Popular Posts

Sunday, June 19, 2011

Mendarat di Jeddah

     Selepas anak saya selesai menunaikan sembahyangnya, dia berpeluang bergambar bersama pramugari Saudi Airlines yang cun melecun!
     Kami sampai di Jeddah lebih kurang jam 5.00 petang.  Tidak seperti di Singapura dan Colombo yang mana para penumpang akan berjalan dari balai menunggu terus ke tangga pesawat, di sini kami harus menuruni anak tangga ke 'tarmac', kemudian dibawa dengan bas panjang ke bilik imigresyen.  Selepas itu barulah kami dibawa ke Madinah dengan bas dan sampai di sana hampir tengah malam waktu tempatan.
Berehat sebentar sebelum menaiki bas ke Madinatul Munawwarah (Bandar yang bercahaya)
         

Thursday, June 16, 2011

Pesawat Saudia Airlines

   
Di Lapangan Terbang Colombo, pekerja Imigresyen wanitanya lemah lembut, senyum.  Pakaian seragam mereka; sari, menampakkan sebahagian daripada anggota badan.  Tapi saya tak berani nak ambil gambar, takut tak jadi.  Yang lelakinya baik hati.  Bila seorang daripada mereka melihat kami nak ambil gambar kami berlatar belakangkan pesawat Saudia Airlines, dia menawarkan diri untuk membantu.  Saya berbesar hati atas kebaikannya, malangnya dia tak berapa pandai ambil gambar.
Pesawat Saudia Airlines tak berapa kelihatan, mungkin sebab keadaan yang sangat terang di luar.

     Kapal terbang Saudia Air ini jenis Boeing 777, lebih besar daripada Cathay Pacific yang saya naiki sebelum ini..  Bagi kelas ekonomi, jumlah tempat duduknya ialah sepuluh sebaris.  Tiga di kiri, tiga di kanan dan empat di tengah-tengah.  Jarak antara tempat duduk agak jauh dengan tempat duduk yang di hadapan dan lebih selesa.  Sebelum 'take off', disiarkan bacaan doa musafir dalam bahasa Arab.  'Headphone' diedarkan.  Saya mencubanya.  Rupa-rupanya disiarkan bacaan al Quran daripada Syeikh Abdur Rahman Sudais, Imam Masjidil Haram dan Syeikh Misyari Rashid Al Afasy, Imam Masjid Al Kabir, Kuwait City.
'Headphone', boleh dengar bacaan al Quran Sheikh Misyari Rashid dan Abdurrahman Sudais

     Selain daripada itu, tube TV di belakang headrest penumpang hadapan (untuk tatapan kita) sentiasa memaparkan laluan pesawat dari Colombo ke Jeddah, diselang seli dengan penunjuk 'altitude' yakni ketinggian pesawat dari paras laut (biasanya 18,000 kaki), suhu di luar pesawat (biasanya -34 darjah Celsius), jarak ke destinasi, waktu tempat berlepas dan lain-lain lagi.  Dari semasa ke semasa ditunjukkan arah Qiblat.  Oleh itu apabila kami bersembahyang di 'surau' pesawat, kami yakin arah qiblatnya.
Laluan pesawat menuju destinasi

Penunjuk arah qiblat

Solat di 'surau' dalam kabin pesawat.  Masya Allah.  Allahu Akbar!
     Sebelum solat, kami bergilir-gilir mengambil wudhu' di bilik air pesawat.  Satu botol kecil air cukup untuk satu kali wudhu'.  Tak pernah terlintas di fikiranku untuk bersolat di atas kapal terbang yang sedang meluncur dengan kelajuan lebih 500km/j.  Masya Allah!
     (Err hj hassny, sila baca respons komen di posting sebelum ini yer... Tq!)

Wednesday, June 15, 2011

Transit di Colombo

(Terima kasih kepada hj hassny kerana setia mengikuti posting saya.  Insya Allah saya akan poskan gambar-gambar yang berkaitan dari semasa ke semasa bersama-sama pengalaman saya.  Allaahu Akbar!)

     Di dalam posting sebelum ini, saya telah menceritakan sedikit mengenai 'prayer room' di Lapangan Terbang Changi, Singapura dan di Lapangan Terbang Colombo, Sri Lanka.  Posting kali ini adalah keadaan alam sekitar di kawasan bandar Colombo dan kampung-kampung yang saya bersama rombongan lalui dalam perjalanan ke hotel penginapan.

      Perjalanan dari Singapura (take off pukul 9.15 malam hari Sabtu dengan pesawat Cathay Pacific) mengambil masa lebih kurang empat jam tiga puluh minit.  Semasa dalam penerbangan, ada beberapa kali pesawat mengalami penerbangan yang tidak lancar menyebabkan pramugari yang sedang melayan penumpang terpaksa balik ke kabin kerana menurut mereka, "The weather is not so good".  Kadang kala pesawat bertukar 'altitude', terasa seperti dilambung ombak, kemudian dihayun ke bawah, mengakibatkan saya merasa ngeri, satu pengalaman yang tidak pernah saya alami semasa terbang pada tahun 1998 dengan pesawat Transmile dulu.  Saya terkenangkan jalan raya yang menghubungkan Pagoh, Muar dengan Bukit Kepong, Muar.  Sebahagian daripada jalan ini adalah naik dan turun bukit serta bengkang-bengkok seperti ular kena palu.  Di satu tempat berhampiran Pejabat Hutan dekat kawasan petempatan pekan Lenga Batu 27, jalan naik bukit dan tiba-tiba menjunam turun.  Kadang-kadang saya sengaja tidak memperlahankan kenderaan semasa menuruni bukit ini, menyebabkan anak dan isteri saya terasa ngilu di dalam perut; "sakit-sakit sedap..." kata seorang kawan.  Itulah yang saya rasai dalam penerbangan pada malam itu.  Tetapi buka "sakit-sakit sedap", tetapi rasa cemas.  Kalau-kalaulah terhempas...  Saya mengucap sambil memejamkan mata.

  Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah, akhirnya kami sampai dengan selamat di Lapangan Terbang Colombo lebih kurang jam 11.00 malam waktu tempatan untuk transit.  Selepas berurusan dengan Imigresyen, kami dibawa dengan bas melalui Bandaraya Colombo serta kampung-kampung dan tali air ke Hotel Pegasus.  Sepanjang perjalanan yang mengambil masa lebih daripada 30 minit ini, keadaan di bandar Colombo tidaklah menarik sangat lantaran bangunannya yang kelihatan usang di waktu tengah malam yang kelam itu.  Kemudian bas membelok masuk ke jalan yang sempit, lalu saya lihat rumah-rumah kampung yang tidak berapa besar serta kelihatan uzur di kiri kanan jalan.  Keadaan malam tidak memungkinkan saya mengambil gambar-gambar untuk kenangan.  Saya dapati banyak terdapat patung-patung 'Jesus' dan 'Virgin Mary' di persimpangan-persimpangan yang sempit itu, menimbulkan anggapan bahawa kebanyakan penduduk sini beragama Kristian.
Jalan kampung yang sempit

Patung Virgin Mary?
     Akhir sekali kami sampai jam 12.30 malam waktu tempatan di tempat kami penginapan kami yang sederhana tetapi selesa.

     Esoknya, pukul 5.00 pagi hari telah terang, berbeza dengan keadaan di Malaysia.  Dari tingkap bilik saya yang terletak di tingkat bawah kelihatan pantai yang cantik serta beberapa orang berada di pantai.  Menurut seorang pekerja hotel, mereka mengumpulkan kayu yang dihanyutkan oleh sungai yang berhampiran.
Gambar diambi jam 5.00 pagi waktu tempatan dari beranda bilik.  Yang terang di belakang sana ialah laut.

Satu lagi pemandangan dari beranda bilik hotel.

     Selepas bersarapan, kami naik bas ke lapangan terbang untuk menyambung perjalanan ke Jeddah.

Bersarapan di hotel

          Di atas jalan raya bandar Colombo, banyak kelihatan kenderaan seperti di bawah ini.  Dulu, semasa saya mula bersekolah di Sekolah Ismail Dua Muar, ada dua buah.  Hendalnya berupa hendal skuter Vespa, berwarna biru, warna identiti Vespa ketika itu.
Apa nama kenderaan ni?

Monday, June 13, 2011

Solat di 'Prayer Room'

     Salam.  Selamat bertemu kembali.  Terima kasih kerana melayari blog ini semasa ketiadaan saya.  Keprihatinan anda semua amat saya hargai.  Dalam posting kali ini saya akan menceritakan sedikit pengalaman saya sewaktu dalam perjalanan untuk mengerjakan umrah baru-baru ini.
     Rombongan kami dari Muar dan Johor Bahru seramai 96 'took off' pukul 9.15 malam dari Singapura.  Sebelum itu kami sempat bersembahyang maghrib jama' isya' di 'Prayer Room' di Lapangan Terbang Changi, Singapura.  Mulanya saya ingatkan Prayer Room tersebut merupakan Bilik Sembahyang.  Memang benar pun bilik sembahyang.  Di dalamnya ada tempat berwuduk dan karpet merah.  Ada anak panah menunjukkan arah kiblat.  Walau bagaimanapun, saya terkejut apabila membaca papan tanda di luar pintu masuk bilik tersebut.

     Tulisan putih berlatar belakang merah pada papan tanda di atas   "Multi-Religion Prayer Room"  bermaksud "Bilik Solat Pelbagai Agama".  Rupa-rupanya ia merupakan tempat sembahyang atau tempat bertafakkur pelbagai agama!  Patutlah cuma ada karpet biasa satu warna.  Biasanya tempat sembahyang telah disediakan karpet yang secara tak langsung menunjuk arah kiblat.  Satu contoh ialah gambar di bawah; bilik sembahyang (pastinya untuk muslimin; sebab ada al Quran di dinding bilik tersebut seperti yang terdapat dalam gambar) dalam Lapangan Terbang Colombo, Sri Lanka.
     Saya kira apa yang saya alami telah berjaya membuka sebahagian minda saya.  Saya berazam, lain kali saya akan sentiasa membawa sejadah supaya boleh digunakan khusunya apabila terpaksa bersolat di tempat-tempat seperti ini.  Ma'as salaama!

Friday, May 27, 2011

Selamat Tinggal Malaysia!

     Aassalaamu 'alaikum. Lama tak menulis dalam blog lantaran banyak berurusan dengan perkara lain.  Kali ini saya cuma ingin menyatakan bahawa saya akan berangkat ke Mekah esok pukul 10.30 pagi bersama keluarga menyertai rombongan umrah selama lebih kurang dua minggu.  Doakan agar kami sihat dan selesa beribadat sepanjang masa.  Insya Allah! 
Telaga zamzam

Dalam Masjidil Haram.  Kaabah...

Jemaah Haji (Umrah?)


Depan Ka'abah (kelihatan seorang jemaah sedang mengucup Hajar Aswad)

Satu lagi pemandangan dalam Masjidil Haram

1297 Hijriah

Semasa banjir...

Naik kapal haji...


Eh, Coca Cola pun ada!
     

Wednesday, May 11, 2011

Seorang Ibu tua...

     Tak, tak bosan membacanya, malahan seronok.  Untung Hj, dapat kesan awal.  Minum cendol  satu bungkus besar?  Isy isy isy...  Cendol kat Jln Sisi yang tempat Dato' Seri Najib pergi tu memang sedap.  Ada kacang merah, ada pulut.  Pilih je le.  Mak tuan past senyum lebar kalau dia tau tuan ada menceritakan kisahnya.

     Tentang doktor kata Mak tuan tak sakit, memanglah merisaukan sebab kita sedia maklum orang kita ni kekadang mengamalkan ilmu syaitan, mengenakan orang dari jauh.  "Main komputer," kata bekas Pengurus Tabung Haji Muar Haji Haris Tawil semasa saya berkursus haji dahulu. "... sebab dia tekan kat sini, orang sana yang sakit..."  Haji Haris menerangkan.  Mak tuan memang kuat semangatnya sebab dia menderita selama setahun lalu pulih seperti sediakala.

     Teringat arwah mak saya.  Seperti juga Mak tuan, mak saya pun tiada selera makan mulai beberapa tahun sebelum mengakhiri kehidupannya.  Makan sedikit, dah berhenti.  Kadang-kadang saya bersama-sama dia dan ayah ke Tanjung Mas untuk menjamu selera.  Kalau dia tak habis (memang tak pernah habis), saya yang menghabiskan makanannya.  Badannya yang dulu gempal berisi, jadi kurus kering.  Pilu melihatkannya.  Badar, adik saya yang duduk serumah dengannya rajin membeli mee hoon sup.  Walau pun demikian, seleranya tak pulih.  Iya lah, itu bahagian masing-masing.
Emak saya, semasa sihat...
Emak saya (bertudung putih) yang duduk di tengah-tengah, tiga tahun sebelum kembali ke rahmatullah...
     Kata pujangga, "seorang ibu mampu menjaga sepuluh anak, tetapi sepuluh anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu".  Kalau kita renungi diri kita sebagai bapak (atau ibu), kita mampu memandikan anak-anak kita yang masih kecil tanpa sebarang masalah, mampu memarahi mereka kalau tingkah laku mereka "meggelke silet" :) (cakap jawa = "kenakalan anak-anak yang membuat kita sesak nafas...).  Apabila kita telah merasa memandikan emak kita, barulah kita tau bagaimana seksanya mengampu tubuh mak kita yang tidak terdaya bergerak, walaupun mak kita kurus kering.  Lagi satu perkara, emak kita sebagai orang tua telah menjadi lebih sensitif, membuatkan kita perlu sangat berhati-hati apabila melafazkan kata-kata.  Kalau nak mengeluh pun, jangan depan emak, itulah ibaratnya.  Oleh itu kata-kata pujangga di atas memang sangat benar sekali!

