Popular Posts

Wednesday, December 19, 2012

Darjah Khas

     Seperti yang tertulis dalam caption gambar yang saya pos pada 17 Disember yang lepas, warung separuh kekal yang dikerumuni beberapa orang pelajar itu mengingatkan saya kepada warung yang terletak berdekatan Sekolah Agama Sungai Raya pada tahun 1976 dahulu.  Sekarang warung itu tiada lagi.

     Semasa saya berusia 18 tahun saya masih bersekolah agama Kerajaan Negeri Johor dalam Darjah Khas.  Bagi pembaca yang bukan rakyat Johor mungkin tidak faham maksud Darjah Khas.  Mungkin ada yang berfikir ia serupa dengan kelas Pendidikan Khas yang terdapat di kebanyakan sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan di Malaysia.  Sesungguhnya tidaklah ia demikian, bahkan secara falsafahnya, ia sangat berbeza sekali.
   
Kitab Matla'al Badrain yang digunakan sekolah-sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor satu ketika dahulu.


     Kebanyakan kanak-kanak Islam di negeri Johor menghadiri Sekolah Agama yang disediakan Kerajaan Negeri Johor mulai dari Darjah I hingga VI (darjah Satu hingga Enam).  Selepas itu, mereka akan melanjutkan pelajaran ke Darjah Khas, darjah yang paling tinggi dalam Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor.  Antara mata pelajaran yang diajar dalam Darjah I, II dan III pada waktu itu ialah Tauhid, Ibadat, Adab, Tafsir, Tarikh, Tajwid, Quran dan Sembahyang manakala apabila murid-murid berada di Darjah IV, mereka akan mula belajar Muamalat dan Munakahat menggunakan Kitab Mutla'al Badrain karangan Sheikh 'Abdul Faqir Al Ghani Muhammad bin Ismail Daud Fathani Ghafarallah Waliwalidaihi (Al Sheikh Daud Fathani) di samping mata pelajaran yang sedia ada.  Kitab Matla'al Badrain ini menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu hejaan Jawi lama.  Ejaan jawi sekarang telah banyak berubah.  Apabila pelajar-pelajar menggunakan kitab ini di dalam pembelajaran mereka, mereka semakin mahir membaca dan menulis jawi lantaran sistem ejaannya yang unik.  
 

Tulisan Jawi di dalam Kitab Matla'al Badrain menggunakan sistem ejaan lama.  Perhatikan pada baris dua dari atas, perkatan 'lapan' dieja 'delapan' dan pada baris akhir perkataan 'merdeka' dieja 'merdeheka'
     Darjah Khas adalah kemuncak kepada pembelajaran di Sekolah Agama.  Selain daripada mata pelajaran yang biasa, para pelajar juga mempelajari Ilmu Perguruan yang membolehkan mereka memohon untuk menjadi guru di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor sekiranya mereka lulus peperiksaan dan dikurniakan Sijil Darjah Khas..

     Itulah kelas Darjah Khas yang saya ikuti setiap hari Sabtu.  Ya, kelas Darjah Khas adalah ekslusif kerana pelajarnya hanya belajar pada hari Sabtu sahaja sebab pada hari lain, gurunya mengajar di kelas harian Sekolah Agama.

     Seperkara lagi, tidak semua sekolah Agama Kerajaan Negeri mempunyai kelas Darjah Khas.  Semasa saya menjadi pelajar Darjah Khas, saya terpaksa melangkaui Sekolah Agama Bakri Batu 5 yang berhampiran dengan tempat tinggal saya dan juga Sekolah Agama Simpang Jeram, kerana kedua-dua sekolah agama ini tidak menawarkan kelas Darjah Khas.  Oleh itu,boleh dikatakan pelajar-pelajar Darjah Khas di Sekolah Agama Sungai Raya datang dari Mukim Bakri dan Bukit Pasir mahu pun Mukim Sungai Terap di mana terletaknya Sekolah Agama Sungai Raya itu sendiri.

