Popular Posts

Monday, August 29, 2011

Menyahut Cabaran (2)


Di bawah adalah komen Sdr hassny yang saya salin dan siarkan manakala di bawah komen ini ialah pandangan dan ulasan saya.  Ulasan ini telah saya poskan pada 13 Ogos yang lalu.  Pada hari-hari berikutnya saya lihat elok sahaja.  Tetapi malam ni (17 Ogos 2011) saya dapati hanya komen Sdr hassny beserta gambar kartun sahaja yang ada.  Ulasan saya telah hilang.  Apa yang telah berlaku?  Apabila saya semak di bilik edit post, saya dapati ulasan itu masih ada di situ.  Lalu saya pos semula setelah saya tuliskan 'preamble' ini.  Kenapa ye?)
     Telah diubahsuai lagi, kerana tak terpamer apa yang hendak saya pamerkan.  Mudah-mudahan kali, ulasan saya akan di'published'.  Ameen...
 
"hassny said...
Zaman dulu kalau budak-budak bersekolah di Ismail School kira2 memang terror....mesti pandai bahasa Inggeris punya... Bila sebut Ismail School, saya telah didaftarkan oleh mak saya untuk masuk darjah satu (1971) di sana. Namun apabila saya mendapat tahu, saya menangis-nangis tak mahu ke Ismail School, saya nak bersekolah di kampung saya sebab ramai kawan-kawan sekampung bersekolah di kampung. Akhirnya mak akur dengan kehendak saya. Bila dah tua begini, baru saya sedar, mak memang mahukan anaknya mendapat pendidikan terbaik (pada masa itu Ismail School lah tempatnya). Kalaulah saya ikut nasihat dan kehendak mak......"   
   Di atas adalah catatan daripada Hj Hassny sebagai komen post saya sebelumnya mengenai Sekolah Ismail 2 atau juga dipanggil Ismail School Two.  Memang benar katanya itu.  Budak-budak kampung dulu-dulu kebanyakannya bersekolah di kampung beramai-ramai.  Hanya segelintir yang bersekolah di bandar dihantara ibu bapa mereka.  Persekitaran menentukan sikap seseorang.  Hj Hassny tak terkecuali apabila beliau mengikut 'trend' pada masa itu.  Walau pun hasrat ibunya untuk menghantar anaknya ke sekolah omputih tak kesampaian, namun aspirasinya agar anak kesayangannya itu jadi 'orang' telah tertunai.  Menghantar ke sekolah orang putih itu hanya satu daripad usaha-usaha beliau.  Pelajar Sekolah Melayu pun boleh jadi 'Che'gu' apa.  Begitulah balasan Allah swt kepada hambaNya yang berusaha dan bertawakkal di samping bermunajat kepadaNya.
   Satu lagi perkara, Hj Hassny bukanlah orang yang menolak cabaran, tetapi menyahut cabaran, serta melihat peluang bagi setiap masalah.  Contohnya beliau mampu untuk mengajar saya men'create' blog.  Beliau juga ada Laman "Multiply", dan juga kejayaan-kejayaan lain yang membanggakan.  Di belakang itu semua adalah guru Sekolah Kampung. 
   Apa yang saya alami hanya berbeza sedikit daripada Hj Hassany; iaitu saya menurut sahaja 'perintah' ayah saya setelah ayah meninjau 'pandangan' anaknya yang berbaring di atas pangkuannya (tentulah sangat kecil) pada ketika itu.  Saya sendiri tidak menyoal ayah apabila dia menghantar saya dengan skuter Vespanya ke sekolah, berbeza dengan Kak Long dan Bang Ngah yang berjalan kaki sahaja ke Sekolah Kebangsaan Bakri Batu Lima.  Mungkin itu telah menjadi resmi saya, hasil didikan yang dikasihi ayah bonda sejak kecil lagi; yakni sabar menerima dan menempuhi apa jua yang datang.  Sehinggalah sekarang, saya tidak bercita-cita tinggi, tetapi cuba mengikuti arus cabaran semasa.  Contohnya adalah blog ini.  Mungkin orang lain sebaya saya tidak berminat untuk berkomputer, berinternet serta ber'blog' kerana teknologi ini datang ketika usia mereka sudah lebih tiga puluh tahun ketika itu.  Namun, kata pepatah omputih "If you can't beat them, join them".  Saya tidak mampu untuk melawan arus, oleh itu saya mengikutinya.

