Rambutnya seperti juga tudungnya, hitam, tak ada uban walau sehelai pun dalam usianya 53 tahun.

     Balik dari hospital, kami singgah di rumah Ani Sudin.  Lepas makan nasi dengn 'jangan bening karo iwak goreng karo sambal lombok rawit', kami meneruskan perjalanan ke Nilai menurunkan Husna dan sampai di rumah sepuluh minit sebelum dinihari.

     Balik semula ke sarang.  Ahh...  All's Well That Ends Well.