     Saya dapat merasakan Tuan sangat bahagia dengan keadaan yang tuan lalui sekarang; setiap 3 hari dapat memberikan ibu minuman kegemarannya, dan kebahagiaan ini semakin hari semakin mahal.

     Mengenai Wak Nan tu, memang saya pernah denger, tapi 'nek ketemu wong ea, orak kenal, ketabrak pun njalok ngapuro wae...'.  Hebat orang tua tuh.

(Selepas saja saya selesai membaca komen Hj Hassny di dalam posting yang bertajuk 'Kasih Ibu' bertarikh 'Tuesday, May 10, 2011, saya terus saja memberi reaksi.  Itu sebab saya mulakan dengan "Tak, tak bosan membacanya...".  Jangan mare, he, he he...)

Tuesday, May 10, 2011

Kasih Ibu

Terima kasih Tn. Hj Hassny kerana mengulas posting saya.  Saya tak perasan rupanya waktu 'pos', dekat dengan tarikh 'Hari Ibu'.  Memang sesuai ikrar Hj itu.  Pandanglah wajah ibu bapa kita (Allah Ta'ala telah menjanjikan akan ganjarannya) sementara mereka masih ada bersama kita.  Berkatalah-katalah kepada mereka dengan lemah lembut seperti yang disebutkan dalam Al Quran.  Layanlah mereka dengan baik sebagaimana kita melayan anak-anak kita yang masih kecil dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. 

     Dalam hal 'memandang muka ibu bapa kita, kita dapat pahala (sebagaimana kita juga insya Allah dapat pahala kalau kita pandang Quran, Ka'abah...)'.  Kata 'qil' kalau emak bapak kita dah meninggal pun, kalau kita pandang gambar mereka, kita masih dapat pahala.  Wallahu a'lam. 

     Apa pun, berbaktilah kepada ibu bapa kita sementara mereka masih ada.  Janganlah pula menyesal apabila mereka telah kembali ke asal.  Saya teringat kisah yang saya dengar melalui radio 'Melaka Fm' hari Ahad yang lalu waktu siaran lebih kurang pukul 2.00 petang semasa saya dalam perjalanan kembali ke Muardari Segamat.  DJ radio (kalau tak silap saya Hamami Yusof.  Saya mendengar peserta menyebut nama 'Mi' berulang-kali) yang bersuara parau mengalu-alukan pendengar membaca puisi memuji-muji ibu mereka sempena sambutan Hari Ibu.  Ramai yang mengambil bahagian.  Tidak kurang yang menangis teresak-esak mengenangkan arwah ibu mereka.  Antara yang saya ingat ialah pengaduan seorang ibu.

     Ibu ini merasa sayu kerana anak perempuannya (menurutnya bernama Norafikah bte Omar, dipanggil Adik) telah enam tahun meninggalkan rumah tanpa meninggalkan khabar berita.  Anaknya cuma cakap "Adik nak pergi, jangan cari Adik  Kalau Emak **** pun, Adik takkan balik".  Aduhai anak, ingatlah pengorbanan ibumu semasa mengandungkanmu sembilan bulan, menderita kesakitan semasa melahirkanmu, bersusah payah memeliharamu sejak tapak kakimu selebar dua jari, yang tidak tahu apa-apa selain menangis apabila lapar, haus, basah, sakit.  Jangan lupakan pengorbanan ibumu mendidikmu sehingga jadi orang.  Ibumu berikrar (sepertimana yang kudengar di radio, "Saya akan dakap dia erat-erat, saya takkan lepaskan dakapan kalau dia balik kepada saya.  Saya ingin sangat menatap wajahnya sebelum menutup mata).  Sebelum terlambat, kembalilah kepangkuannya.  Ingatlah, syurga itu di telapak kaki ibu.  Ayuh, jangan buang masa!

Err... komen lagilah Kang Hassny ye?