  
   Sekarang saya sudah mula belajar perisian 'Microsoft Access'.  Mana tahu, satu hari nanti saya mampu untuk membangunkan perisian markah kokurikulum pelajar-pelajar Pra Universiti SMK Tengku Mahkota?  Tiada perkara yang mustahil!

Saturday, August 13, 2011

Menyahut Cabaran

     (Di bawah adalah komen Sdr hassny yang saya salin dan siarkan manakala di bawah komen ini ialah pandangan dan ulasan saya.  Ulasan ini telah saya poskan pada 13 Ogos yang lalu.  Pada hari-hari berikutnya saya lihat elok sahaja.  Tetapi malam ni (17 Ogos 2011) saya dapati hanya komen Sdr hassny beserta gambar kartun sahaja yang ada.  Ulasan saya telah hilang.  Apa yang telah berlaku?  Apabila saya semak di bilik edit post, saya dapati ulasan itu masih ada di situ.  Lalu saya pos semula setelah saya tuliskan 'preamble' ini.  Kenapa ye?)
"hassny said...
Zaman dulu kalau budak-budak bersekolah di Ismail School kira2 memang terror....mesti pandai bahasa Inggeris punya... Bila sebut Ismail School, saya telah didaftarkan oleh mak saya untuk masuk darjah satu (1971) di sana. Namun apabila saya mendapat tahu, saya menangis-nangis tak mahu ke Ismail School, saya nak bersekolah di kampung saya sebab ramai kawan-kawan sekampung bersekolah di kampung. Akhirnya mak akur dengan kehendak saya. Bila dah tua begini, baru saya sedar, mak memang mahukan anaknya mendapat pendidikan terbaik (pada masa itu Ismail School lah tempatnya). Kalaulah saya ikut nasihat dan kehendak mak......"   
Apa nak buat seterusnya nih?

Friday, August 12, 2011

Pokok Rambai dan Lampu Gas

     Selepas sembahyang Tarawih di Surau Al Hadi Kg Batu 6 Bakri, seperti biasa jamaah menikmati hidangan kuih muih yang dibawa penduduk kampung mengikut giliran.  Oleh kerana musim buah-buahan, antara makanan yang dihidangkan ialah pulasan.

     Sambil makan, kami berbual-bual.
    
     "Sekarang ni, pulasan banyak ye?"  Shafie Doriat memulakan perbualan.

     "Memang, melambak-lambak.  Dulu sekejap tak ada, hampir pupus," saya bersetuju.

     "Ya memang.  Orang dah tanam balik," Hj Hassan mencelah.

     "Sekarang, yang lama tak nampak, jambu gelas," seorang lagi rakan menyampuk.

     "Rambai pun."

     "Rambai tak laku."

     "Kat kebun aku di Segamat, ada pokok rambai, bila buah, dipetik orang."

     "Mintak izin tak?"

     "Tak mintak.  Tau-tau dah abis aje."

     "Dalam pada tak laku, pun ilang jugek."

     "Kat tempat saya kat Serom tu dulu, belakang masjid ada pokok rambai dua batang, besar," kata Shafie sambil menggayakan pokok sebesar dua pemeluk dengan tangannya.

     "Orang dulu-dulu, tadarusnya lama.  Lepas tadarus, panjat pokok rambai.  Sanggup bawak naik lampu gas.  Yang peliknya tak mati pulak."

     "Tulah.  Dia punya mentol kan kain aja yang dibakar.  Pasal dah dibakarlah langsung terang.  Dibuat daripada apa yek?"

     "Nampaknya kilat macam sutera.  Tapi tahan.  Setakat lampu yang terkena benda, mentolnya tak kan terbakar, kecuali kalau dia yang tersentuh."

     "Aku dulu pernah merasa guna lampu tu masa di Bukit Serok."