     Tidak seperti kelas-kelas aliran perdana di sekolah Agama Kerajaan Negeri yang tiada waktu rehat, guru kelas kami Cikgu Mahmud bin Lasim membenarkan kami berehat lebih kurang 30 minit.  Pada waktu rehat itu, kami mengambil kesempatan berjalan kaki ke warung yang berhampiran dengan sebuah rumah guru yang berdekatan dengan jalan raya.  Warung ini kecil sahaja, dibuat daripada papan, mempunyai beberapa buah meja kayu yang dibuat sendiri serta dilekatkan dengan lantai dan dinding warung.  Kami kira ia sengaja dibuka oleh Mak Cik tuan punya warung untuk melayan kami pelajar Darjah Khas.  Makanannya 'simple' sahaja.  Mi goreng dengan air sirap tanpa ais.  Sungguhpun demikian, rasanya enak dan ia adalah isitimewa kepada kami anak-anak sekolah yang hanya membawa wang saku beberapa sen ke sekolah.  Selain daripada itu, ia merupakan waktu-waktu awal perkenalan saya dengan warung memandangkan saya tidak pernah didedahkan dengan suasana warung sejak kecil lagi.

     Alkisah seoranag rakan pelajar bernama Faruk yang terasa ingin membuang air kecil sewaktu telah tamat sesi pembelajaran dan para pelajar sudah mula mencapai basikal masing-masing.  Hendak ke tandas, ianya terletak jauh di belakang.  Dia tidak mahu ditinggal keseorangan.  Hendak buang di rumah, rumahnya jauh di Simpang Jeram, tak mungkin dia dapat bertahan hampir satu jam mengayuh basikal ke rumah dalam keadaan menahan air kencing.  Pundi-pundi kencingnya terasa semakin mengembang.  Perutnya terasa senak.  Dia mendengus menahan kencing.  Peluh sejuk mula terasa di keningnya.  Lengannya mula merinding.  Bulu romanya berdiri. 

     Dia menoleh ke kiri dan ke kanan, dia melihat sebuah baldi berisi air dengan sebuah gayung tin majerin terletak berdekatan dengan tiang sekolah.  Jauh sedikit daripada situ, seekor baqarah hitam sedang sedang meragut rumput di bawah sepohon pokok yang rendang...
Ini bukanlah bangunan Sekolah Agama Sungai Raya, tetapi reka bentuk adalah serupa.

Tuesday, December 18, 2012

Adik Molek

     Pejabat SDBL terletak di tingkat bawah sebuah blok bangunan dua tingkat yang mana tingkat atas merupakan bilik-bilik kelas.  Sebagai kerani baru, sebahagian besar waktu pekerjaan saya dihabiskan dengan menaip surat-surat, memo, 'paysheet' guru dan staf bukan akademik sekolah. Pada waktu itu, komputer masih belum terdapat di sekolah-sekolah, oleh itu kerja-kerja menaip perlu dilakukan dengan menggunakan mesin taip.

     Dalam banyak-banyak item yang perlu ditaip, kerja menaip 'paysheet'lah yang saya rasakan paling mencabar.  Ini kerana saya perlu menaip nombor-nombor angka gaji guru-guru.  Sebarang kesilapan memang tidak boleh dimaafkan kerana ia melibatkan gaji guru dan kakitangan.  Kalau terkurang satu angka '0', barangkali akan 'mengamuk' guru yang teraniaya itu.  Oleh itu, saya perlu untuk sangat berhati-hati apabila menaip 'paysheet' ini dan keadaan ini membuatkan saya paling tidak suka melakukannya.   Sungguhpun demikian, adakalanya saya terhibur ketika melakukan kerja ini kerana bertentang mata dengan adik molek.

      Mesin taip yang selalu saya gunakan terletak di tepi dinding yang bertingkap.  Tingkap cermin ini betul-betul menghadap anak tangga ke tingkat atas.  Apabila sedang menaip, saya dapat melihat semua orang yang menaiki tangga untuk ke tingkat atas atau yang menuruni tangga dari tingkat atas.  Saya dapat melihat Cikgu (Arwah) Paiman Hussein, Cikgu Kadir Bawok, Cikgu Yusof Abdul Rahman naik dan turun melalui tangga ini.  Saya juga dapat melihat para pelajar lelaki dan perempuan naik dan turun tangga ke dan dari kelas masing-masing.  Antaranya ada seorang pelajar lelaki bernama Said (kemudian menjadi guru di Sekolah Menengah Ungku Husin, Endau seperti yang dikhabarkan kepada saya oleh teman guru, Cikgu Kahalit Othman).  Selain daripada itu, ada seorang pelajar perempuan, comel orangnya.  Kulitnya putih bersih, rambutnya ikal, dipotong pendek separas bahu.  Barangkali berada di tingkatan lima waktu itu.  Sweet seventeen gamaknya.

     Setiap kali waktu rehat, pelajar-pelajar menggunakan tangga yang bertentangan dengan tingkap pejabat untuk turun ke kantin dan naik selepas tamat rehat.  Apabila loceng rehat berbunyi ketika saya sedang menaip, saya akan melihat pelajar perempuan itu bersama-sama rakannya menuruni anak tangga.  Ketika itu, mata kami akan bertembung, tetapi masing-masing diam seribu bahasa.  Setelah beberapa kali berulang peristiwa itu, satu perasaan seni yang sukar diceritakan mengalir ke dalam jiwa remaja saya.  Perasaan remaja berumur sembilan belas tahun yang inginkan perhatian daripada kaum Hawa membuat saya merasa sungguh bahagia.

     Satu pagi, seperti biasa dia menuruni anak tangga bertentangan pejabat pada waktu rehat.  Dia turun lewat sedikit daripada rakan-rakannya, bersendirian.  Apabila apabila melihat saya, mulut comelnya menguntum senyum.  Saya terhenti menaip.  Betulkah apakah yang kulihat?  Tetapi dia telah berlalu.  Hati kecil saya mula berbunga.  Alahaai...


Monday, December 17, 2012

Telur Setengah Masak

(Di bawah tajuk Ungku Noh bin Ungku Abdul Majid yang dipos pada 7 Mac 2012, saya telah menulis bagaiman Ungku Noh membantu saya yang dalam kesusahan.  Di bawah adalah pengalaman saya seterusnya di SDBL: Sekolah Datuk Bentara Luar).
 
     Keesokan harinya, Ungku Noh telah siap berpakaian.  Kami meninggalkan rumah untuk ke sekolah (Sekolah Datuk Bentara Luar) lebih kurang jam 7.00 pagi.  Kerja-kerja pejabat bermula jam 8.00 pagi.  Oleh itu, saya terus ke kantin sekolah bersama-sama Ungku Noh untuk bersarapan.  Saya memesan dua biji telur setengah masak dan air daripada tauke kantin (seorang Cina).  Sambil menunggu telur setengah masak siap, kami berbual-bual.  Selepas beberapa ketika, saya merasakan telah menunggu terlalu lama, lalu menanyakan kepada tauke kantin.

     'Sikijap lagi siap,' kata seorang wanita pertengahan umur, barangkali isteri kepada tauke kantin itu.

     Apabila telur setengah masak dihidangkan, saya memecahkan sebiji daripadanya lalu menuangkannya ke dalam mangkuk yang disediakan.  Isi telur yang jatuh ke dalam mangkuk kelihatan masih mentah.  Lalu saya menunjukkannya kepada isteri tauke kantin.  Dia marah lalu menuduh saya menggesanya bersegera menyediakan pesanan seperti yang saya minta, sehingga telur itu tak sempat menjadi setengah masak.  Saya terkejut dengan tindakannya lalu memandang kearah Ungku Noh.  Ungku Noh memandang kepada saya lalu kepada wanita cina tadi, tetapi tidak berkata apa-apa.

     'Tadi saya cuma tanya kenapa lama sangat untuk menyediakan telur setengah masak, bukan saya suruh awak cepat sangat,' saya menjawab tuduhannya.

Ini bukan kantin SDBL, ia cuma hiasan, mengingatkan saya kepada 'kantin', tempat kami pelajar Darjah Khas, Sek. Agama Sungai Raya pergi waktu rehat, tahun 1976
     Ah Soh (wanita cina itu) mengambil semula telur yang telah didihidangkan lalu membuat yang baru.  Kali ini, telur setengah masak yang dihidangkan terlebih pula masaknya, tetapi saya makan juga kerana tidak mahu bertengkar lagi dengannya.  Kalau tidak silap saya, itulah kali pertama dan terakhir saya menjejakkan kaki ke kantin SDBL tahun 1977. 

     Sebulan setengah sesudah itu, saya berpindah ke Sekolah Menengah Rendah Pekan Baru Muar.  

Jenazah


Masa berlalu.  Yang kecil menjadi besar, yang muda menjadi tua, yang tua kembali kepada Pencipta.  Yang mengerikan menjadi tidak, yang menakutkan menjadi tidak menakutkan yang takut menjadi berani.

     Baru-baru ini saya menziarahi jiran yang kematian anak kecil yang baru berumur tiga bulan.  Saya datang bersama seorang rakan selepas sembahyang fardhu 'Isya'.  Bapa simati membuka kain penutup muka simati supaya sekelian hadirin termasuk saya dapat menatap wajah bayi tersebut.  Tenang wajahnya; wajah seseorang yang belum ada dosa, yang akan menanti kedua-dua ibu-bapanya di pintu syurga.   Teringat saya wajah arwah ibu saya yang meninggal dunia awal malam beberapa tahun yang lalu.  Tenang wajahnya, seolah-olah sedang tidur.  Saya bersama adik-beradik yang lain menemani jenazah bonda sepanjang malam sementara menanti masa untuk diurus sebagaimana wajib keesokan harinya.  Dulu semasa saya kecil, saya tidak pernah mengalami situasi ini; situasi kehilangan orang yang tersayang.  Apa yang saya alami hanyalah mendengar tentang kematian yanag berlaku dalam kalangan penduduk kampung, lalu menimbulkan rasa cemas di dalam hati saya apabila saya membayangkan jenazah bergerak ke tanah perkuburan dengan keadaan tergesa-gesa, seolah-olah seekor haiwan ganas yang hendak menerkam ke arah saya.

     Semasa kematian Wak Karim yang tinggal selang tiga rumah dari rumah ayah saya.  Ayah dan Ibu pergi 'melawat' kematiannya.  Saya bersama adik beradik yang lain menyaksikan suasana tersebut dari rumah kami.  Orang ramai yang berziarah, tetapi suasana tidak riuh.  Apabila telah selesai diurus, jenazah Wak Karim yang diletakkan di atas pengandar dan diselubung dengan kain batik lepas, dipikul oleh orang ramai menuju ke tanah perkuburan Batu 6 kira-kira setengah batu dari situ (0.8 kilometer).  Pantas mereka berjalan sambil memikul jenazah.  Pemandangan itu menimbulkan satu perasaan ngeri ke atas diri saya yang masih kecil.  Ia seolah-olah seekor haiwan yang bergerak pantas mahu menerkam ke arah diri saya.  Nasib baik saya berada jauh darinya.

     Sebagai seorang kanak-kanak yang mungkin berusia lima atau enam tahun ketika itu,  pada perasaan saya, orang dewasa berganda-ganda kali lebih besar dan lebih tinggi daripada saya.  Oleh itu apabila mereka membawa jenazah di atas bahu mereka, terasa kepada saya jenazah itu sangat hebat dan mengerikan.  Mengerikan kerana bila-bila masa saja ia mungkin akan melompat dan menerkam ke arah saya...