Popular Posts

Sunday, March 6, 2011

Maulidur Rasul SAW Di tempat Ku

     Selasa 15 Februari 2011 bersamaan 12 Rabi'ul Awal 1432 Hijrah.  Maulidur Rasul disambut meriah di seluruh dunia, termasuk di kampungku Kampung Batu 6 Bakri.  Sambutan yang dibuat sekaranag adalah berbeza dengan dahulu.  Dulu-dulu, Maulidur Rasul di Kariah Masjid Bakri Batu 5 disambut meriah, kadang-kadang malam, kadang-kadang siang.  Aku masih ingat pada suatu tahun ketika ku masih kecil.  Perayaan Maulud Nabi saw dibuat pada sebelah malam. ..

     Malam itu aku bersama ayah, ibu dan adik beradik yang lain berkumpul di surau Batu 6 Bakri.  Kulihat ramai orang berkumpul di sana.  Tidak lama kemudian, kami diarah beratur di tepi jalan raya. Beberapa orang muda memegang lampu picit, menyuluh-nyuluh jalan raya di belakang kami untuk memberi isyarat kepada kenderaan yang datang dari arah Yong Peng supaya berhati-hati. 

     Tidak lama kemudian, kami lihat sekumpulan penduduk kampung sebelah, Kampung Baru sampai sambil berselawat.  Mereka diiringi oleh kumpulan pemuda yang membawa lampu gasolin di atas palang kayu.    Kenderaan yang lalu Jalan Bakri akan nampak lampu ini dari jauh dan berhati-hati.  Dengan sendirinya keselamatan kumpulan selawat yang sedang bergerak lebih terjamin.

     Kami kemudian bergabung dengan kumpulan selawat Kampung Baru dan bergerak ke kulon (barat) arah Masjid Bakri Batu 5 yang terletak kira-kira setengah batu dari tempat kami.  Kali ini bunyi selawat lebih kuat dan meriah, kerana anggota kumpulan lebih ramai.  Dalam perjalanan, ramai orang kampung yang menunggu di tepi jalan menyertai kami, menjadikan kumpulan kami semakin ramai dan meriah, sekali gus menghilangkan rasa penat berjalan.

     Apabila sampai di sana, kami lihat telah ramai orang di sana.  Ada yang membawa sepanduk bertulisan jawi.  Pasukan selawat dari sebelah kulon (barat) masjid hampir sampai.  Seperti pasukan selawat Kampung Baru, mereka pun membawa lampu gasolin digantung pada palang kayu..

     Setelah semua pasukan selawat samapai, doa dibacakan diikuti bacaan al Quran dan persembahan nasyid.  Kemudian seorang pensyarah undangan tampil memberi ceramah dan akhir sekali, jamuan dan bersurai.  Kali ini kami beramai-ramai bergerak kembali ke rumah masing-masing dalam keadaan keletihan tetapi merasa seronok.

     Sekarang, suasana seperti itu tidak lagi saya lihat di tempat saya.  Masjid Batu Lima, apabilah mengadakan majlis Maulid, hanya menjemput ahli kariah ke masjid selepas maghrib, menjamu mereka dengan nasi minyak dalam dulang.  Kemudian penceramah jemputan akan berceramah di dalam masjid selepas solat Isyak.

     Apa pun, yang penting adalah pengajaran daripada ceramah serta majlis itu sendiri.  Kenangan lalu memang indah, tetapi masa yang lepas takkan kembali lagi.

2 comments:

Anonymous said...

Sedih betullah dengan cerita Hj Borhan ni....senario sama berlaku di tempat saya. Memang meriah sambutan maulud zaman dulu2......

Borhan Mohamed Dali said...

Dulu kita kecik, memang semuanya indah belaka. Sungguhpun demikian, memang banyak perubahan yang membuat kita terkenang masa lampau. Yang tak berubah, masjid Muo masih lagi menjamu nasi minyak campur daging dengan dal dalam dulang. Makan mpat orang. Sedapnya masih macam dulu. Tapi sekarang ada yang satu dulang sorang. Dia ambik satu dulang, lalu masukkan kat dalam plastik. Orang lain terkulat-kulat tengok. He he he, yang kat rumah pun nak rasa juga bang...