     "Ada satu lagi, lampu yang cemeninya kat bawah.  Engkau tak boleh letak atas lantai, kena sentiasa gantung..."

     "Aku ada nampak, yang kat rumah engko tu ye?"

     "Ya, yang itulah.  Dia ada dia punya jarum.  Kalau dah malap, usik jarum tu, terang balik..."

     Isteri dan anak peremuan saya dah menunggu di kereta.

     "Mintak diri dulu ye?"

     "Ambik ler..."

Wednesday, August 10, 2011

Sarung Ketupat, Semperit

     Membaca komen blog hassny, saya fikir apa yang dikatakannya itu benar.  Belajar membuat ketupat ini memerlukan kesabaran serta komitmen yang tinggi serta latihan berterusan.  Kita kena sabar sebab pembelajaran ini memerlukan sedikit masa untuk kita mahir.  Setakat satu malam belum boleh dapat lagi.  Kadang-kadang dah habis daun kelapa jadi sarung ketupat, kita masih belum mahir membuatnya.  Tu belum lagi kalau kita dapat guru yang mudah panas.  Asyik kena marah aja.  Tapi saya tak.  Sebab yang mengajar saya Kak Long.  Kita juga perlukan komitmen yang tinngi; yakni 'telaten' kata orang Jawa.  Tak mudah jemu.  Kalau tahun ni kita dah dapat.  Masa puasa tahun depan kena belajar lagi sebab kita dah lupa.  Itu sebab kita perlukan latihan berterusan supaya kita mahir.  Kata orang Cina 'Saya lihat saya nampak, saya dengar saya lupa saya buat saya tahu'.  Begitulah lebih kurang bunyinya.  Kalau saya salah, mungkin rakan saya Tee Jia Siew atau Stephanie boleh betulkan.
Stephanie
Jia Siew bersama Nur Farah Dilla (kanan) dan Nurul Atiqah (kiri)
 
       
Kak Long bersama anaknya yang keempat
     Bagi saya, yang mengajar saya buat sarung ketupat ialah Kak Long.  Dia tak pernah marah.  Tapi dia selalu keliru serta tak pasti sama ada yang saya anyam itu betul atau tidak.  Oleh itu, dia perlu duduk sebelah saya, bukan berhadapan, supaya dia nampak apa yang saya buat adalah sama dengan apa yang dia lakukan.  Sekarang, saya boleh menganyam sarung ketupat bawang sahaja.  Alhamdulillah walau pun cuma satu jenis sahaja berbanding Hj Hassany yang handal menganyam sarung ketupat bawang dan bantal. 
Kelongsong ketupat
  
     Tiga benda yang saya dapat belajar daripada emak ialah membuat semperit (wisel), jam tangan dari penyapu lidi daripada daun kelapa. 
Semperit (Wisel) daripada daun kelapa muda
Penyapu lidi
      Sekarang, dua orang daripada anak saya menunjukkan keinginan untuk belajar.  Dah hampir dapat tapi daun dah habis.  Kena tunggu tahun depan.  Sampai tahun depan, dah lupa.  Kena belajar semula dari awal. 
     Sekarang yang lebih mudah, beli sahaja di pasar atau desa raya atau gerai tepi jalan yang dah siap anyam.  Baru 20 sen satu...

