Popular Posts

Thursday, November 14, 2013

Jangan Potong "Queue"

     Apa perasaan anda jikalau anda dapati orang lain potong queue?  Perkara ini selalu dialami pemandu-pemandu kenderaan di atas jalan-jalan raya di Malaysia.  Mungkin anda salah seorang yang mengalaminya, atau yang melakukan perbuatan itu.  Mungkin kita dapat bersabar jika ia berlaku kepada kita, walau pun ada ketikanya amat menguji kesabaran.  Bagaimana pula kalau perkara itu berlaku di bank?


     Siang tadi saya menunggu giliran untuk mengirim wang kepada seseorang.  Petugas di kaunter bank memberi saya nombor 2012.  saya lihat nombor yang tertera di LCD ialah 2009.  Di bawah nombor itu terdapat satu lagi nombor:  3052.  Tidak ramai orang berurusan di situ.  Lebih kurang lima atau enam orang sahaja manakala kaunter yang sedang beroperasi ialah dua; kaunter 2 dan kaunter 5.

     'Ku takkan tunggu lama,' bisik hati saya kelegaan.

     Loceng berbunyi.  Suara di corong meneriakkan nombor 2010 sambil angka yang terpancar di LCD bertukar kepada 2010 kaunter 2. Tinggal seorang orang lagi sebelum sampai giliran saya.

     Loceng berbunyi lagi 3053 kaunter 5.  Eh?  Ooh, barangkali orang itu berurusan lain sebab borang yang dipegangnya berwarna merah, berbeza dengan borang kuning yang saya pegang. Kalau begitu, tak apalah. Datang seorang pemuda berdiri sebelah kaunter 2 ketika kaunter itu sedang melayan seorang pelanggan.  Loceng berbunyi lagi.  2011.  Seorang pemuda melangkah ke kaunter 2.  Selepas dia pergi, pemuda yang berdiri di sebelah kaunter 2 tadi terus berurusan.  Sementara itu, datang lagi seorang lelaki pertengahan umur, terus ke kaunter sama yang sedang berurusan dengan pemuda tadi.  Hati saya sudah mula jengkel.  Saya terus memerhati.  Seorang lelaki berperut buncit sampai lalu berdiri tidak jauh daripada kaunter 2.  Apabila pemuda tadi telah selesai urusannya, lelaki pertengahan umur pula mengambil tempat.  Urusannya agak lama, mesin pengira wang berbunyi agak lama.  Banyak duitnya?  Hati saya menggerutu kesal.  Saya teringat dulu ayah pernah bercerita satu peristiwa di zaman 'orang putih'.

     Waktu itu Embah saya berada di pejabat tanah untuk membayar cukai tanah.  Embah telah berbuat sesuatu yang menaikkan kemarahan pekerja di situ.  Apa yang telah dibuatnya?  Iaitu melepaskan sisa makanan yang terselit di celahpcelah gigi dengan membuat aksi seolah-olah meludah.  Menurut ayah saya, pekerja itu (mungkin peon) telah memarahi Embah kerana 'membuat kotor di pejabat tanah.  Embah diam sahaja kena marah oleh peon yang jauh lebih muda daripadanya.  Embah saya, seperti orang-orang kampung yang lain, memang tak berani angkat muka ketika berada di suasana seperti itu, walaupun mereka datang untuk membayar, bukan untuk mengemis.

Pemandangan di sebuah kaunter bank

     Sambil mengimbau cerita ayah, saya terus memerhati lelaki separuh umur tadi.  Urusannya selesai.  Nombor bertukar kepada 5051 kanunter 2.  Lelaki perut buncit tadi terus ke kaunter 2.  Ini sudah sudah lebih!  Nombor bertukar lagi 2012 kaunter 2!  Saya cepat-cepat menghentak kaki agak kuat ke arah kaunter.  Lelaki perut buncit terpinga-pinga.  Saya jeling nombor di tangannya.  Memang 5051.

     Barangkali juruwang di belakang kaunter 2 dapat merasakan keresahan saya.  Cepat-cepat dia berkata,

     'Saya panggil dia dulu sebab dia tinggal sorang.'

     'Yang tadi tu tak ada nombor kan?'

     'Dia special case, dah tertinggal,' kata juruwang wanita manis yang agak pucat itu sambil mengambil borang dan wang yang saya hulur.  Lelaki berperut buncit kelihatan serba salah.

No comments: