Popular Posts

Friday, July 15, 2011

Sukan Olahraga Peringkat Kampung

    Dalam post saya sebelum ini (Tuesday, July 12, 2011) saya ada menyebut tentang sukan olahraga yang kanak-kanak sebaya saya buat semasa kami kecil.  Kali ini saya ingin bercerita sedikit tentangnya.  Aktiviti ini yang kami lakukan beberapa kali semasa kami dalam sekolah rendah, secara tidak langsung menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan yang ada pada kami di kampung, Kampung Batu 6 Bakri. 
     Bagi orang dewasa, apabila mereka hendak mengadakan sesuatu function, mereka mengadakan mesyuarat dengan membentang kertas kerja serta senarai jawatankuasa dan tugasan.  Bagi kanak-kanak seperti kami, cukup dengan 'cakap mulut' sahaja.  Sambil bermain, kami berbincang, keputusan pun diambil.
     Kami membahagi semua kanak-kanak lelaki dan perempuan kepada empat pasukan; pasukan biru, merah, hijau dan kuning.  Kami menetapkan tarikh yang sesuai untuk hari Sukan Olahraga tersebut; pastinya musim cuti sekolah.  Kemudian kami bersama-sama membersihkan kawasan tapak sukan; iaitu di hadapan dan sebelah rumah Mak Itam.  Kami pasang bendera bunting (daripada kertas surat khabar Utusan Melayu yang digam pada lidi penyapu), bina trek balapan untuk empat pasukan dengan tali (saya dah lupa tali jenis apa) yang hujungnya kami tanamkan di tanah dengan kayu sebesar jari kelingking untuk acara larian 100m, 200m dan lari berganti-ganti.  Untuk acara lari pecut 200 dan 400m, kami binakan stagger (ukuran agak-agak sahaja).  Kami sediakan kayu dan palang lompat tinggi dengan kayu getah, kami bungkus hadiah biskut cream cracker dengan kertas warna biji kundang (dulu Pak Uda saya menghantar kad jemputan dalam sampul surat yang sama warna; dipanggil 'kad merah')
Gambar Hiasan
     Setelah musta'id sekelian, kami pun menjemput abang sepupu kami yang masih belum kerja, dan suka menyanyikan lagu 'Kenang Daku Dalam Doamu' untuk menjadi pelepas.  Pada waktu itu, pelepas tidak menyebut 'ke garisan, sedia, lari' atau menggunakan pistol, tetapi guna bahasa Inggeris "Ayomat, geset, goh!" untuk "On your marks, get set, go!".  Ada yang suka bergurau menyebut 'Segamat, Gersik, Pagoh!'.
     Begitulah aktiviti sukan olahraga yang kami lalui.  Dari mula dengan perbarisan sampai akhir, yakni acara penyampaian hadiah.  Kemudian kami menyanyi lagi Negaraku beramai-ramai sebagai tanda aktiviti sukan olahraga telah berakhir.  Kami tiada pakaian seragam, berlari berkaki ayam, tetapi semua merasa seronok.
     Ada ketikanya semasa acara sedang berjalan, dalam kalangan kami yang mulai memasuki alam awal remaja berbisik sesama sendiri bahawa "dia ada, atas rumah Mak Itam pakai baju merah, tengah perati kita..."  Bukan main bersemangat kami berlari sebab kami tahu, bunga pujaan hati kami ada dalam kalangan penonton yang tak berapa ramai itu...

1 comment:

hassny said...

Wah memang seronok main sukan-sukan waktu zaman kanak-kanak dulu....lagi-lagi diadakan bawah pokok getah, redup...tak panas. Lebih-lebih ada yang memerhati....."dia ada, atas rumah Mak Itam pakai baju merah, tengah perati kita...".....Tu yang mahal tu...hehehe...