Sunday, August 7, 2011

Pakaian Raya

     Hari ini hari keenam puasa.  Alhamdulillah puasa lima hari telah dapat disempurnakan.  Mudah-mudahan Allah SWT menerima ibadat dilakukan.  Ameen.
Sebuah gerai menjual pakaian siap dijahit milik penjual kaum Champa
     Pada hari pertama puasa, saya pergi bersama-sama dua daripada anak-anak saya ke bandar untuk mencari pakaian Hari Raya.  Di zaman siber yang mana ramai pasangan suami-isteri bekerja, proses menyediakan pakaian raya memadai dengan menempah atau membeli yang sudah siap.  Itulah yang kami lakukan semalam setelah terlambat menghantar kain ke tukang jahit.  Memanglah ianya berbeza dengan dahulu.
     Dahulu, emak akan menjahit pakaian raya untuk kami.  Anak-anak emak yang perempuan belajar menjahit daripada emak, lalu mereka menjahit pakaian raya mereka sendiri.  Walau pun emak sentiasa sibuk; iaitu perlu menyediakan sarapan pagi untuk keluarga, pergi menoreh dan membangkit getah, membasuh pakaian, memasak makanan dan pergi mengajar di sekolah 'petang', emak masih ada masa untuk menjahit pakaian dan langsir raya, serta mengajar anak-anak perempuannya menjahit.  Saya masih ingat, posisi adik beradik perempuan saya semasa menjahit pakaian raya ialah berdekatan pintu tengah rumah, sebab di situlah tempat paling terang serta paling kondusif untuk menjahit.
     Sambil menjahit banyak cerita yang keluar.  Sambil menjahit, emak memantau mutu jahitan adik dan kakak saya, membetulkan mana-mana yang salah, membetulkan pesak baju supaya tak senget, 'tebuk leher guna bulan baju', 'simbat', 'tulang belut' serta istilah-istilah lain yang saya tak faham. Hasilnya, adik-beradik perempuan saya tahu menjahit pakaian mereka sendiri.  Bahkan, aktiviti ini secara tak langsung tambah merapatkan hubungan kekeluargaan yang sedia terjalin.  Sekarang, sama ada mereka masih menjahit sendiri pakaian mereka atau menghantar bahan untuk dijahit atau membeli sendiri, wallahu a'lam.  Saya tak pernah bertanya.
Menjahit depan pintu...
     Kadang-kala, emak menggunakan mesin jahit untuk menjahit pakaian.  Pada ketika lain, emak dan adik beradik perempuan 'jahit tangan'.  Melihat mereka menggunakan mesin jahit menimbulkan minat saya untuk belajar menggunakan mesin ini.  Selepas belajar, saya mampu mengubahsuai seluar-seluar lama yang sudah sempit  supaya boleh dipakai lagi.  Namun kemahiran saya hanya setakat itu sahaja.
Beramai-ramai...

Kak Bedah...

Ni askar mana sesat nih?

Kereta baru sape tu? JMY 155 (Jadi Milik Yazidah sebulan bayar RM155.00?

Yang tengok kamera tu garang semacam aje...

Syy... motor pinjam.  Tuannya yang baju biru di atas...
     Emak selalu menyimpan bahan jahitan dalam 'bakul jahit'.  Pakaian yang sedang dijahit, jarum jahit, jarum peniti, benang putih, benang warna, sekoci, , gunting...  Ini memudahkan saya apabila saya memerlukan benang untuk dibuat tali layang-layang atau tali pancing.  Atau apabila saya memerlukan 'buku benang terpakai' untuk dibuat main kereta-kereta.  Atau pun jarum peniti untuk dibengkokkan menjadi mata kail pancing.  Walau pun bahan-bahan itu kerap berkurangan, emak tak pernah marah.  Itulah emak.  Kini, rumah itu sepi kecuali pada hujung-hujung minggu kala adik-beradik berkumpul mengimbau kenangan lalu atau membuat persiapan tahlil...

Monday, August 1, 2011

Ahlan Wa Sahlan, Wa Marhaban Ramdhan Al Mubarak!

     Hari ini Isnin 1 Ramadhan 1432H, hari pertama umat Islam berpuasa di Malaysia.  Kepada semua pembaca Islam diucapkan Selamat Berpuasa dengan tekun dan sempurna, patuhi segala pantang-larangnya, mudah-mudahan dirahmati Allah!  Di bawah adalah kartun Ramadhan yang saya jumpa dalam majalah SOLUSI Isu Nombor 34.  Saya besarkan gambarnya supaya anda dapat menghayati dialognya.  Kepada Sidang Editor Majalah SOLUSI Isu Nombor 34, mohon izin untuk menyiarkan kartun ini supaya kita semua mendapat manfaat daripadanya.  Kalau saya mendapat keizinan, saya berbanyak terima kasih.  Kalau tidak, saya terpaksa delete !