Popular Posts

Tuesday, May 10, 2011

Kasih Ibu

Terima kasih Tn. Hj Hassny kerana mengulas posting saya.  Saya tak perasan rupanya waktu 'pos', dekat dengan tarikh 'Hari Ibu'.  Memang sesuai ikrar Hj itu.  Pandanglah wajah ibu bapa kita (Allah Ta'ala telah menjanjikan akan ganjarannya) sementara mereka masih ada bersama kita.  Berkatalah-katalah kepada mereka dengan lemah lembut seperti yang disebutkan dalam Al Quran.  Layanlah mereka dengan baik sebagaimana kita melayan anak-anak kita yang masih kecil dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang. 

     Dalam hal 'memandang muka ibu bapa kita, kita dapat pahala (sebagaimana kita juga insya Allah dapat pahala kalau kita pandang Quran, Ka'abah...)'.  Kata 'qil' kalau emak bapak kita dah meninggal pun, kalau kita pandang gambar mereka, kita masih dapat pahala.  Wallahu a'lam. 

     Apa pun, berbaktilah kepada ibu bapa kita sementara mereka masih ada.  Janganlah pula menyesal apabila mereka telah kembali ke asal.  Saya teringat kisah yang saya dengar melalui radio 'Melaka Fm' hari Ahad yang lalu waktu siaran lebih kurang pukul 2.00 petang semasa saya dalam perjalanan kembali ke Muardari Segamat.  DJ radio (kalau tak silap saya Hamami Yusof.  Saya mendengar peserta menyebut nama 'Mi' berulang-kali) yang bersuara parau mengalu-alukan pendengar membaca puisi memuji-muji ibu mereka sempena sambutan Hari Ibu.  Ramai yang mengambil bahagian.  Tidak kurang yang menangis teresak-esak mengenangkan arwah ibu mereka.  Antara yang saya ingat ialah pengaduan seorang ibu.

     Ibu ini merasa sayu kerana anak perempuannya (menurutnya bernama Norafikah bte Omar, dipanggil Adik) telah enam tahun meninggalkan rumah tanpa meninggalkan khabar berita.  Anaknya cuma cakap "Adik nak pergi, jangan cari Adik  Kalau Emak **** pun, Adik takkan balik".  Aduhai anak, ingatlah pengorbanan ibumu semasa mengandungkanmu sembilan bulan, menderita kesakitan semasa melahirkanmu, bersusah payah memeliharamu sejak tapak kakimu selebar dua jari, yang tidak tahu apa-apa selain menangis apabila lapar, haus, basah, sakit.  Jangan lupakan pengorbanan ibumu mendidikmu sehingga jadi orang.  Ibumu berikrar (sepertimana yang kudengar di radio, "Saya akan dakap dia erat-erat, saya takkan lepaskan dakapan kalau dia balik kepada saya.  Saya ingin sangat menatap wajahnya sebelum menutup mata).  Sebelum terlambat, kembalilah kepangkuannya.  Ingatlah, syurga itu di telapak kaki ibu.  Ayuh, jangan buang masa!

Err... komen lagilah Kang Hassny ye?

1 comment:

hassny said...

Cerita pasal Hari Ibu ini kan Hj Borhan, saya rasa macam satu penyesalan buat diri saya kerana selama ini saya tak tahu langsung makanan ibu saya yang paling dia sukai (ini kerana selama ini bila saya belikan dia makanan/minuman dia tak pernah komen) sehinggalah satu peristiwa pada minggu terakhir bulan puasa tahun 2010.

Ibu jatuh sakit, badannya amat lemah, perutnya terasa mencucuk-cucuk pedih sampai ke ulu hati, makan tak lalu, kalau makan pun ambil secubit dua dah berhenti, tak ada selera katanya. Saya bawa ke klinik dua kali, kata doktor tak ada apa-apa, cuma apabila tak makan perut jadi kosong maka angin masuk akibatnya perut pedih. Kami adik beradik serta abah dah mulai risau, apa penyakit mak sebenarnya ni.

Kami ikhtiar cara tradisional. Saya bawa mak ke Pt Hj Nor off Pt Zin Batu 6 Bakri, mungkin Hj Borhan kenal orang ini tetapi nama sebenarnya saya tak tahu, saya panggil dia WAK NAN (rumahnya bersebelahan dengan rumah Hj Ahmad Nasaruddin Pen PPD Muar). Masa saya datang tu Kumpulan Marhaban Kg Hj Nor tengah rancak marhaban dari rumah ke rumah, maklumlah raya pertama dan ke-2. Saya minta Wak Nan 'telek' kan sebab keadaan mak lemah lain macam. Setelah di 'telek' rupanya mak kena sawan mayat, dah hampir setahun lebih dia kena. Baru saya teringat lebih setahun lalu mak ada mandikan mayat adiknya(mak ngah saya). Mak memang sangat sedih atas pemergian adik kesayangnnya tu. Wak Nan minta dibawa barang-barang yang dipesan untuk memandikan mak hari esok.

Esoknya saya datang lagi (raya ke-2) untuk memandikan mak dengan air yang dicampur dengan barang-barang yang dipesan semalam. Inilah pertama kali dalam hidup saya memandikan mak setelah mak memandikan saya entah berapa ribu kali agaknya masa saya kecik dulu. Setelah mandi, mak kelihatan segar sedikit berbanding sebelum ini dan sebelum pulang Wak Nan minta saya buangkan semua baki bunga air mandian (dalam bungkusan)mak ke dalam sungai Muar.

Dalam perjalanan pulang tu tergerak hati saya bertanya mak, "mak nak makan apa?" (setelah seminggu lamanya dia tak lalu makan). Mak pun menjawab "cendol". Saya pun terus ke Jln Abdulah simpang Jln Sisi di mana satu2nya warung cendol yang buka pada raya ke-2 pada masa tu. Setelah sampai dirumah mak minum cendol dengan begitu berselera sekali sampai habis satu bungkus besar (RM5) diminumnya. Saya pun jarang melihat mak begitu berselera macam hari tu.

Mak pun buka rahsia pada saya. Mak kata semasa dia mengandungkan saya dulu dia suka sangat makan cendol. Jadi abah saya pun kena carikan/belikan cendol untuknya. Barulah saya tahu makanan/minuman favourite mak adalah cendol. Selepas itu mak beransur sihat dan pulih seperti sedia kala.

Sekarang ini setiap 3 hari sekali saya pastikan mak dapat minum minuman favouritenya itu (tak boleh minum hari-hari, sebab cendol tu manis takut mak kena kencing manis pulak). Itulah cerita saya sempena denga Hari Ibu. Harap Hj Borhan tak bosan mendengarnya.